Ada sebab mengapa papan iklan perlu utamakan bahasa Melayu
JELAS lagi tegas mewajibkan sesuatu iklan itu hendaklah terpapar dalam bahasa Melayu sama ada dengan sendirinya atau bersesama mana-mana bahasa lain.
Oleh TEO KOK SEONG
26 November 2024, 8:00 am
LANGKAH pihak berkuasa tertentu untuk mengambil tindakan terhadap iklan yang langsung tidak menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, bukan sahaja amat tepat. Juga ia sepatutnya dilakukan secara konsisten semenjak dahulu lagi, iaitu sejurus sahaja tergubalnya Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 yang dipinda pada 1985. Perundangan kecil ini selalu diguna pakai pada Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Sehubungan penggunaan bahasa Melayu, ia dengan jelas lagi tegas mewajibkan sesuatu iklan itu hendaklah terpapar dalam bahasa Melayu sama ada dengan sendirinya atau bersesama mana-mana bahasa lain. Selanjutnya, ia mengkehendaki semua perkataan dan huruf dalam bahasa Melayu diberikan keutamaan pada warnanya, selain hendaklah berada pada kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan, huruf atau tulisan dalam bahasa lain yang digunakan. Begitu dengan saiznya dalam bahasa lain yang hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam bahasa Melayu.
Ia yang sudah terang lagi bersuluh itu tidak patut langsung dipertikai mana-mana pihak, jauh sekali oleh mereka dalam badan perundangan, apabila iklan yang tidak mematuhinya dikenakan tindakan. Dalil, mana dalih yang diajukan itu bukan sangat dangkal, malah salah sama sekali. Antaranya ialah Malaysia negara berbilang kaum dan budaya. Oleh itu, tidak ada salahnya apabila adanya penggunaan bahasa lain. Justeru, kepelbagaian ini hendaklah diraikan dengan membenarkan penggunaan bahasa lain.
Sebenarnya negara ini adalah bumi Melayu-Islam. Ia bersifat majmuk sahaja. Oleh itu, penggunaan bahasa lain dibenarkan dengan syarat yang begitu jelas, iaitu ia tidak boleh sesekali wujud bersendirian. Sebaliknya, kewujudannya bersyarat yang memerlukannya berada secara sekunder kepada bahasa Melayu selaku yang primer. Inilah yang termaktub pada perundangan kecil iklan itu.
Apabila ini sudah difahami, tidak timbullah dalih yang bukan sahaja bebal sifatnya, Juga yang amat tidak perlu untuk dibawa ke Parlimen bagi dibincangkan oleh badan perundangan, seperti yang mahu dilakukan oleh pihak tertentu. Dalam pada ini, dalih bahawa negara ini bersifat berbilang kaum dan budaya perlu diperbetul. Ia bumi Melayu-Islam yang kependudukannya sahaja majmuk. Dengan ini, kepelbagaian itu dibenarkan dalam konteks negara Melayu-Islam dan bukannya semata-mata negara majmuk.
Natijah di sini ialah etnik Cina perlu mengikuti resam penting pada peribahasa Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, iaitu patuhilah peraturan dan kanun di mana mereka berada. Dalam hal ini, lakukanlah perkara betul, iaitu buatlah apa-apa yang ada manfaatnya yang besar lagi mulia kepada masyarakat terbanyak, lebih-lebih lagi kepada tuan rumah. Bukan sesekali yang hanya baik dan menguntungkan kehendak, malah nafsu etnik Cina semata-mata.
Dalam mempertahan penggunaan bahasa Mandarin sahaja pada sesetengah iklan itu, etnik Cina berhujah bahawa tiada keperluan adanya apa-apa maklumat jua dalam bahasa Melayu. Ini kerana dagangannya langsung tiada kena-mengena dengan etnik Melayu dan umat Islam.
Pun begitu, ia masih perlu diketahui oleh orang awam, lebih-lebih yang tidak mengetahui bahasa Mandarin dan etnik Melayu-Islam sebagai tuan milik tempat ini. Justeru, ia sangat diperlukan bukan sahaja atas faktor penting ini. Juga kerana iklan itu wujud di tempat awam yang merupakan ruang orang ramai.
Oleh itu, masih ada keperluan, malah yang mendesak pun untuk orang ramai mengetahui perkara sebenar pada iklan yang wujud di sesuatu tempat awam itu, waima ia mengenai makanan etnik Cina yang tidak halal sekali pun. Inilah antara caranya untuk akur kepada resam pada peribahasa Melayu itu.
Dengan ini, ia juga berupa perbuatan menghormati etnik Melayu-Islam selaku tuan rumah. Walaupun ia tidaklah rumit sangat dan boleh difahami dengan mudah, nampaknya etnik Cina buta, malah sangat buta dalam hal ini.
Sehubungan ini, etnik Cina sebenarnya rakus, iaitu senantiasa mahu untung sepanjang masa dengan hanya mahu kehendak mereka dipenuhi tanpa langsung mahu memikirkan kesan buruknya kepada negara yang ikut dihuni etnik lain, selain etnik Melayu-Islam selaku tuannya.
Sudah tiba masanya etnik Cina sedar, sepatutnya insaf bahawa kerakusan terang-terangan mereka itu diperhati oleh banyak pihak, termasuklah di luar Malaysia, apatah lagi dalam negara. Sebenarnya etnik Melayu-Islam amat mengetahuinya, tetapi mereka tidak suka untuk berkonfrontasi jika boleh. Pun begitu, janganlah sampai melampaui batas untuk mereka bangkit mengamuk.
Dengan ini, etnik Cina hendak mula melakukan perkara betul setelah sekian lama melakukan perkara tidak betul. Sehubungan ini, mereka hendaklah segera berhenti daripada hanya mementingkan diri mereka sendiri, antaranya melalui dalih bahawa Malaysia negara berbilang kaum dan budaya. Oleh itu, mereka mahu hak sama rata untuk semua perkara.
Hakikatnya ialah ini negara Melayu-Islam yang amat bertoleransi terhadap kewujudan etnik lain yang bukan asal. Ini jelas sekali pada Perlembagaan Persekutuan, antaranya pada Perkara 3, 152 dan 153 yang didapati sangat adil.
Ini kerana ia terus menjamin penganutan agama lain, penggunaan bahasa lain serta perlindungan kepentingan etnik lain di bumi Melayu-Islam ini.
Sebenarnya, ia adalah sebaik-baiknya keadilan untuk etnik Cina yang sendiri mendatangi tanah watan etnik Melayu-Islam, dan sekadar mahu berintegrasi sahaja dan tidak mahu sesekali berasimilasi dengannya. Sesungguhnya, ia sudah jauh lebih daripada berpada-pada daripada etnik Melayu yang baik hati. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Ulasan
Catat Ulasan