Kajian semula 16 peruntukan KJS 2019 dibentang 2025
November 24, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menubuh Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) (I) 2019 bagi membuat kajian berkenaan pembatalan 16 peruntukan sedia ada oleh Mahkamah Persekutuan.
Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, manakala Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk pula, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud.
Dr Mohamed Fadzli berkata, Penasihat Undang-Undang Kelantan dilantik sebagai setiausaha, manakala ahli jawatankuasa lain terdiri daripada mufti, Ketua Hakim Syarie dan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang MAIK.
Menurutnya, turut dilantik termasuk dua Timbalan Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab membuat kajian terhadap 16 peruntukan yang terbatal.
“Peranan jawatankuasa tersebut akan mencadangkan draf gubalan 16 peruntukan terbatal termasuk mana-mana peruntukan yang berkaitan dan membentuk jawatankuasa teknikal bagi pelaksanaan kajian.
“Alhamdulillah, jawatankuasa terbabit telah bersidang kali pertama 30 Oktober lepas,” katanya ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada persidangan DUN Kelantan.
Pindaan enakmen tersebut dijangka akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 24/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan