
Hidup bujang kini jadi trend
HIDUP bujang dan mengutamakan kerjaya menjadi trend generasi muda sekarang ini.
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
23 November 2024, 7:00 am
PETALING JAYA: Hidup bujang dan mengutamakan kerjaya menjadi trend generasi muda sekarang sehingga ia menyumbang kepada semakin ramai golongan ini tidak mahu berkahwin atau melambatkan perkahwinan.
Selain itu, trend gaya hidup bebas, kos sara hidup tinggi, pengalaman pahit atau kecewa dalam percintaan dan stigma ‘anak dara tua’ atau andartu yang semakin hilang dalam masyarakat, meningkatkan lagi penurunan kadar perkahwinan golongan ini.
Menurut Pakar Sosial yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, norma masyarakat kini lebih menerima gaya hidup bujang, di mana stigma terhadap wanita yang belum berkahwin seperti gelaran ‘anak dara tua’ semakin pudar.
Malah, normalisasi itu memberikan kebebasan kepada golongan muda untuk menangguhkan perkahwinan tanpa tekanan sosial dan masyarakat lebih terbuka terhadap pilihan individu untuk tidak berkahwin.
Kata beliau, generasi muda kini lebih bebas memilih gaya hidup untuk tidak berkahwin dan ia dilihat sebagai sesuatu yang normal, malah tidak lagi menjadi bahan kecaman sebagaimana budaya pada 30 hingga 40 tahun dahulu.
“Faktor ekonomi pula tetap memberi kesan kepada keputusan untuk berkahwin kerana persepsi perkahwinan dan memiliki anak memerlukan kos yang tinggi seperti perbelanjaan majlis dan penjagaan anak menyebabkan sebahagian individu memilih untuk kekal bujang.
“Ramai yang beranggapan komitmen kewangan yang datang bersama perkahwinan adalah beban besar terutama dalam keadaan ekonomi semasa di kawasan bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kadar perkahwinan di negara ini menurun 12.5 peratus kepada 188,100 pada 2023 berbanding 215,022 pada 2022. Penurunan itu menyebabkan Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) menurun daripada 6.6 kepada 5.7 bagi setiap 1,000 penduduk.
Tiga negeri menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan dalam kalangan orang Islam, iaitu Selangor sebanyak 5,674 (17.4 peratus), diikuti Kelantan 3,595 (17.7 peratus) dan Johor 3,249 (15.8 peratus).
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, keghairahan mengejar kerjaya menjadi penyebab utama kelewatan perkahwinan dalam kalangan generasi muda.
“Apabila kerjaya menjadi keutamaan, mereka cenderung fokus pada pencapaian dan kestabilan kewangan sehingga lupa untuk menyeimbangkan kehidupan peribadi.
“Selain itu, pengalaman cinta atau masa silam juga mempengaruhi keputusan untuk tidak berkahwin. Ada individu yang pernah melalui hubungan yang tidak berakhir dengan perkahwinan, malah ada yang mengalami penceraian,” katanya.
Faktor diatas disokong oleh pekerja insurans, Nur Afrina Mohd. Razali, 29, yang memberitahu, fokus terhadap kerjaya adalah keutamaan dia dan ramai generasi muda masa kini disebabkan kos perkahwinan yang besar memberi tekanan kepada mereka.
“Saya sibuk bina kerjaya dan mahu stabil dulu sebelum fikirkan soal perkahwinan. Kehidupan seorang sekarang sudah cukup mencabar, apatah lagi dengan komitmen kewangan yang tinggi bila berkahwin nanti.
“Orang sekarang letak harapan tinggi. Kalau tak mampu buat majlis kahwin yang besar nanti orang akan bercakap. Lebih baik saya tangguh dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Wan Nur Izzati Wan Nor Anas berkata, bagi orang Islam, meletakkan hantaran yang terlalu tinggi sehingga dilihat seperti ‘menjual anak’ boleh membawa implikasi negatif kepada institusi perkahwinan dan pasangan muda.
Kata beliau, walaupun adat meletakkan hantaran merupakan tradisi dihormati, namun ia perlu selari dengan prinsip Islam yang mementingkan kesederhanaan dalam perkahwinan.
“Ia merujuk sabda Nabi Muhammad SAW, iaitu sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah urusannya” (Riwayat Ahmad) yang menunjukkan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan untuk memastikan kesejahteraan semua pihak.
“Namun, hantaran yang tinggi sering menjadi faktor utama pasangan muda menangguhkan perkahwinan terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Berdasarkan Kalkulator Perbelanjaan Kos Sara Hidup Wajar (PAKW) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), alat ini dapat membantu menentukan anggaran kos sara hidup bagi sesebuah isi rumah.
Menurut pengiraan, pasangan yang sudah berkahwin dan tinggal di kawasan bandar memerlukan anggaran perbelanjaan bulanan sekitar RM3,812 untuk memenuhi keperluan hidup.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak pula, anggaran kos sara hidup wajar meningkat kepada sekitar RM4,759 sebulan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan