
Terengganu bakal gergasi ekonomi baharu Malaysia
Prestasi cemerlang GLC, tiada lantikan politik 'bagi makan'
October 8, 2024
TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menzahirkan keyakinan bahawa pencapaian cemerlang syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Terengganu bakal membawa kemakmuran kepada negeri itu.
“Saya percaya Terengganu akan menjadi sebuah gergasi ekonomi baharu melalui prestasi baik ditunjukkan oleh GLC-GLC yang ada sekarang ini kerana diuruskan dengan baik, bersih dan penuh integriti.
“Saya yakin Terengganu di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar insya-Allah akan dapat membawa negeri ini ke arah sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Jelas beliau, keuntungan yang diperolehi oleh GLC itu pasti akan kembali semula kepada rakyat apabila hasil-hasilnya dipulangkan kepada kerajaan negeri dalam bentuk dividen.
Kata Bakri, strategi dan polisi terkini Kerajaan Negeri Terengganu terhadap barisan GLC miliknya akan membawa kejayaan kepada syarikat-syarikat terbabit.
Antaranya, beliau melihat bahawa Kerajaan Terengganu tidak mengamalkan pemberian jawatan dalam GLC semata-mata untuk ‘memberi makan’ kepada ahli politik walaupun mereka itu tidak memberi manfaat kepada GLC tempat mereka memegang jawatan.
“Sekarang ini walaupun ada juga orang politik yang memegang jawatan contohnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah GLC, tetapi ia kerana kepakaran yang mereka ada.
“Contohnya, saya dibawa masuk ke dalam salah satu GLC atas kepakaran dan pengalaman saya dalam bidang perladangan dan korporat, bukan semata-mata kerana saya ahli politik,” katanya.
Tambah beliau, seorang lagi pemimpin PAS iaitu Ts Muhtar Suhaili yang kini ialah merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang minyak dan gas.
Dengan itu menurut beliau, kehadiran mereka bukan sekadar untuk menerima elaun semata-mata, tetapi memberikan sumbangan kepakaran dalam memajukan industri yang mereka sertai.
Selain itu jelasnya, semua GLC milik Kerajaan Negeri Terengganu dinaungi oleh syarikat pengurusan perniagaan strategik negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB).
TISB beritahunya, sentiasa berusaha untuk memastikan GLC-GLC yang mereka ada bekerja keras untuk memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah kepada GLC milik Negeri Terengganu, TDM Berhad berkata demikian kepada Harakahdaily semalam ketika ditemubual berkaitan hasil lawatan beliau ke Kemaman Supply Base (KSB).
Menurut beliau, dalam lawatan berlangsung pada Khamis lepas dan dianjurkan oleh TISB itu, semua ahli rombongan telah ditaklimatkan mengenai perkembangan terkini KSB yang kini diletakkan di bawah pengurusan EPIC Berhad.
Taklimat yang disampaikan oleh Ts Muhtar itu menurut beliau, menjelaskan berkenaan kedudukan terkini KSB yang menjadi salah satu nadi penting kepada perindustrian di negeri Terengganu itu.
“Dari pembentangan itu saya memang sangat teruja mendengar tentang kedudukan prestasi perniagaan KSB pada masa kini.
“Dalam pembentangan itu dimaklumkan yang KSB sasar hasil sebanyak RM300 juta untuk tahun ini, tetapi sehingga kini hasil telah pun melebihi RM300 juta.
“Insya-Allah ia boleh mencapai RM400 juta. Kalau capai RM400 juta maknanya lebih 33 peratus dari sasaran awal yang diprojekkan oleh pihak syarikat,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu.
Tambahnya, KSB dilaporkan sedang dalam perancangan untuk melakukan pengembangan fasiliti syarikat pada tahun 2026 dengan pembinaan dermaga timur, dermaga barat dan LNG.
Selain itu katanya, KSB juga dilaporkan akan menambah benteng pemecah ombak bagi membolehkan mereka meningkatkan kapasiti mereka kepada dua atau tiga kali ganda.
“Antara kelebihan KSB ini ialah kedalaman ‘draft’nya sebanyak 18 meter, yang merupakan ‘draft’ atau kedalaman natural antara pelabuhan yang paling dalam di Malaysia.
“Dengan kedalaman itu mereka boleh menampung kapal besar yang panjangnya menjangkau 300 meter panjang. Kira-kira panjang tiga kali padang bola,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan pengembangan dan penambahbaikan fasiliti sedia ada, KSB boleh menjadi pintu masuk import-eksport yang boleh membangunkan ekonomi Pantai Timur.
“Saya lihat cabarannya sekarang ialah sejauh mana EPIC dapat mewujudkan industri-industri baharu di sekitar KSB yang dapat menyokong operasi KSB itu.
“Sebab potensinya memang ada kerana ia adalah koridor yang dekat dengan China, Taiwan, Korea dan Jepun,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 8/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan