Ada campur tangan asing dalam gerakan Reformasi



Ada campur tangan asing dalam gerakan Reformasi
November 7, 2024

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) bangkit membidas cubaan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memutar belit dan meremehkan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Pemimpin PAS itu menyanggah ucapan pemimpin PKR tersebut yang menyalah erti dan membuat dakwaan tidak benar terhadap ucapan perbahasan Belanjawan 2025 dikemukakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi pada Selasa lalu.

Saifuddin dilihat menggunakan kesempatan dalam ucapannya untuk merendahkan Presiden PAS kononnya tidak pernah dipenjarakan walaupun seminit pada keterlibatan tokoh ulama tersebut dalam gerakan reformasi negara.

“Saya dengar ucapan Marang baru-baru ni dia kata dulu, dia ikut reformasi. Tapi bila reformasi ni masuk bertempur dengan polis-polis pun saudara kita maka dia pun backoff (berundur).

“Kemudian dalam reformasi ni juga ramai kena tangkap, yang masuk lokap kita. Dari segi sejarah, Marang satu minit pun tak pernah masuk penjara. Tak pernah,” ujarnya bagaimanapun turut dibantah Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau).

Berbalas hujah antara kedua pihak tersebut terjadi ketika Saifuddin berucap pada sesi Penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) oleh Menteri-menteri di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Syahir yang ketika itu turut bangun mencelah terus menyanggah kata-kata Saifuddin dengan berulang kali menegaskan bahawa Marang pernah ditahan masuk lokap, tetapi sekali lagi dipertikaikan Saifuddin bahawa pihaknya dilokap di bawah Seksyen 27.

Bagaimanapun Syahir menyatakan bahawa mereka itu ditangkap ketika lari dari pihak berkuasa dan ketika Saifuddin mempersoalkan sama ada Syahir pernah dilokap, beliau memberitahu berada di belakang Presiden PAS dan turut kena semburan air.

Ketika Saifuddin cuba memuji PH-Kota Raja iaitu merujuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannya itu, Syahir spontan membalas dengan kata-kata ‘Itu abang kami dulu’.

“Sikit sangat saja (kena lokap). Jadi, jangan jadi alasan itu kerana bertempur dengan polis maka kita backoff. Dalam sejarah PAS polis pun mati kena bunuh ada. Jadi, takkanlah backoff kerana bertempur polis dalam demonstrasi maka backoff.

“Itu alasan yang lemah. Sebab dalam sejarah perjuangan PAS 1951 sehingga sekarang, saya boleh sebut secara fakta. Ada momen di mana, bukan gas, polis pun mati. Jadi toksahlah kita prolong tajuk-tajuk itu. Toksah mengubah sejarah,” ujar Saifuddin tetap meremehkan Tuan Guru Abdul Hadi.

Syahir yang kekal berdiri meminta laluan mencelah ketika itu terus menyangkal ucapan Saifuddin dengan menegaskan bahawa disebut Marang bukan mengenai bertempur dengan polis.

“Tapi apabila ada campur tangan asing, ada campur tangan asing dalam gerakan reformasi. Itu faktanya,” sanggah beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

Ulasan