Biden beri ‘lampu hijau’ Ukraine guna peluru berpandu jarak jauh AS serang Russia
Oleh Wartawan Luar Negara
18 November 2024, 11:06 am
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membenarkan Ukraine menggunakan senjata buatan Washington untuk menyerang jauh ke dalam Russia, lapor dua pegawai AS.
Menurut sumber, Ukraine merancang untuk melakukan serangan jarak jauh pertamanya dalam beberapa hari akan datang, tanpa mendedahkan butiran kerana kebimbangan keselamatan operasi.
Ia menyusuli rayuan oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang meminta AS membenarkan tenteranya menggunakan senjata yang dibekalkan negara itu untuk menyerang sasaran Russia yang jauh dari sempadannya.
Perkembangan mengejutkan itu dibuat sebahagian besarnya sebagai tindak balas kepada kerahan tentera darat Korea Utara oleh Russia yang telah menimbulkan kebimbangan di Washington dan Kyiv.
Keputusan untuk membenarkan penggunaan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) di dalam Russia dipercayai sudah dipertimbangkan selama beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, Washington menentang Ukraine menggunakan ATACMS jarak jauh terhadap sasaran Russia, memetik kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan balas Kremlin.
Peluru berpandu, dengan jarak 300 kilometer dan ketepatan berpandukan GPS itu mampu memberikan kuasa tembakan yang ketara dan kemusnahan dalam skala besar.
Keputusan Biden menandakan peralihan dalam dasar AS di tengah-tengah kerumitan global yang semakin meningkat dalam konflik Ukraine dan berlaku kira-kira dua bulan sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih.-REUTERS
Ulasan
Catat Ulasan