KUALA TERENGGANU: Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) yang berlangsung dengan tema “Kesatuan Ummah ke arah Kemampanan, Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama” menekankan peranan penting perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran program itu di peringkat negeri mungkin dilihat kecil, tetapi tetap memberikan impak besar melalui keberkatan dan keredaan Allah.
Menurutnya, tema besar yang diangkat ini, iaitu penyatuan ummah merupakan satu perkara yang sering didengar, dibaca dan diulang-ulang menyebabkan mungkin ada yang terlintas di fikiran, apalah sangat yang mampu dilakukan di peringkat negeri?
Katanya, keadaan sama seperti persoalan yang timbul apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas penjenayah perang seperti Benjamin Netanyahu.
“Hakikatnya, negara haram Israel telah lama menguasai sistem politik, ekonomi dan undang-undang antarabangsa. Apa yang kita mampu lakukan adalah persoalan biasa yang terdetik. Tetapi, kita perlu melangkaui keterbatasan itu dan melihat ke hadapan.
“Keputusan tersebut sebenarnya memberikan satu impak besar kepada landskap politik dunia,” katanya ketika berucap pada penutup Terengganu International Summit 2024 di Duyong Marina & Resort di sini, hari ini.
Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk meminta umat Islam untuk terus memainkan peranan walau sekecil mana sekali pun, kerana usaha yang diberkati akan membuahkan hasil.
“Begitu juga dengan usaha penyatuan ummah. Ia adalah tuntutan dalam Islam yang membawa keberkatan. Walaupun langkah kita kecil, asalkan kita sentiasa memperjuangkannya dengan penuh keikhlasan dan menggunakan segala daya usaha yang ada, insya-Allah, kita akan meraih reda Allah SWT.
“Percayalah, Allah akan menganugerahkan hasil yang sewajarnya pada waktu yang telah ditetapkan-Nya,” katanya.
Mewakili kerajaan negeri, beliau menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan TIS 2024.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahu pun secara tidak langsung. Semoga Allah memberkati kalian. Menyediakan balasan pahala atas semua usaha yang kita lakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan