AS dijangka perkukuh agenda Netanyahu



AS dijangka perkukuh agenda Netanyahu
Rakyat Palestin mengusung rakan mereka yang cedera akibat serangan tentera Israel do Beit Lahia, utara Gaza, kelmarin. - AFP
Oleh ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR
15 November 2024, 7:35 am

PETALING JAYA: Pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dijangka beri kesan besar terhadap konflik Palestin-Israel dengan dasar yang dilihat cende­rung berpihak kepada Israel.

Menurut penganalisis geostrategik, Dr. Azmi Hassan, sebarang usaha penyelesaian konflik Palestin-Israel pada masa hadapan berkemungkinan besar akan mengikut acuan dan kehendak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Tambahnya, keadaan menjadi semakin rumit dengan pelantikan bekas Gabenor Arkansas, Mike Huckabee, sebagai Duta AS ke Israel dan pelabur hartanah terkemuka, Steven Witkoff, sebagai utusan khas ke Timur Te­ngah yang bersikap pro-Israel.

“Huckabee tidak percaya bahawa Palestin merupakan sebuah negara berdaulat. Dalam era pemerintahan Trump, saya melihat kemungkinan beliau (Trump) akan cuba menghentikan konflik di Gaza, namun mengikut kehendak Netanyahu.

“Besar juga kemungkinan perancangan Netanyahu untuk menduduki dan memperluas penempatan haram Israel di Palestin bakal diteruskan, termasuk pendudukan di kawasan strategik seperti Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang dijangka menjadi milik Israel sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan Israel kini sedang berusaha untuk ‘mengosongkan’ uta­ra Gaza melalui serangan yang beri­siko mencetuskan kekejaman terburuk di kawasan itu.



Penolong Setiausaha Agung PBB untuk Hak Asasi Manusia, Ilze Brands Kehris turut menyatakan Israel sedang memaksa penduduk Palestin berpindah ke selatan Gaza, namun serangan ke atas tempat perlindungan dan kediaman awam berterusan, menyebabkan ramai orang awam terbunuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Advokasi dan Penerbitan Per­satu­an Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Syahmi Afiq Mohd. Shukar tidak menafikan bahawa latar belakang Zionis Huckabee dan Witkoff mungkin mempunyai signifikannya tersendiri dalam hal ini.

Mengulas situasi semasa di Palestin, Muhammad Syahmi berkata, pengusiran paksa penduduk Palestin adalah satu jenayah perang terancang yang menjadikan wilayah tersebut tidak lagi sesuai untuk didiami.

“Jika rancangan Israel untuk menghalau penduduk di utara Gaza ke kawasan tengah dan selatan berjaya, tidak mustahil mereka akan menduduki kawasan tersebut sepenuhnya, terutamanya dengan kewujudan koridor Philadelphi dan Netzarim yang memisahkan utara dan selatan Gaza.

“Pengosongan ini menyebabkan kebanjiran warga Palestin yang terpaksa berpindah dari utara ke kawasan tengah dan selatan Gaza. Namun, bagaimana hendak tampung perpindahan sekiranya kemudahan di kawasan ini sudah musnah, dan hampir 70 peratus daripada keseluruhan Gaza telah ranap?,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan