Kerana PNB dilihat sebagai pemegang dana awam




Kerana PNB dilihat sebagai pemegang dana awam
Oleh Aznan Bakar
3 November 2024, 7:23 am

KALAU kita lihat kepada dana pelaburan yang dikendalikan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM337 bilion dan keuntungan yang diperoleh setiap tahun sebanyak RM16.4 bilion, maka kerugian yang dialami dalam kerjasama mereka dengan FashionValet (FV) hanya sekitar 0.005 peratus sahaja.

Jumlah ini sangat kecil. Langsung tidak akan menjejaskan kedudukan kewangan agensi pelaburan awam negara yang menguruskan 18 dana unit amanah dan unit dalam edaran kira-kira 280 bilion unit membabitkan lebih 15 juta akaun.

PNB adalah antara tiga pengurus dana awam terbesar Malaysia selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Mereka ini pemegang amanah dana awam milik rakyat. PNB dananya dikumpul melalui pelaburan rakyat Malaysia melalui 18 unit amanahnya.

Tetapi perlu juga diingat, dana-dana itu tidak akan berkembang dan tidak akan berbuah menjadi dividen atau bonus jika ia tidak dilaburkan.

Menjadi tanggungjawab pengurusan PNB untuk memastikan setiap dana itu berkembang dan membiak supaya pada hujung tahun boleh diumumkan berita gembira dalam bentuk dividen dan bonus kepada para pelabur.

Untuk itu PNB perlu melabur. Dalam setiap pelaburan ada risiko untung dan rugi. Sebelum sesuatu pelaburan dilakukan semua proses yang perlu akan dilakukan terutama yang membabitkan penilaian terperinci dan ketekunan wajar.


Tetapi, selepas semua itu dilakukan, masih bukan satu jaminan pelaburan itu tidak akan rugi. Cuma ada pelaburan yang berisiko tinggi dan ada yang risikonya rendah.

Jadi, adakah pelaburan dalam ekuiti peribadi atau syarikat sendirian berhad seperti FV bersama dengan Khazanah Nasional risikonya rendah atau tinggi?
Lagi pula ‘kerosakan’ akibat kerugian daripada pelaburan ini bukannya besar. Ia langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada dana mahupun keuntungan PNB.

Ada yang berkata, jangan hanya kerana kesilapan kecil ini habis dilupakan segala sumbangan PNB kepada ekonomi rakyat dan negara dalam tempoh sekitar 40 tahun kewujudannya.

Pada masa sama perlu juga diingat, isu ini bukannya dibangkitkan di kedai kopi, pasar malam atau di tepi-tepi jalan. Ia juga bukannya dibangkitkan oleh rakyat. Ia dibangkitkan di Parlimen, dalam Dewan Rakyat. Tempat di mana dasar dan undang-undang negara digubal. Tempat di mana ‘kelahiran’ PNB diluluskan kira-kira 40 lebih tahun lalu.
Ia dibentang dalam Dewan Rakyat oleh Kementerian Kewangan (MoF) sendiri. Bukan direka.

Jadi, mesti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Mesti ada mesej yang tersirat. Mungkin antaranya mesejnya meminta PNB berhati-hati.

PNB sendiri telah memberi penjelasan bahawa duit pelaburan dalam FV tidak menggunakan dana amanah saham di bawah ASNB. Maknanya, ia langsung tidak membabitkan duit pendeposit.

Tetapi kenapa ia hangat dibualkan dan menjadi topik utama dalam setiap media? Kerana walau apapun yang dilakukan, kewujudan PNB tetap dilihat sebagai pemegang dan pengurus dana awam. Tanpa dana awam ini adakah PNB mampu jadi seperti sekarang?



Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan