Kenapa NAFAS gagal?


Kenapa NAFAS gagal?
Kartel berlaku kerana NAFAS adalah satu-satunya agensi yang memonopoli agihan baja dalam industri padi selama separuh dekad. - Gambar NAFAS
Oleh FATIMAH MOHAMED ARSHAD
12 November 2024, 8:00 am

SUNTIKKAN nafas baharu kepada NAFAS. Kegemilangan NAFAS menyerlah dalam era Revolusi Hijau dalam 1970an apabila ia berjaya meningkatkan produktiviti petani melalui fungsi agihan baja.

Namun beberapa dekad kemudian, NAFAS sering terpalit dengan pelbagai isu tatakelola serius. Lantas, agensi ini perlu kembali kepada falsafah asas yang mendasari penubuhannya iaitu koperasi: dari petani oleh petani demi petani.

Sebagai Pertubuhan Peladang Kebangsaan, mereka adalah wakil petani di tahap paling tertinggi. Tunggak fungsi mereka adalah memperkasakan kapasiti petani dan bukan memerah keuntungan daripada petani.

Pertubuhan Peladang (PP) telah ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak memiripi model Pertubuhan Peladang di Taiwan dalam tahun 1970an. Pertubuhan Peladang di Taiwan bermula dengan bantuan daripada kerajaan dalam tiga tahun pertama dan kemudian ia mandiri dipacu oleh petani sendiri.

Falsafah yang dianuti adalah prinsip koperasi yang memperkasakan kapasiti anggota untuk kebajikan anggota. Model yang sama telah dimiripi oleh Korea Selatan dengan penuh kejayaan sehingga Pertubuhan Peladang mereka memiliki beberapa pasaraya yang berjaya.

Prestasi yang berbeza dengan Malaysia, menimbulkan persoalan mengapa Malaysia gagal meniti laluan maju Taiwan dan Korea. Seperti yang tercatat dalam Akta Pertubuhan Peladang 1973, fungsi asas NAFAS adalah “memajukan kepentingan ekonomi dan kebajikan sosial anggotanya”.


Ini melibatkan pelbagai kegiatan seperti pembekalan input dan keperluan ladang, perkhidmatan jentera dan ladang, pembangunan manusia, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain. Senarainya komprehensif ke arah pemerkasaan perusahaan padi, kebajikan dan hampir keseluruhan ekosistem sawah.

Namun setelah wujud lebih separuh abad, prestasi agensi dalam menepati fungsi yang tersenarai dalam akta tersebut boleh dipertikaikan. Lencongan serius seperti yang berlaku dalam 2018 dan 2024 menyebabkan kerugian besar dan yang lebih parah membuktikan bahawa struktur dan ekosistem tatakelola agensi ini terdedah kepada ketirisan dan amalan tidak etika dari tahun ke tahun. Kes kartel baja baru-baru ini adalah buktinya.

Kartel berlaku kerana NAFAS adalah satu-satunya agensi yang memonopoli agihan baja dalam industri padi selama separuh dekad. Agihan baja adalah berpusat iaitu ia bermula daripada NAFAS yang diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Negeri dan Kawasan dan petani.

Ekosistem agihan baja ini telah bertapak semenjak 1973 lagi. Oleh kerana tiada persaingan, maka agensi ini tiada inisiatif untuk memperbaiki prosesnya supaya cekap, pantas dan produktif.

Situasi ini ditokok pula dengan perolehan baja kerajaan secara “perundingan terus” atau direct nego yang merupakan pemangkin kepada kegiatan kartel.

Seperti yang terbukti dalam beberapa kes yang sama dalam sektor lain, perolehan kerajaan yang besar nilainya secara perundingan menyuburkan kegiatan kartel untuk meraih untung besar dan cepat.

Kerajaan nekad untuk membasmikan “orang tengah” tetapi tidak menyedari sistem perolehan baja melalui NAFAS menjadikan kerajaan sebagai “orang tengah”.
Kesan struktur agihan baja semasa ke atas industri padi kepada masyarakat adalah seperti berikut.

Pertama, oleh kerana agensi ini memonopoli agihan baja, maka tiada pemain baharu menceburi sektor ini kerana halangan kemasukan yang tinggi. Terbukti tiada usahawan muda baharu yang menyertai sektor ini, tiada aplikasi digital yang dibina untuk meningkatkan kecekapan proses dan tiada percambahan syarikat pemula atau start-ups seperti mana yang berlaku di India.

