Bersatu lemah, Pas patut kemudi PN
Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PN
Oleh MEDIA MULIA
4 November 2024, 7:42 am
PETALING JAYA: Pas lebih layak dan sesuai mengemudi Perikatan Nasional (PN) berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, ini disebabkan kepercayaan yang semakin menghakis dalam kalangan rakyat dan akar umbi sehingga menyebabkan sokongan kepada Bersatu semakin lemah ketika ini.
Malah katanya, dengan melihat situasi terkini, kadar kebergantungan Bersatu terhadap Pas lebih jelas selepas timbul kemelut dalaman parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sokongan akar umbi kepada Bersatu semakin lemah. Ini berbeza dengan Pas. Malah selama ini memang wujud dakwaan Bersatu bergantung sokongan dengan Pas.
“Justeru sememangnya wajar Pas mengetuai dan mengemudi PN dan bukannya Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu Bahagian Tenggara terbubar apabila ketuanya bersama ahli jawatankuasa mengumumkan keluar parti itu.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Hassan Rasid berkata, keputusan keluar parti itu diambil selepas melalui proses pertimbangan mendalam dan tidak yakin dengan kepemimpinan tertinggi parti itu.
Dalam pada itu Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, kesan daripada kestabilan negara yang semakin mengukuh menyebabkan Bersatu semakin ditolak rakyat dan ahlinya.
“Tambahan pula pembangkang juga gagal dalam perundingan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
“Justeru di sebab itu ada pemimpin yang kecewa. Berbanding Pas, pemimpin parti itu lebih cekal dan tabah kerana mereka menjadi pembangkang dalam tempoh yang lama.Jadi apa yang saya lihat, Bersatu kini goyah disebabkan tidak tahan dalam berjuang,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan