Kes buli: 'Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?'... Syed Saddiq hantar usul tergempar ke Parlimen
Kes buli: 'Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?'... Syed Saddiq hantar usul tergempar ke Parlimen
Oleh Ercy Gracella Ajos - November 11, 2024 @ 2:52pm
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengemukakan usul tergempar ke Parlimen, hari ini, untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap isu buli yang membimbangkan di negara ini.
Beliau memaklumkan perkara berkenaan dalam hantaran melalui laman X rasminya, dengan turut menyertakan gambar dokumen usul tergempar bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat itu, susulan insiden buli yang dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
"Buli sudah sistemik dan dinormalisasikan di UPNM. Pelajar dibunuh dengan kejam depan ramai orang.
"Pelajar didera pada siang hari di tempat terbuka. Pelajar ditekap dengan seterika dan dikatakan 'jenaka' sahaja. This is ridiculous (Ini mengarut).
"Saya menghantar usul tergempar ke Parlimen untuk mencari penyelesaian yang tuntas supaya budaya buli dinoktahkan.
"Enough is enough (cukup-cukuplah). Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?" tulisnya dalam hantaran itu.
Berdasarkan gambar dokumen yang dikongsikannya, Syed Saddiq dalam usul itu berkata, beliau memohon 'Dewan Rakyat untuk membahaskan suatu usul berkenaan adat membuli yang sudah membarah secara sistemik di UPNM.'
"Beberapa siri kejadian pembulian yang teruk telah dilaporkan sejak beberapa tahun lalu. Terdapat mangsa yang telah meninggal dunia pada 2017. Kejadian serupa juga telah berlaku hingga ke hari ini, yang telah dilaporkan kepada pihak pengurusan.
"Usul ini adalah perkara tertentu kerana perkara ini telah berlaku sejak dari dulu dan tidak wajar dibiarkan berulang lagi pada masa hadapan, tidak kira di UPNM mahupun pusat pengajian tinggi yang lain.
"Usul ini juga perlu berkehendak disegerakan kerana melibatkan nyawa dan keselamatan penuntut di UPNM. Mengikut laporan kes yang diberitahu, hingga ke hari ini masih terdapat kes-kes pembulian berlaku walaupun peristiwa menggemparkan yang meragut nyawa telah berlaku di tempat sama.
"Malah, terdapat juga kemungkinan ada kes-kes tidak dilaporkan kepada pihak pengurusan kerana bimbang keselamatan pengadu tidak dapat terjamin. Keadaan ini amat mendukacitakan kerana kejadian serupa yang berulang meletakkan nyawa pelajar dalam keadaan tidak kondusif untuk meneruskan pembelajaran.
"Usul ini juga melibatkan kepentingan ramai kerana perkara ini tidak hanya inklusif kepada penuntut di UPNM, malah perlu diperluaskan skop ini kepada semua pusat pengajian tinggi di Malaysia. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dan tidak boleh berlaku lagi walau di mana saja.
"Kejadian buli ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan, terutama di pusat pengajian tinggi di Malaysia, agar dapat memelihara nama baik institusi serta melahirkan graduan berkualiti tinggi untuk memacu negara ke arah lebih baik," katanya dalam dokumen usul berkenaan.
Semalam, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan seorang penuntut tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut tahun dua universiti berkenaan dipercayai ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dipetik berkata insiden dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Katanya, mangsa dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang disyaki akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Rusdi turut memaklumkan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan dialaminya.
Laporan polis berhubung insiden itu diterima pada jam 8.40 malam Jumaat lalu di UPNM Kem Sungai Besi, di sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, polis sudah merakam percakapan sembilan individu bagi membantu siasatan kes itu, termasuk mangsa, manakala proses sama ke atas suspek akan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada petang ini.
Ulasan
Catat Ulasan