PAS kutuk tindakan Israel halang UNRWA

PAS kutuk tindakan Israel halang UNRWA
October 30, 2024

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Kenyataan Media

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan Parlimen negara haram Israel (Knesset) yang telah meluluskan dua rang undang-undang iaitu melarang Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beropersi di negara haram Israel dan wilayah yang dikuasainya serta mengklasifikasikan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas.

Implikasi daripada tindakan kejam tersebut sudah tentunya akan menyukarkan lagi kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza khususnya barangan keperluan asas, makanan dan ubat-ubatan di saat warga Palestin berhadapan dengan situasi kemanusiaan yang amat kritikal ketika ini berikutan tindakan regim Zionis Israel menghalang konvoi bantuan kemanusiaan daripada memasuki Semenanjung Gaza.

Tindakan tersebut merupakan kezaliman terkutuk dan jenayah perang paling keji abad ini yang menjelaskan niat sebenar regim Zionis Israel iaitu untuk menjajah dan menghalau rakyat Palestin keluar dari Semenanjung Gaza dengan menyukarkan kehidupan mereka yang saat ini tiada tempat berlindung, kelaparan dan pada bila-bila masa sahaja menjadi akan mangsa peluru atau bom tentera regim Zionis Israel.

Sudah sampai masanya Dunia khususnya PBB dan Majlis Keselamatan PBB bertindak tegas dan keras ke atas negara haram Israel yang secara berterusan melanggar pelbagai Resolusi PBB, Konvensyen Geneva dan norma-norma kemanusiaan sejagat dengan melakukan jenayah perang yang paling kejam pada abad ini ke atas warga Palestin di Semenanjung Gaza ketika ini.

Negara-negara Islam juga perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel termasuk menghentikan apa jua aktiviti ekonomi yang membantu memanjangkan hayat negara haram Israel. Sudah sampai masanya untuk bertindak membantu warga Palestin dan memerdekakan bumi Palestin dari penjajahan regim Zionis Israel, bukan lagi berpeluk tubuh, melihat dari jauh, berdiam diri dan berkata-kata tanpa sebarang matlamat.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat

Ulasan