Orang Melayu yang bunuh bahasanya sendiri



Orang Melayu yang bunuh bahasanya sendiri
RAIS Yatim ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid di pejabatnya di Wisma Budi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh Aqilah Mior Kamarulbaid
13 November 2024, 8:00 am

MUKADIMAH

PAKAR Sosiobudaya dan Perlembagaan Persekutuan, TAN SRI DR. RAIS YATIM meluahkan rasa kecewa apabila bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan semakin hari semakin hilang gahnya. Ini terjadi apabila majoriti rakyat Malaysia lebih membanggakan bahasa Inggeris dan ibunda lain.

Dalam tempoh sejam setengah ditemu bual, beliau yang juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi serta bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, mahu bahasa Melayu terus diangkat demi kepentingan perpaduan dan memartabatkannya di pentas antarabansga.

Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan dibantu jurufoto, AMIR KHALID , beliau berharap kerajaan hari ini memunyai azam politik yang kuat untuk memastikan bahasa kebangsaan itu tidak terus dipinggirkan.

BAHASA MELAYU KINI ‘BAHASA KAKI LIMA’

SAYA boleh katakan bahasa Melayu di Malaysia ketika ini sudah dianaktirikan. Mungkin ada pihak tidak bersetuju dengan pandangan saya, tetapi dari segi aplikasi ataupun pemakaiannya sesungguhnya bahasa itu sudah tidak tampil sebagai bahasa kebangsaan yang integritinya tinggi, penggunaanya meluas, kedudukannya dijaga atau dijamin serta adanya azam politik untuk meletakkannya terus sebagai bahasa ibunda orang Melayu dan bahasa kebangsaan negara.

Daripada empat segmen ini, kesungguhan kerajaan dalam mengutamakan bahasa Melayu kian lama kian menurun. Ini cerita lama tetapi munculnya daripada sistem pendidikan yang mana kita boleh melihat guru tidak bercakap bahasa Melayu dengan betul. Ini sesuatu yang sangat mendukacitakan.

Maksudnya, kita tidak mempunyai sistem diksi yang mana pelajar diajar dengan sebutan perkataan, ayat, klausa Melayu yang betul.


Pihak berkuasa khasnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampak tidak lagi peduli tentang bahasa rojak, cemuhan dan lintang pukang.

Jika tidak setuju, saya boleh beri beberapa contoh, sekarang orang bercakap ‘kau orang’, ‘lu orang’, ‘korang’, apa sebab ini dibenarkan? Tidakkah ada satu cara seperti yang ada dalam bahasa Mandarin, Kantonis, Inggeris atau Arab, yang mana pendidik dan juga pihak berkuasa mengambil peranan membetulkannya?

Begitu juga buku teks pengajaran bahasa Melayu yang dikarang beberapa orang terkenal menggunakan istilah-istilah Inggeris. Misalnya Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar dengan bukunya yang bersabit bahasa Melayu moden menggunakan 15 istilah Inggeris. Ini sudah terjadi semenjak 15 atau 16 tahun lalu.

Istilah seperti ‘adverba’, ‘adjektiva’, ‘klausa’, semua ini dikemukakan pada sistem pembelajaran. Jadi, apabila orang Melayu mendapati bahasa Melayu sudah diInggeriskan nahunya, mereka kata, lebih baik kami berbahasa Inggeris sahaja.

Kerajaan pula tidak mengambil berat tentang ‘kecelakaan’ bahasa sebagaimana dibiarkan dalam radio, televisyen atau susun kata pertuturan harian.

Maka, ini menjadikan bahasa Melayu hari ini boleh dianggap sebagai ‘bahasa kaki lima’ dan tidak lagi dapat dikemukakan sebagai corak rasmi yang terjamin.

Seterusnya saya boleh katakan bahasa Melayu yang ada pada hari ini tiada nilai komersialnya. Ini menyebabkan ia tidak lagi tertarik sebagai bahasa pengantaraan, transaksi bank dan undang-undang.

Dalam Akta Bahasa Kebangsaan, bahasa undang-undang harus digunakan di mahkamah.

Begitu juga semua perjanjian pinjaman perumahan dalam bahasa Inggeris. Dengan hal-hal seperti inilah maka, bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial sebagaimana Indonesia kerana semua rakyatnya bercakap bahasa rasmi negara itu.

Satu perkara lagi, masyarakat Tiong Hua di Malaysia dan India bila melihat orang Melayu sendiri tidak mahu bercakap bahasa Melayu dengan betul, mereka pergi ke cabang bahasa Inggeris.

Dengan suasana begitu, bahasa Melayu tidak juga merupakan bahasa ilmu. Dasar ini tidak diulang balik seperti mana kami semasa bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu berbincang dan bersoal jawab bagaimana harus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang ada nilai ilmunya.

Masyarakat Melayu sekarang tidak lagi pandai bercakap Melayu dalam satu ayat tanpa bahasa Inggeris.

Rumusannya, kita sudah dijajah sepenuhnya. Sebenarnya budaya dijajah menerusi bahasa. Kita sudah dedahkan masyarakat dan tidak lagi boleh bercakap bahasa Melayu seluruhnya.

PERDANA MENTERI PATUT ANGKAT MARTABAT BAHASA MELAYU
Dasar bercakap bahasa Melayu di pentas antarabangsa ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, ketika itu, saya di belakangnya semasa menjadi Speaker Dewan Negara. Saya ucap tahniah kepada beliau atas usaha itu. Namun, dasar itu tidak berjaya kerana tempoh beliau penjawat jawatan sebagai perdana menteri singkat sangat.

Kedua, jentera untuk berbahasa Melayu tidak dihidupkan. Misalnya pada hemat saya, jika dasar untuk menggunakan secara rasmi di pentas antarabangsa, maka Wisma Putra perlu dilatih dahulu, daripada Ketua Setiausaha (KSU) sampai kepada menteri.



Dengan kata lain, pengajaran bahasa Melayu dalam kalangan perkhidmatan awam juga sangat rendah kerana mereka juga tidak dilatih bercakap seperti pengucap rasmi dan pengelola majlis-majlis yang menggunakan bahasa Melayu secara tersusun.

Di negara ini, siapa menjadi perdana menteri baharu, mereka tidak suka menggunakan dasar perdana menteri sebelumnya walaupun bagus. Beliau dengan gahnya mengemukakan dasarnya pula.

Sekiranya dasar Ismail Sabri yang saya bantu masih wujud, pertama imej kita dalam kalangan ASEAN akan tinggi. Mereka mungkin tidak setuju dulu tetapi hujahan kita di Asia Tenggara, kita ada lebih 300 juta pengucap bahasa Melayu Indonesia iaitu lebih daripada bahasa Vietnam, Siam, Burma atau Kemboja. Ini bermakna, kita majoriti.

Sebagai bekas Menteri luar sebanyak dua kali, saya memang berkeinginan melihat bahasa Melayu dan Indonesia menjadi bahasa utama dalam ASEAN. Tentu sekali negara seperti Singapura akan ‘berjoget tengah malam’ supaya bahasa Melayu tidak jadi, tetapi itu tidak timbul jika majoriti ASEAN menerima bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Dalam Perlembagaan Singapura, bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaannya.

Satu lagi faktor ialah akan memberi gambaran baharu bahawa dunia Melayu adalah signifikan, dunia yang tampak jelas arus perjuangannya dan dari segi hubungan sosial mahupun politik di tenggara. Hal ini seharusnya siapa pun menjadi perdana menteri mesti mengangkat isu bahasa Melayu ke tahap yang paling tinggi dan ia sudah dicuba oleh Ismail Sabri tetapi lantaran tidak lama memegang jawatan, hal ini tidak menjadi kejayaan yang utama.

Perkara yang terlindung adalah semua pemimpin menghantar anaknya ke sekolah Inggeris dan mereka mengajar anak serta cucunya menerusi pendidikan Inggeris. Jadi, bagaimana kita mahu berjaya dalam kekeluargaan mahupun kerajaan.

Kita boleh lihat lunturnya bahasa Melayu di peringkat nasional dan wilayah serta negeri seperti berlaku di Sarawak. Kita tidak akan lihat bahasa ini mencapai tahap yang di agung-agungkan setakat Akta Bahasa kebangsaan tempoh hari.

TIADA AZAM POLITIK
Saya tidak nampak usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain beliau menggunakan satu atau dua istilah yang dipertikai. Sebaliknya ia mesti mengandungi dasar besar iaitu mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, diplomatik, komersial dan ciri-cirinya yang lain.

DBP mesti diberi kuasa dan peranan serta siraman baharu. DBP sudah moyok. Mereka mungkin kata saya keterlaluan, mari berhujah kerana saya pencinta bahasa.

Kenapa Anwar tidak boleh hidupkan semula semangat bahasa kebangsaan dalam semua jurusannya? Ada istilah yang digunakannya dari nusantara yang dipakai di Sulawes, sedangkan ada perkataan lain yang boleh digunakan.

Kita harus bangga potensi bahasa Melayu dalam komersial, bila bahasa itu dianggap bahasa komersial, maka orang Cina dan India akan beratur untuk mengambil faedah daripadanya, sekarang tiada.

