Kebangkitan Islam sedang terlihat tandanya ketika ini
November 10, 2024
BATU PAHAT: Islam akan kembali memerintah dunia selepas umat Islam melalui zaman alpa, keadaan lemah dan dihina, adalah merupakan janji Allah SWT bahawa cahaya agama-Nya tidak akan padam.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keadaan umat Islam itu hingga menyebabkan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924 di mana kini ianya sudah berlaku selama 100 tahun.
Namun menurutnya, kebangkitan Islam dinyatakan oleh Rasulullah SAW dari umat di Baitulmaqdis dan sekitarnya di mana perihal kebangkitan ini juga pernah diramal tokoh-tokoh Barat seperti Henry Kissinger dan Huntington.
“Di sana ada satu kumpulan yang menganut satu ajaran yang tak mati, ajaran dia iaitulah Islam. Islam ni walaupun negara dia tak ada, ajaran dia tetap ada, masih ada orang beramal, masih ada orang berjuang.
“Bila tak ada Kerajaan Islam, Nabi kata mesti ada kumpulan-kumpulan orang Islam yang berjuang di negeri masing-masing mesti ada kumpulan ini. Yang akan meneruskan perjuangan. Dengan ringkas ceritanya kita saksikan satu perubahan.
“Yang dijanji oleh Nabi SAW bersabda akan ada satu kumpulan di kalangan umatku yang bangkit. Mereka tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa pun. Termasuk orang yang mengecewakan mereka. Mereka berjuang akhirnya mereka mencapai kebenaran,” ujarnya.
Beliau mengupas perkara tersebut ketika berucap dalam Ceramah Perdana sempena Sambutan 70 Tahun PAS Johor di Kompleks PAS Kawasan Batu Pahat, Kampung Sungai Tongkang, Rengit, di sini semalam.
Jelas Tuan Guru, kebangkitan di bumi Palestin itu terdahulu berdepan penentangan golongan Zionis Yahudi yang merasakan mereka bangsa terpilih dan berjuang untuk menghidupkan Empayar Nabi Sulaiman AS dan menakluk dunia.
Terangnya, Zionis mahu menubuhkan Negara Israel Agung berpusat antara Sungai Nil dan Furat, Mediterranean dan Laut Merah di mana mereka mengganas di luar batas kemanusiaan, melakukan pembunuhan dan penipuan kononnya mahu mendamaikan.
HAMAS di Palestin pula kata Tuan Guru, yang memilih demokrasi dan mengangkat senjata terhadap Zionis, telah memenangi pilihan raya pada tahun 2016 dan mengemukakan Syeikh Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri.
“Israel tolak, malangnya negara-negara Arab pun tolak juga. Kalau kita lihat tiap-tiap negara Arab ini ada pangkalan tentera Amerika, British, Perancis. Dipelihara oleh kuasa-kuasa besar dunia kepentingan kedudukan takhta dan harta mereka. Ini yang berlaku.
“Menyebabkan HAMAS ditolak. Akhirnya HAMAS berundur, bertahan di Gaza dan Gaza telah dibelasah habis-habisan. Bukan saja Israel belasah. Seluruh armada-armada tentera Barat berkumpul di keliling untuk membelasah Gaza.
“Dan Allah Taala tunjukkan kembali peristiwa Ahzab yang berlaku zaman Nabi SAW, di mana kalau perang Ahzab Nabi gali parit, sekarang ni orang Gaza gali terowong. Dan mereka tak boleh dikalahkan, setahun tak boleh kalah. Ini hebat. Tuhan tunjuk depan mata kita sekarang.
“Jadi banyak orang kata bahawa masa depan adalah untuk Islam. Habislah giliran kuasa-kuasa Barat dan Timur, akan tiba masa orang Islam bangkit semula,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Sehubungan itu katanya, sebagaimana pendekatan telah ditunjukkan Nabi SAW menyatupadukan orang Arab, maka orang Melayu-Islam juga mesti berpadu dan Islam mesti memimpin masyarakat yang majmuk.
Jelas beliau, pun demikian usaha itu bukan bermaksud bersikap perkauman atau menafikan atau menolak kaum lain, malah dalam memilih ketua juga diangkat kaum yang mendominasi dalam kalangan umat Islam. – HARAKAHDAILY 10/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan