Pak Jamu mahu ‘Dapur Rakyat’ ada di lokasi bencana


Pak Jamu mahu ‘Dapur Rakyat’ ada di lokasi bencana
October 1, 2024

JAMULIDDIN Elias, 61, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Jamu sangat sinonim dengan ‘Dapur Rakyat’. Satu pasukan yang menyediakan makanan untuk situasi-situasi tertentu seperti pilihan raya, kawasan bencana, selain waktu acara rasmi parti seperti Muktamar PAS Pusat dan sebagainya.

Menurut Pak Jamu, beliau mendapat idea untuk mewujudkan ‘Dapur Rakyat’ apabila melihat aktiviti-aktiviti tersebut sangat aktif dilakukan rakyat di luar negara terutama bagi membantu mangsa bencana alam.

“Saya banyak terlibat dengan aktiviti bantuan luar negara melalui NGO, terutama Yayasan Amal. Saya pernah ke Turki, saya lihat NGO-NGO mereka memang aktif buat program seperti dapur rakyat ni.

“Ada yang buat teh sahaja. Buat teh panas bagi pada mangsa-mangsa bencana. Ada yang buat roti saja. Edar roti tu pada mangsa-mangsa bencana,” katanya.

Jelas beliau, NGO-NGO tersebut dibiayai oleh orang ramai terutamanya penduduk-penduduk asal seperti penduduk kampung asal NGO tersebut ditubuhkan.

Tambah Pak Jamu, disebabkan sokongan kuat masyarakat sekeliling, NGO-NGO itu berjaya terlibat secara aktif membantu di mana-mana berlaku bencana.

Kata Pak Jamu, hakikatnya memberi makan kepada orang lain adalah satu Sunnah Rasulullah SAW yang sangat digalakkan dalam Islam.

“Saya tengok, saya tanya diri saya kenapa saya tak boleh buat? Pada hal saya memang seorang ‘caterer’. Saya buat bisnes ‘caterer’ lebih sepuluh tahun.

“Itu yang buat saya semangat nak buat ‘Dapur Rakyat’ ni. Sebab saya rasa sebagai aktivitis masyarakat, aktivis politik, kita perlu wujudkan ‘Dapur Rakyat’ ni,” katanya.

Kata Pak Jamu, akhirnya beliau mula menubuhkan ‘Dapur Rakyat’ bermula sebagai salah satu aktiviti dalam Jabatan Amal Malaysia (JAM) sekitar tahun 2000.

Kemudian, katanya, ‘Dapur Rakyat’ menjadi satu daripada unit dalam Yayasan Amal Malaysia di bawah Khidmat Malaysia, NGO induk yang banyak terlibat dalam aktiviti bantuan di dalam dan luar negara.


“Kalau boleh saya nak bila sahaja berlaku apa-apa bencana, berlaku sahaja, kita sudah sampai di lokasi untuk membantu. Bila berlaku bencana sangat penting ada penyediaan makanan siap masak ni.

“Sebab contohnya, rumah mereka sudah naik air, macam mana mereka nak masak? Kalau kita bagi beras, macam mereka nak masak? Dapur dah naik air. Itulah peranan ‘Dapur Rakyat’,” jelasnya.

Menurut Pak Jamu, beliau sentiasa menjalin hubungan baik dengan NGO-NGO lain yang ada di Malaysia ini tanpa mengira fahaman politik.

“Alhamdulillah, kami juga adalah ‘Rakan NADMA’ iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara di mana di situ ada banyak NGO-NGO seperti kami.

“Walaupun sesetengahnya ada kecenderungan politik yang tidak sama dengan kita, tetapi Alhamdulillah, kami boleh bekerjasama dengan baik dan tidak melihat pada perbezaan itu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini kepada Harakahdaily sewaktu ditemui pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Kluang, Johor baru-baru ini.

Kata Pak Jamu, beliau telah banyak terlibat membuka ‘Dapur Rakyat’ dalam banyak pilihan-pilihan raya kecil bagi menyediakan makanan kepada petugas Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional.

Namun, untuk PRK Mahkota itu, beliau tidak diberikan tanggungjawab untuk menyediakan makanan secara rasmi untuk Perikatan Nasional kerana ada kontraktor lain yang telah dilantik lebih awal.

Untuk kali ini beliau hanya menyediakan makanan untuk Jentera PAS yang membantu pada PRK itu yang beroperasi di Markaz PAS Kawasan Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ).

“Sebab itu kita buka lewat sikit. Selepas tiga hari berlangsung kempen baru kami buka, selepas ada permintaan dari pihak PAS Kawasan sendiri,” katanya.

Mengimbau pengalamannya mengendalikan ‘Dapur Rakyat’ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baru sebelum ini, beliau berkata pihaknya menyediakan sehingga 3,000 pek makanan sehari.

“Pasukan saya ni kekuatan maksimum kita boleh buat 5,000 pek sehari. Itu kemampuan kita setakat ni. Sukarelawan saya ada di seluruh negara. Jumlah lebih kurang seratus orang.

“Tetapi dalam satu-satu masa untuk memasak kita perlukan dalam enam ke tujuh orang sahaja,” katanya.


Katanya, jumlah itu adalah untuk memasak, namun biasanya akan ada petugas-petugas tempatan yang membantu dari sudut penyediaan.

Menurut Pak Jamu, walaupun mereka adalah sukarelawan, namun beliau sangat menjaga kebajikan para sukarelawan yang membantu beliau.

“Mereka dah korbankan tenaga, korbankan masa, kita kena jaga kebajikan mereka. Duit minyak kita bagi, pastikan ada penempatan yang selesa selama mereka bertugas.

“Kita memang bergerak atas sumbangan orang ramai, ahli dan pemimpin parti. Kadang-kadang ada pimpinan yang bagi sejumlah wang untuk sukarelawan, jadi saya agih-agihkan pada mereka,” katanya.

Biasanya beliau mengenakan bayaran asas yang sangat rendah bagi perkhidmatan ‘Dapur Rakyat’ diberi kerana ia akan turut ditampung oleh sumbangan orang ramai.

Kerana itu katanya, menu yang disediakan sangat jauh lebih baik berbanding caj dikenakan atas sumbangan diterima dari banyak pihak.

“Pernah kita hidang lauk ketam. Bayangkanlah berapa harga ketam? Tetapi sebab ada orang sumbang bagi ketam mentah, kita masaklah ketam tu buat lauk,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, beliau bercita-cita untuk melengkapkan fasiliti yang dimiliki oleh Dapur Rakyat agar tidak lagi perlu meminjam atau menyewa daripada pihak luar.

“Saya harap nanti kita akan ada ‘marquee tent’ sendiri, ada lori yang lebih besar untuk isi semua barang-barang dan peralatan kita. Kalau boleh kita nak ada generator elektrik sendiri dan banyak lagi peralatan yang kita nak adakan sendiri,” katanya.

Katanya, jika memiliki fasiliti yang lengkap, maka ia lebih memudahkan hasratnya untuk melihat ‘Dapur Rakyat’ segera tiba sebaik berlaku sesuatu bencana di sesuatu kawasan. – HARAKAHDAILY 1/10/2024

Ulasan