Gagasan Rakyat tubuh jawatankuasa bincang agihan kerusi menjelang PRN17
HAJIJI Noor semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat AMT Gagasan Rakyat di SICC Kota Kinabalu semalam.
Oleh SURAIDAH ROSLAN
5 November 2024, 11:33 am
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk membincangkan proses agihan kerusi dengan rakan-rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun sebagai wakil Gagasan Rakyat yang akan duduk berbincang dengan rakan-rakan parti komponen lain dalam GRS termasuk parti yang mendukung kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.
Beliau, yang juga Ketua Menteri berkata, mereka akan memberi fokus kepada perbincangan dengan rakan-rakan di dalam kerajaan terlebih dahulu.
“Tapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti lain yang turut mendukung kerajaan perpaduan.
“Kita sentiasa terbuka dan boleh berincang. Apa yang penting adalah kebaikan negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Ditanya tentang tarikh akhir agihan kerusi, Hajiji berkata, tiada sebarang tarikh ditetapkan kerana pilihan raya pun dapat dipastikan bila. Tarikh pilihan raya pun belum diketahui jadi, belum dapat dimuktamadkan bila tarikh akhir untuk berbincang tentang agihan kerusi.
Mengulas lanjut katanya, mesyuarat hari ini diadakan bagi berbincang tentang persiapan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada 8,9 dan 10 November ini.
Hajiji berkata, seramai 5,000 hingga 6,000 orang perwakilan dan pemerhati dijangka hadir pada persidangan selama tiga hari yang akan diadakan di SICC.
Katanya, sehingga kini Gagasan Rakyat mempunyai seramai 304,817 orang ahli dan 6,977 cawangan di seluruh Sabah.
“Anggota parti inilah yang kita gerakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat terutama sekali menjelang pilihan raya akan datang.
“Semua parti termasuk parti yang saya pimpim ini dan juga parti komponen GRS sedang mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun depan,” katanya
Jelas beliau, beberapa usul akan turut dibentangkan sempena persidangan tahunan itu termasuk usul mengenai ekonomi dan pendidikan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan