WHO pindah 1,000 wanita, kanak-kanak Gaza ke Eropah



WHO pindah 1,000 wanita, kanak-kanak Gaza ke Eropah
WANITA Palestin dan kanak-kanak cuba menyelamatkan diri ekoran serangan Israel terhadap kawasan Deir Al-Balah, Gaza.-AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
21 Oktober 2024, 5:37 pm

COPENHAGEN: Kira-kira 1,000 wanita dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan akan dipindahkan dari Gaza ke Eropah tidak lama lagi.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cawangan Eropah, Hans Kluge mendakwa, Israel komited untuk membenarkan 1,000 lagi pemindahan perubatan dalam beberapa bulan akan datang ke Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, pemindahan itu akan difasilitasi oleh WHO – agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – dengan negara Eropah yang terlibat.

Mei lalu, wakil WHO di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn berkata, sekitar 10,000 orang perlu berpindah dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.

WHO Eropah memudahkan 600 pemindahan perubatan dari Gaza ke tujuh negara Eropah sejak perang tercetus pada Oktober 2023.

“Ini tidak akan berlaku jika kami tidak mengekalkan dialog (terbuka). Begitu juga untuk Ukraine, saya mengekalkan dialog dengan semua rakan kongsi,” kata Kluge dalam kenyataan, hari ini.


Khamis lalu, penyiasat PBB menuduh Israel sengaja menyasarkan kemudahan kesihatan di Gaza dan membunuh serta menyeksa kakitangan perubatan di sana.

PBB turut menyifatkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.– AFP

Ulasan