TG Hashim kongsi pengalaman temu Hassan Nasrallah



TG Hashim kongsi pengalaman temu Hassan Nasrallah
October 3, 2024

ARAU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkongsi pengalaman berharga bertemu dengan pemimpin Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dalam satu persidangan di Beirut, Lubnan sebelum ini.

Pertemuan tersebut menurut beliau, turut dihadiri oleh delegasi Malaysia yang diwakili oleh PAS, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Tuan Guru Hashim, dalam pertemuan itu, Hassan Nasrallah menyentuh mengenai penyakit ‘kasihkan dunia dan benci kepada mati’ yang melanda umat Islam.

Hassan jelas beliau, sangat menekankan kepada pentingnya mendidik generasi muda agar tidak terlalu mencintai dunia sehingga takut untuk mati.

Menurut Hassan kata Tuan Guru Hashim, walaupun usaha ini dilihat sukar, ia adalah penting untuk melahirkan pejuang yang berani mempertahankan Islam.

“Melihat kepada situasi di Gaza, kita dapat lihat bagaimana tentera HAMAS yang kecil, malah lebih kecil daripada Perlis, berani melawan kekuatan tentera Israel yang jauh lebih hebat.

“Inilah contoh tentera yang tidak takut mati dan bersedia untuk syahid di jalan Allah,” jelas Tuan Guru Hashim menerangkan teladan kepada maksud tokoh tersebut.

Beliau juga menambah, kekuatan pejuang HAMAS terhasil daripada panduan Al-Quran dan Hadis yang dijadikan asas tarbiyah perjuangan mereka.

Hassan Nasrallah ungkapnya, juga terkenal dengan keupayaan beliau memberi ucapan yang bersemangat, menjadikannya salah seorang pemimpin paling diburu oleh Israel.

“Walaupun beliau seorang Syiah, saya tetap berdoa untuknya kerana usahanya membentuk angkatan tentera yang hebat dalam suasana politik yang sukar di Lebanon bukanlah sesuatu yang mudah,” tambahnya.

Tuan Guru Hashim turut menyeru agar ahli-ahli PAS diberikan penekanan lebih kepada pendidikan rohani menerusi tarbiyah agar tidak terlalu fokus kepada kebendaan.

Beliau memuji usaha institusi seperti PASTI yang mendidik anak-anak kecil untuk solat berjemaah dan memberikan fokus kepada nilai-nilai rohani, serta menekankan kepentingan amal Islami.

“Tarbiyah ini penting kerana kita bukan hanya mahu melahirkan individu yang berjaya di dunia, tetapi juga di akhirat.

“Kita perlu membentuk generasi yang seimbang dari segi fizikal, mental, dan rohani,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Ulasan