Tindakan segera perlu: Henti provokasi keluar Malaysia
October 7, 2024
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan supaya bertindak pantas dan tegas tehadap mana-mana warganegara yang berkempen dan berusaha bagi mempromosi gerakan mendesak Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Persekutuan Malaysia.
Beliau menggesa perkara tersebut berikutan penularan video berkaitan kejadian menurunkan Jalur Gemilang dengan menggantikan bendera Sabah dan Sarawak yang berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September 2024 sangat membimbangkan.
“Ia boleh menggugat perpaduan rakyat Malaysia yang hidup harmoni antara satu sama lain termasuk di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, insiden provokasi yang kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta usaha menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah Republik boleh mencetuskan ketidakselesaan dan keharmonian antara rakyat di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan juga Sarawak.
Beliau berkata, itu bukanlah kali pertama gerakan dan desakan seumpama berlaku, dan disebabkan perkara tersebut, beliau bimbang tindakan tegas yang lambat diambil akan memburukkan lagi keadaan.
Kesalahan itu jelas beliau, mampu meluaskan pengaruh pemikiran bahawa Sabah dan Sarawak itu dijajah oleh Semenanjung seterusnya membawa kepada desakan untuk keluar dari Persekutuan Malaysia.
Oleh itu menurut beliau, tindakan provokasi itu tidak boleh diambil mudah walaupun sesetengah pihak menganggap perkara itu tidak serius dan agak ‘mustahil’ untuk berlaku.
“Walaupun kumpulan pendesak ini tidak bertapak di negara ini, namun pastinya doktrin ini ditanam oleh rakyat Malaysia sendiri atau yang mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia,” jelas beliau.
Beliau berkata, tindakan pantas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sangat baik.
“Namun, kita masih menunggu perkembangan siasatan tersebut,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan harus segera dan tegas dalam mengambil tindakan seperti mana yang dilakukan terhadap kumpulan Al-Maunah yang telah didakwa kerana menentang Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sekali lagi berharap agar perhatian serius diberi terhadap isu ini bagi menghilangkan kegusaran rakyat terhadap isu ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan