Menu Rahmah sukar diperluas akibat peningkatan harga barang
November 12, 2024
Ahmad Fadhli Shaari
KUALA LUMPUR: Program Menu Rahmah dilihat menghadapi cabaran besar untuk diperluas ke seluruh negara akibat peningkatan kos harga barang yang semakin membebankan para peniaga.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, pihak pembangkang sejak awal lagi melihat kesukaran untuk memperluaskan Menu Rahmah ini.
“Kami di pihak pembangkang sejak daripada awal lagi melihat bahawa apabila Menu Rahmah diperkenalkan dengan hasrat untuk diperluaskan ke seluruh negara, sebenarnya ia agak kurang praktikal dengan harga kos barang semakin meningkat dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan penggulungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kerajaan sendiri secara tidak langsung mengakui kesukaran program ini untuk diterapkan secara menyeluruh.
“Jawapan daripada menteri sebentar tadi seolah-olah memperlihatkan bahawa kerajaan sendiri mengakui program Menu Rahmah tidak lagi praktikal untuk diperluaskan ke seluruh negara.
“Sehingga terpaksa membuat profiling peniaga yang layak dan juga kawasan-kawasan tertentu, dengan sendirinya diakui bahawa konsep Menu Rahmah, ke seluruh negara sudah tidak lagi terpakai pada hari ini,” tambahnya.
Armizan menjelaskan, konsep asal Menu Rahmah adalah untuk membantu golongan memerlukan dengan menggalakkan para peniaga berkongsi rezeki mereka.
“Kalau kita ingat, saya teringat ucapan Yang Berhormat Perdana Menteri menyebut konsep Menu Rahmah ini diasaskan dengan harapan supaya para peniaga kita mempunyai nilai bahawa rezeki yang ada itu dikongsikan dan dibalikkan untuk membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan