Serangan peluru berpandu Iran menggoncang rejim Israel
October 3, 2024
Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
KUALA LUMPUR: Serangan peluru berpandu Iran ke atas negara haram Israel dua hari lalu benar-benar mengejutkan banyak pihak.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, setelah hampir tiga bulan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh rejim Israel di Tehran, Iran, ramai pihak yang menyangka Iran tidak akan bertindak balas ke atas pembunuhan tersebut atas pelbagai alasan.
“Serangan peluru berpandu regim Israel ke atas Beirut awal minggu lalu yang mengakibatkan (pemimpin Hizbullah) Sayyed Hassan Nasrallah terkorban menguatkan lagi tanggapan bahawa Iran tidak berani bertindak balas atau mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan rejim Israel jika berlaku perang antara kedua-duanya,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
ADUN Batu Buruk itu berkata, alasan itu dikuatkan lagi dengan teori bahawa teknologi ketenteraan regim Israel lebih jauh ke hadapan berbanding dengan Iran apatah lagi rejim Israel mendapat bantuan ketenteraan sepenuhnya dari Barat.
Jelas beliau, ancaman Barat ke atas Iran juga turut dijadikan alasan utama mengapa Iran tidak bertindak balas ke atas negara haram Israel.
Ternyata kesemua tanggapan dan teori tersebut menurutnya adalah tidak benar kerana tanpa sedikit pun rasa gentar, Iran ‘menghujani’ negara haram Israel dengan hampir 200 buah peluru berpandu balistik dan hipersonik.
Di mana katanya, lebih 90 peratus daripadanya mengenai sasaran dan tidak mampu langsung dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome, Patriot dan Arrow yang dikatakan terbaik di dunia.
“Regim Israel kelihatan kaku dan lumpuh ketika ‘dihujani’ peluru berpandu dari Iran. Barat yang turut membantu regim Israel cuba memintas peluru berpandu dari Iran sama ada melalui kapal perangnya di Laut Mediterranean, pesawat pejuangnya dari ruang udara berdekatan mahupun sistem pertahanan udara Patriot yang di tempatkan di negara-negara berdekatan,” terang beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, selepas terhentinya serangan peluru berpandu Iran ke atas negara haram Israel, kredibiliti rejim Israel dan Barat telah tersungkur ke lembah yang paling hina dalam sejarah ketamadunan dunia.
Menurut beliau, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam sidang medianya selepas serangan tersebut kelihatan sugul, marah dan terketar-ketar memegang teks ucapannya mengumumkan akan bertindak balas segera (keesokkan harinya) ke atas Iran.
Namun ketika ini terangnya, rejim Israel dan Barat mula berdolak dalih untuk bertindak balas ke atas Iran walaupun Barat khususnya Amerika Syarikat mengakui akan membantu rejim Israel.
Kini jelas Dr Khalil, mereka sedar Iran bukan ‘budak belasahan’ mereka lagi malah mula mengakui kekuatan ketenteraan Iran.
Namun kata beliau, akibat bacul dan takutnya regim Israel ke atas Iran, mereka mula menyerang secara menggila di Gaza dan Lubnan kerana itulah sahaja tindakan pengecut yang mereka mampu lalukan.
“Regim Israel juga turut mula menceroboh masuk ke Selatan Lubnan kerana menyangka pengeboman bertali arus mereka ke atas selatan Lubnan telah menghancurkan struktur ketenteraan Hizbullah.
“Ternyata mereka silap dan membayarnya dengan harga yang cukup mahal. Hanya mampu menceroboh tidak sampai 1 km, lebih 30 tentera rejim Israel mati dengan puluhan lagi yang cedera akibat serangan tentera Hizbullah yang menyebabkan tentera rejim Israel terpaksa berundur kembali ke kawasan di negara haram Israel,” katanya lagi.
Dr Khalil berkata, di negara haram Israel sendiri, Benjamin Netanyahu berhadapan dengan tekanan yang cukup hebat.
Tambahnya, serangan Iran mengakibatkan pendatang haram Yahudi panik dan ketakutan kerana mereka beranggapan sekiranya Iran menyerang sepenuhnya negara haram Israel, ia mampu musnah dan bakal menjadi bahan sejarah.
Ternyata terang beliau, kini nasib negara haram Israel umpama telur di hujung tanduk, menunggu masanya sahaja untuk hilang dari ingatan masyarakat dan sejarah dunia.
“Sama-sama kita doakan agar tidak lama lagi bumi Al-Quds dan warga Palestin berjaya dibebaskan dari cengkaman dan penjajahan rejim Israel seterusnya mencapai kemenangan dan kemerdekaan yang mutlak Insya-Allah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan