Khazanah gagal, itu realitinya
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
4 November 2024, 7:15 am
Pada 2018, kerajaan mendedahkan kerugian dicatatkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) membabitkan pelaburan dalam gedung dalam talian India, Zivame yang menjual pakaian malam atau “lingerie” dan baju dalam wanita.
Dalam pelaburan itu, syarikat pelaburan kerajaan itu kerugian AS$20 juta. Itu bukan saja kerugian yang didedahkan ketika itu. Khazanah juga mencatatkan melakukan write-off berjumlah RM3 bilion membabitkan saham dalam sebuah bank pelaburan di luar negara. Dipercayai bank itu sudah lenyap daripada muka bumi dan mencetuskan masalah kewangan besar ketika itu.
Kontroversi terbaru kerugian dialami Khazanah dan PNB ialah pelaburan dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet. Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing melabur RM27 juta dan RM20 juta untuk mendapatkan kepentingan minoriti dalam portal fesyen e-dagang FashionValet.
Pada akhirnya, kepentingan milik kedua-dua GLIC itu dijual pada harga RM3.1 juta, menjadikan kerugian ditanggung adalah RM43.9 juta.
Khazanah memberi alasan kerugian itu adalah kecil berbanding aset dalam tanggungan. Begitu juga PNB. Tetapi jika RM47 juta dilapor di dalam saham bank terbesar Malaysia dalam tempoh 12 bulan lalu sudah menjanjikan pulangan dividen RM2.8 juta dan kenaikan nilai saham.
Untuk bersikap adil, setiap pelaburan ada risikonya. Mana-mana pelabur akan diberitahu bahawa setiap kali mereka melabur dalam sesuatu perniagaan, terdapat risiko kerugian. Itu benar termasuk jika melabur dalam kedai kopi, kedai makan atau sebarang perniagaan.
Begitu juga kepada mana-mana pelabur yang terbabit dalam jual beli saham. Setiap hari mereka terdedah kepada risiko kerugian atau “paper loss” yang berubah setiap hari.
Tetapi pelaburan individu dalam kedai nasi lemak atau kopi berbeza dengan Khazanah. Wang pelaburan individu adalah milik individu tersebut. Itu risiko kehilangan sebahagian atau semua simpanan.
Kepada Khazanah, setiap sen itu bukan wang milik pengurus dana agensi itu. Wang yang ada adalah “legasi” atau “sedekah” kerajaan membabitkan saham syarikat milik kerajaan seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, MAHB, CIMB dan banyak lagi.
Adakah Khazanah terpaksa berusaha untuk memiliki semua saham ini? Jika dibandingkan dengan saingannya di seberang Tambak Johor, Temasek mempunyai aset di bawah tanggungan AS$288 bilion sehingga Mac lalu. Khazanah hanya AS$35.8 bilion sehingga Oktober tahun lalu. Itu jurang pelaburan dua agensi sama di dua negara berjiran tetapi pencapaian berbeza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah sudah mengarahkan audit dilakukan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dikatakan akan memulakan siasatan. Tetapi jika setiap kerugian syarikat disiasat, terlalu ramai yang akan meringkuk di penjara.
Cuma isunya adalah sekali lagi tata kelola dalam pengurusan membabitkan agensi di bawah kerajaan. Itu belum diketahui jumlah liabiliti yang ditanggung Khazanah untuk membiayai pelbagai projek. Jumlah itu hanya diketuai pengurusan dan lembaga pengarah.
Mungkin sudah tiba masanya semua agensi pelaburan di bawah kerajaan kecuali Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), disatukan di bawah satu bumbung supaya pengawasan lebih rapi dapat dilakukan. Cara lama, kepercayaan lama dan kepentingan lama sudah terbukti membuahkan satu keputusan – kegagalan. – UTUSAN
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan