Kemaman dilanda banjir
19 November 2024 06:47pm
Masa membaca: 2 minit
Anggota penyelamat memindahkan mangsa banjir di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, Kemaman ke PPS Meraga Beris.
KEMAMAN - Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kemaman dilanda banjir.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 12 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Meraga Beris.
PPS tersebut diaktifkan bermula jam 1 tengah hari tadi bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.
Difahamkan pasukan penyelamat antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusaha membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat.
Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kemaman dilanda banjir. Foto: APM Terengganu
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, selain kawasan Teluk Kalong, paras air dilaporkan semakin meningkat naik di kawasan perumahan penduduk di Kijal dan Kemasik.
"Kita sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bersiap sedia untuk berpindah berikutan trend air yang semakin menaik.
"Semua penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan bersiap sedia berpindah dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Artikel Berkaitan:Hujan lebat berterusan
Anggota penyelamat berusaha membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat.
Sehingga jam 6 petang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu merekodkan dua sungai di paras amaran iaitu Kampung Felda Mengkawang, Hulu Terengganu dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman.
Selain itu, tiga sungai berada di paras waspada iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu.
Ulasan
Catat Ulasan