Pendidikan lestari mampu wujudkan masa depan bebas kemiskinan


Pendidikan lestari mampu wujudkan masa depan bebas kemiskinan
Oleh Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin - Oktober 8, 2024 @ 8:30am
KEMISKINAN adalah ancaman kepada manusia dan atas faktor ini, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggariskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi menoktahkan kemiskinan global.

Seiring aspirasi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggariskan strategi untuk mengurangkan kemiskinan berdasarkan penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai penunjuk utama bagi menyasarkan bantuan dan memastikan pengagihan lebih adil dalam menangani kemiskinan dan memahami kumpulan sasaran.

Strategi ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemampanan program pembasmian kemiskinan, termasuk penggunaan teknologi digital bersepadu. Di Malaysia, pembangunan kemahiran dan teknologi berpotensi menoktahkan kemiskinan, terutama di kawasan luar bandar.

Menerusi Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0) dan Masyarakat 5.0, negara boleh memupuk minda serta sikap menggalakkan pertumbuhan masyarakat serta individu secara bersasar dan penjanaan pendapatan, termasuk kelestarian pendidikan ilmu pengetahuan.
Disyorkan






Penyediaan individu mempunyai kemahiran, sikap dan teknologi serta penguasaan bidang kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memastikan kemiskinan dapat dinoktahkan.

Selain itu, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dirangka untuk menyediakan kumpulan B40 dengan alat digital, latihan kemahiran dan pendidikan diperlukan untuk menambah rezeki. Ia menggariskan kepentingan memupuk sikap positif terhadap keusahawanan, peningkatan diri dan pembelajaran sepanjang hayat.

Perluas program TVET

Pada masa sama, dengan memperluaskan program TVET, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berada di barisan hadapan dalam menyediakan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran IR 5.0.

Program ini melengkapkan pelajar dengan kemahiran diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital. Pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah dijamin mendapat akses kepada pendidikan tinggi melalui program bantuan kewangan seperti Tabung Pendidikan B40.

Inisiatif ini bukan sahaja memberikan pengetahuan bahkan potensi untuk mengatasi halangan sosioekonomi dan menjana kekayaan. Pendidikan dalam talian, platform keusahawanan digital dan sumber celik kewangan ke kawasan luar bandar melalui Rangkaian Digital Nasional (JENDELA), dapat meningkatkan sambungan internet di seluruh negara seterusnya dapat dimanfaatkan untuk menjana ilmu dan pendapatan.

Inisiatif Malaysia untuk menyepadukan penjanaan kekayaan, penanaman minda positif dan pembangunan kemahiran adalah konsisten dengan SDG UNESCO, dengan penekanan khusus pada SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).

Kepentingan pendidik dan institusi dalam pembangunan keusahawanan, kebolehsuaian dan pembelajaran sepanjang hayat digariskan dengan sambutan Hari Akademia Negara pada Sabtu lalu.

Korea Selatan, Finland perlu jadi contoh

Korea Selatan muncul sebagai peneraju global dalam ekonomi digital dengan memupuk minda nasional mengutamakan inovasi, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sistem pendidikan Finland yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, adalah contoh utama bagaimana pendidikan boleh mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan penjanaan kekayaan dengan mengutamakan ekuiti, pembelajaran peribadi dan pembangunan kemahiran.

Pada masa sama, kadar kemiskinan Finland adalah rendah kerana penekanan negara itu pada kebolehsuaian, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan penduduknya menerusi pemerkasaan pendidikan holistik serta bersasar.

Berpandukan pengalaman dan rekod berkenaan, Malaysia boleh mewujudkan masa depan bebas kemiskinan menerusi peningkatan pendidikan bermatlamat untuk memastikan setiap rakyat meningkatkan kehidupan mereka, menyumbang kepada kemakmuran negara, dan akhirnya membasmi kemiskinan.

Apa yang penting, kesedaran membasmi dan menoktahkan kemiskinan perlu wujud untuk memperbaiki kehidupan menerusi kempen pendidikan sepanjang hayat secara berterusan.

Penulis adalah Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN)

Ulasan