Cari penyelesaian menang-menang tanpa perlu ugutan






Cari penyelesaian menang-menang tanpa perlu ugutan
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
18 November 2024, 6:55 am


Petronas, Sarawak dan Kerajaan Perpaduan berada pada persimpangan getir. Negeri bumi Kenyalang itu meluluskan undang-undang yang memberikannya kuasa atau syarikat miliknya Petros menjadi agregator tunggal untuk semua sumber gas Sarawak.

Ini bercanggah dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang memberikan Petronas hak eksklusif ke atas semua minyak dan gas di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Bukan itu sahaja, Akta PDA 1974 menjadikan Petronas sebagai “regulator” kepada semua aktiviti hidrokarbon di Malaysia.

Keadaan bertambah kusut apabila seorang Adun Sarawak mahu Putrajaya memastikan Petronas menghormati undang-undang negeri itu selain memberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan hubungan Sarawak dan kerajaan Madani.

Satu laporan berita menyatakan ‘keangkuhan dan kedegilan’ Petronas jangan menjadi punca kejatuhan kerajaan Madani. Undang-undang negeri itu harus dihormati dan semua syarikat termasuk Petronas tidak boleh lari daripada mematuhi perundangan negeri itu.

Kuasa Sarawak menerusi undang-undang negeri mengenai pengurusan dan hak milik sumber aslinya diperluaskan dengan pengenalan beberapa undang-undang. Sarawak memiliki lebih 45 peratus keseluruhan sumber gas negara berbanding Semenanjung dalam lingkungan 25 peratus. Dengan penggubalan akta negeri, Sarawak telah memenangi loteri tanpa perlu membeli tiket.

Beberapa persoalan asas kini timbul berikutan pertikaian terhadap sumber gas dan minyak di Sarawak. Pertama sama ada undang-undang yang diluluskan di sesebuah negeri adalah lebih agung berbanding undang-undang Persekutuan yang menjadi asas pembentukan dan pegangan Persekutuan Malaysia.


Contohnya jika setiap negeri meluluskan kanun jenayah masing-masing. Adakah ia sah kerana hanya satu undang-undang jenayah Persekutuan yang diterima mahkamah. Sama ada PDA 1974 masih “bertakhta” hanya boleh diputuskan mahkamah tertinggi negara jika semua pihak sedia menerima keputusan penghakiman tertinggi.

Penyelesaian di mahkamah mungkin dapat menyelesaikan kemelut ini dan mengelak perkara sama berulang di negeri lain serta mengukuhkan keutuhan Persekutuan Malaysia. Ia sama seperti pada 2002 apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa memberikan Malaysia hak ke atas Pulau Ligitan dan Sipadan selepas tuntutan oleh negara ini dan Indonesia. Tetapi Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura hanya atas alasan Kuala Lumpur tidak pernah menguruskan Rumah Api di pulau itu.

Jadi jika benar semua sumber asli yang tertanam beratus ribu meter di perut bumi milik Sarawak, adakah selama ini kerajaan negeri itu membelanjakan ratusan bilion ringgit selama berdekad untuk mengawal laut, perairan dan sempadan serta semua lombong gas di dasar laut?

Seseorang menjadi pemilik jika sesuatu harta itu dijaga, ditadbir dan diuruskan secara berterusan.

Jika hak ke atas semua gas diserahkan kepada Petros, bagaimana pula semua perjanjian bernilai puluhan bilion Petronas dengan pembeli seperti Tokyo dan Shanghai yang sudah menandatangani perjanjian pembelian berpuluh tahun? Adakah semua perjanjian itu lupus?

Petronas adalah syarikat paling berharga di ASEAN, mengatasi gergasi seperti DBS Singapura dan Viettel, Vietnam. Untuk menghancurkan sesuatu yang berharga lebih mudah daripada membinanya. Ada perkara yang tidak mungkin dimaafkan tanpa mengira apa alasannya.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia dan rakyat Persekutuan Malaysia

Ulasan