Ini menyebabkan inovasi adalah minimum dan pertumbuhan sektor baja dan input tempatan adalah lembap dan pergantungan ke atas import kian memberat. Kedua, kerana tiada persaingan, prestasi agihan baja adalah lemah dan tidak cekap.

Laporan Ketua Audit Negara (2019), purata kelewatan agihan baja adalah antara 20 hingga 220 hari, sangat menjejaskan produktiviti pesawah kerana keserentakan tiga input utama iaitu air, benih dan baja adalah penentu utama.

Ketiga, penggunaan satu formula baja ke atas semua profil tanah adalah merugikan dana awam kerana setiap kawasan mempunyai ciri tanah berbeza dan formula baja juga berbeza.

Sepatutnya, usaha profil tanah ini boleh dipercepatkan melalui teknologi AI, namun sejak tahun 2019 data masih tidak menyeluruh dan lengkap.

Keempat, ketirisan dan amalan tidak etika merugikan dana kerajaan dan petani. Tanpa disedari, krisis tatakelola yang berulang-ulang hanya menyerlahkan pekung dalam sistem mereka.



Kelima, kelemahan dalam sistem agihan terutama kelewatan baja telah menurunkan hasil padi, daripada 4 tan/ha pada tahun 2008 kepada 3.5 tan/ha pada 2023, berbanding purata agihan subsidi telah meningkat daripada RM500 juta sebelum 2008 kepada RM1.6 bilion pada tahun 2008 hingga 2023. Sehingga kini hampir 90 peratus petani masih tergolong dalam B40.

Keenam, oleh kerana hasil dan pulangan kepada petani adalah rendah, maka tiada ruang untuk sektor ini menerap tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutama ke arah sistem agroekologi yang mesra alam.

Nyata agensi ini memerlukan nafas baharu. Di tahap awalan pembangunan pertanian agensi pertanian memainkan peranan penting untuk membantu petani dengan infrastruktur, input dan pelbagai sokongan.

Namun struktur monopoli dan pemusatan agihan tidak lagi berkaitan dalam era semasa kerana akses kepada maklumat dan teknologi adalah setara kepada semua pemain industri termasuk petani.

Persaingan diperlukan untuk menyuburkan inovasi dan kesetaraan. Faedah persaingan adalah ia mengurangkan penggondolan kuasa dan menyempitkan laluan ke atas korupsi.

Nafas baharu yang diperlukan adalah pertama, agensi ini kembali kepada matlamat asalnya iaitu memperkasakan kapasiti petani berpaksikan falsafah koperasi dan tidak mencari perniagaan dan keuntungan untuk agensi menggunakan dana kerajaan melalui kegiatan rent seeking.

Bererti, tunjang fungsi utama agensi ini adalah pembangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) melalui latihan, pengembangan dan membuka peluang supaya lebih mandiri untuk faedah ahlinya. Untuk tujuan ini, agensi ini perlu diterajui oleh profesional yang memahami pertanian dan bukan ahli politik.

Kedua, dicadangkan supaya pasaran input terbuka di mana NAFAS perlu bersaing dengan pembekal yang lain bagi menggalakkan inovasi dan kecekapan dan memberi khidmat serta kualiti yang terbaik untuk petani. Jadi, perundangan perlu ketat untuk mengelakkan kartel dan amalan tidak etika dalam kalangan pembekal.

Ketiga, PPK perlu dilatih dan diberi peluang untuk terlibat dalam rantaian bekalan input dan output, begitu juga kemampuan memiliki mesin dan jentera bukan sewaan dari pembekal termasuk Pertubuhan Peladang Negeri. Kini, pesawah hanya memerlukan mesin pintar yang sepadan dengan saiz sawah mereka.

Keempat, kebanyakan negara memiliki hanya dua tahap Pertubuhan Peladang (PP), iaitu kawasan dan kebangsaan. Ini kerana PP tahap negeri tidak memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan.

Tuntasnya, potensi NAFAS adalah besar dalam peningkatan kesejahteraan petani jika paksi mereka berteraskan koperasi di mana pemerkasaan petani adalah matlamat unggulnya dan bukan kekayaan NAFAS. – UTUSAN

PROFESOR Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Pemegang Kursi Sekuriti Makanan dii Universiti Putra Malaysia.

Ulasan