
Tewas PRK Mahkota, PAS Kluang buka pejabat baru
October 6, 2024
KLUANG: Walaupun baru sahaja berhadapan dengan kekalahan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, namun PAS Kawasan Kluang bangkit dengan pembukaan pejabat baru.
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, ia adalah satu kejayaan terbaru PAS kawasan itu dalam perkembangan terkini gerak kerja perjuangannya.
“Maknanya kalau nak nampak yang mudah, kejayaan selepas sahaja PRK, telah kita merasmikan pejabat baru. Maknanya begitu cepat kita punya perkembangan dalam perjuangan. Alhamdulillah ini satu petanda yang baik.
“Maknanya kita tidak lemah semangat. Kita bergerak terus. PAS, BERSATU, GERAKAN kita telah pun berbincang. Tadi pun kita bincang dulu sebelum jamuan makan tadi, kita akan menggerakkan terus gerak kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Perasmian Pejabat Baharu PAS Kawasan Kluang dan Meraikan Jentera pada PRK Mahkota yang berlangsung, di sini malam tadi.
Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang turut dihadiri mantan calon Perikatan Nasional bagi PRK DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau Coach Haizan.
Jelasnya, semua parti komponen dalam Perikatan Nasional di negeri itu akan terus bertemu dan menyantuni rakyat serta mengatur langkah-langkah yang seterusnya dalam gerakan politik mereka.
“Kita tidak duduk diam, kita tidak tunggu lama dan kita bergerak terus. Orang dah kenal kita, orang dah kenal Coach Haizan. Masyarakat pun dah kenal kita Perikatan Nasional. Jadi kita meneruskan momentum,” ujarnya.
Katanya, majlis dan pertemuan malam itu adalah sesuatu yang sangat bersejarah dan menunjukkan bahawa jentera PAS sentiasa berpegang kepada firman Allah dalam Surah Ali Imran
“Dalam Surah Ali Imran yang bermaksud ‘Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, kamulah golongan yang paling tinggi sekiranya kamu beriman’,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Muhammad sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluannya mengucapkan jutaan terima kasih atas pengorbanan telah dilakukan jentera pilihan raya sama ada jentera tempatan ataupun dari luar Kluang dan Johor yang datang membantu.
“Kalau kita tengok sahabat-sahabat yang hadir pada malam ini, inilah di antara petugas-petugas yang bersama-sama bertungkus lumus pada PRK yang lepas.
“Untuk membantu Perikatan Nasional dalam pilihan raya yang lepas. Inilah di antara jentera-jentera yang sama-sama kita raikan pada malam ini. Alhamdulillah,” katanya.
Tambahnya, walaupun dalam keadaan ‘kelesuan’ kerana keletihan berkempen dan kerana kekalahan, namun jentera parti itu terus bergerak meneruskan perjuangan.
“Tetapi inilah sebenarnya inilah PAS sebenarnya. Tiada erti rehat, tiada erti penat dalam perjuangan. Baru sahaja selesai pilihan raya terus mengadakan program.
“Program-program yang seperti ini. Jadi saya selaku Yang Dipertua mengucapkan ribuan terima kasih kepada hadirin hadirat,” katanya.
Antara tetamu khas yang turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Bahagian ERSATU, Azman Amir Hamzan dan wakil GERAKAN Kluang.
Pejabat tersebut yang terletak di Taman Makmur diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran PAS Kawasan Kluang selaras dengan peningkatan dalam urusan harian kawasan tersebut.
Ia menempatkan Pejabat Pentadbiran Utama PAS Kawasan termasuk Dewan-dewan selain bilik mesyuarat yang boleh memuatkan lebih 25 orang dalam satu-satu masa.
Sementara itu Markaz PAS Kawasan Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ) akan dijadikan Markaz Utama Tarbiyah dan program-program mingguan serta bulanan. – HARAKAHDAILY 6/10/2024

Ulasan
Catat Ulasan