Akta berkaitan AI: Menteri setuju cadangan Ahmad Fadhli


Akta berkaitan AI: Menteri setuju cadangan Ahmad Fadhli
November 12, 2024

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Pengenalan akta dan undang-undang yang lebih jelas berkaitan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk mencegah penyalahgunaan dan penipuan demi kebaikan masyarakat.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, Kesatuan Eropah telah memperkenalkan Akta Kecerdasan Buatan (Akta AI) di Amerika Syarikat iaitu Pelan Tindakan untuk ‘AI Bill of Rights’ kerana penggunaan itu semakin terancam.

“Adakah kita tidak pergi ke arah memperkenalkan akta-akta dan undang-undang tertentu apabila menyebut tentang AI?

“Baru saja disebarkan satu klip video daripada Astro Awani.. sebenarnya tidak, tapi dipalsukan dengan menggunakan AI yang menawarkan dalam bentuk penipuan pelaburan kepada pengguna. Apa pandangan menteri?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan penggulungan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Gobind berkata, kementeriannya sedang melihat aspek itu yang merangkumi pelbagai sektor dan cabaran, serta merangkumi perkara-perkara yang cukup memudaratkan sekiranya disalahgunakan.

“Saya setuju cadangan Yang Berhormat Pasir Mas kerana ia merupakan satu aspek yang cukup penting. Kita semua hendak menggunakan teknologi kerana ia dapat membantu kita.

“Tiga bulan yang lalu kementerian telah mewujudkan struktur Pejabat AI Kebangsaan (NAIO). Saya harap semua berjalan dengan lancar pada bulan depan dan melihat ia dapat bergerak ke negara-negara serantau dan juga global,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

Ulasan