Mana filem identiti kita? – Rosyam Nor



Mana filem identiti kita? – Rosyam Nor
ROSYAM NOR
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
26 November 2024, 8:01 am
KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, 57, berpendapat, industri perfileman negara wajar mengutamakan penggunaan bahasa Malaysia sebagai identiti filem tempatan berbanding menggunakan bahasa ‘rojak’ dalam penghasilan karya.

Menurut Rosyam, ini lebih penting sekiranya naskhah itu mahu dipertandingkan di luar negara termasuk dalam usaha meraih minat lebih ramai penonton dari luar dengan naskhah asli atau original.

“Seharusnya filem Malaysia mesti mengutamakan bahasa Malaysia. Tampilkan cuma satu bahasa kerana itulah ia dapat dilihat senagai identiti filem negara kita. Bukan saya rasis, tetapi itu adalah asas satu negara.

“Kalau hantar filem kita ke luar negara dengan satu bahasa Melayu, Tamil atau Cina, mana identiti kita? Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pernah keluarkan kenya­taan bahawa filem kita adalah wajah kita.

“Kita semua pernah pertikaikan kenapa filem Melayu susah nak tembusi pasaran antarabangsa. Satu sebab, kita tak guna sepenuhnya bahasa Malaysia, identiti kita, yang mana perkara itu ditidakkan oleh negara seperti Korea Selatan misal­nya,” katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui di Program Intuisi Revolusi Emas Festival Filem Malaysia (FFM33) anjuran Persatuan Wartawan Hiburan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di sini, semalam.


Selain itu, kata Rosyam, industri perfileman Malaysia wajar mencontohi industri yang sama di Korea Selatan yang kini telah mencipta reputasi dan berjaya menambat hati penonton luar negara.

“Di sini kita boleh nampak bahawa Korea Selatan tahu bahawa mereka boleh menjual industri seni mereka ke mata dunia. Mereka buat kajian dan pembangunan dan tahu hala tuju.

“Sama ada untuk tempoh 10 tahun atau 50 tahun akan datang, sekarang terbukti mereka sudah menembusi pasaran dunia,” jelas beliau. – UTUSAN

Ulasan