Golongan liberal makin berani muncul di negara ini
November 2, 2024
KOTA BHARU: Golongan sekular, liberal, dan ideologi yang bertentangan dengan Islam semakin berani muncul dengan menganjurkan pelbagai aktiviti di negara ini.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, anak-anak muda perlu berhati-hati mengelakkan terpengaruh dengan perjuangan golongan tersebut.
Katanya, anak muda perlu mendalami pelbagai cabang ilmu kerana golongan terbabit tidak pernah berhenti untuk melemahkan perjuangan Islam.
“Sekiranya kita mempunyai ilmu, kita akan kenal antara kaca dan permata serta tidak mudah ditipu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada slot ‘Pimpinan Pemuda Pemudi Islam Yang Didambakan’ sempena Ijtimak Tarbawi 10.0 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Turut bertindak sebagai panel, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad pada program yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.
Siti Zailah juga berkata, biarpun program anjuran Dewan Pemuda PAS, namun golongan muslimat turut diundang bagi mengikuti program terbabit.
“Saya cadangkan di masa hadapan, program ijtimak wajar diselitkan program berkaitan kekeluargaan, mungkin slot khusus melibatkan muslimat muda,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan