Ramalan air pasang besar, penduduk sedia pindah


Ramalan air pasang besar, penduduk sedia pindah
SHUHAILA Ahmad Jamlos meninjau kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di Kampung Lorong Kalat, Batak Rabit di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Oleh AIN SAFRE BIDIN
4 Oktober 2024, 6:40 am

TELUK INTAN: Penduduk Batak Rabit di sini sedia berpindah berikutan ramalan fenomena air pasang besar lebih tinggi bulan ini selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Oktober ini.

Ketua Kampung Batak Rabit, Shuhaila Ahmad Jamlos, 47, berkata, walaupun penduduk kampung itu sudah biasa de­ngan air pasang tetapi ramalan air pasang besar lebih tinggi membimbangkan mereka.

Menurutnya, apatah lagi kampung itu dan beberapa kawasan lain di Teluk Intan dilanda air pasang besar baru-baru ini yang menyebabkan air masuk ke rumah penduduk selain benteng penahan air dan hakisan di kampung itu mengalami kerosakan.

Katanya, penduduk masih lagi trauma dengan kejadian air pasang besar yang berlaku dua minggu lalu dan menyatakan kesediaan untuk berpindah sepanjang air pasang besar berlaku.

“Fenomena air pasang besar yang berlaku di sini dua minggu lalu adalah yang terburuk pernah berlaku akibat limpahan air dari Sungai Perak.

“Saya yang tinggal di kampung ini, rumah saya turut dinaiki air pasang besar sehingga paras lutut.

“Penghuni 35 buah rumah di kampung ini bersiap sedia berpindah jika air pasang besar naik tinggi.

“Bagi warga emas dan penduduk yang sakit, kami sudah sedia untuk memindahkan mereka ke dewan orang ramai. Semua 35 buah rumah ini akan dilanda banjir jika air pasang besar naik tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, penduduk ber­harap pembinaan benteng pe­mecah ombak di kampung itu dapat mengelak kejadian buruk semasa air pasang besar.

“Pembinaan benteng peme­cah ombak ini dapat mengelak air Sungai Perak melimpahi tebing semasa air pasang besar,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan notis yang tular yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak, jabatan itu mengingatkan me­ngenai ramalan akan berlaku fenomena air pasang besar di kawasan Daerah Hilir Perak di sini.

Menurut notis itu, berdasarkan ramalan oleh agens-agensi bertanggungjawab, fenomena air pasang besar akan berlaku pada bulan Oktober ini selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Oktober dengan paras air ter­tinggi antara 3.1 hingga 3.4 meter.

Notis itu menjelaskan, kejadian fenomena air pasang besar kali ini dijangka pada skala lebih besar berbanding September lalu. – UTUSAN

Ulasan