ADA PERKATAAN LAIN SELAIN KETIMBANG, PELUNCURAN
Sebelum sesuatu perkataan seperti ketimbang dan lain-lain mahu diguna, ia ada proses penyesuaian. Anwar harus berdialog sedikit dengan pihak-pihak berkuasa seperti DBP, profesor fonetik dan profesor nahu.
Seperti saya kata, Asmah menggunakan 15 istilah bahasa Inggeris dalam bukunya, itu perlu ditegur dahulu kerana punca dan pasak bahasa Melayu dulu menerusi Zaaba (Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad) cukup baik. Perkataan seperti perbuataan, sifat kata, kata nama, semua ini ada dalam nahu Melayu, kenapa dibuang?



Tidak boleh salahkan mana-mana pihak sekarang, hanya kita perlu kembali kepada struktur yang asal dan jangan terburu-buru meniru bahasa asing.

Penggunaan ‘ketimbang’, saya tidak anggap begitu besar, kerana perkataan itu ada dalam kamus nusantara yang lama. Bolehlah dimaafkan tetapi perkataan itu boleh dialih kepada ‘daripada’ atau ‘berbanding’. Kenapa mahu ‘ketimbang’ kerana timbang ini dacing?

Banyak bahasa yang boleh dipertikai dan diperbaiki. Permohonan saya, Anwar harus sekiranya benar-benar cinta kepada bahasa ibunda, bahasa negara perlu membuat satu olahan baharu dengan wujudkan jawatan kuasa pakar dan kembali kepada asas bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, dialog, komersial, budaya dan kebangsaan.

Begitu juga ‘peluncuran’ tidak sesuai digunakan menggantikan pelancaran. ‘Peluncuran’ digunakan oleh Indonesia seperti melancarkan buku. Di negara ini, ia membawa maksud melungsur atau meng­gelongsor. Ini harus difikir, pakar istilah tidak boleh berdiam dalam hal ini.

Pentingnya wujudkan pakar ini semula untuk meneguhkan budaya kita kerana ia ditunggai bahasa. Tiada budaya jika bahasa tidak teguh. Ini tidak dipegang pihak-pihak yang berkaitan dalam pendidikan atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini tidak dilihat mengagungkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bagi saya menteri bagi kementerian berkenaan perlu terdiri daripada orang Melayu supaya teguh budaya kita.

BUKU DI UNIVERSITI PUN BERBAHASA INGGERIS
Kita sudah terlangsung. Universiti Malaya (UM) sekarang lebih mengagungkan bahasa Inggeris sedangkan bahasa kebangsaaan menjadi tunjang kepada universiti itu. Semua tesis sekarang diberi penghormatan lebih jika dalam bahasa Inggeris.

Saya boleh katakan kita sudah ‘gila’ dalam dunia akademik. Kita sudah tidak tahu apa yang kita mahu.

Sebab itu orang Cina Malaysia memandang tinggi Cina Tiongkok lantasan ia stabil dengan bahasa Mandarin dan komunisnya. Sebab itu matinya surat khabar Melayu, Utusan Melayu, Utusan Zaman, Warta, Watan tetapi akhbar Cina hidup.

Melayu tidak kisah lagi tentang bahasa mereka. Dan saya tidak pernah jumpa orang Melayu yang boleh bercakap 100 peratus bahasa Melayu.

TIDAK PANDAI JIKA TIDAK BERBAHASA INGGERIS, MANDARIN
Itu adalah konsep menipu diri sendiri dan itulah gunanya Kementerian Pendidikan. Kita tiada pegangan terhadap penghulu bangsa. Isian tahunan tiada, kita sudah tiada bangsawan, teater, pertandingan merakyatkan seni, muzikal dalam bahasa Melayu. Kita sudah habis sebagai satu bangsa. Bahasa Inggeris masuk melalui hiburan, muzik, tajaan TikTok dan lain-lain dalam media sosial.

Pemimpin kita tiada azam berhubung bahasa Melayu. Perdana menteri harus cepat menganalisis kemampuan Kementerian Pendidikan untuk mengutamakan bahasa Melayu dalam pengajaran betul.

Bila sijil peperiksaan bersepadu (UEC) nanti, kita akan ketinggalan dalam penggunaan bahasa Melayu. Bila berlaku, UEC akan mendahului Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), apa yang tinggal? Tiada.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM LIMA KE 10 TAHUN LAGI
Bahasa Melayu akan terus kesampingan, hanya menjadi bahasa komunikasi antara kaum yang tidak ada kewajipan apa-apa.

Ini semua boleh atasi jika Kementerian Pendidikan menjadi bahasa Melayu sebagai teras pendidikan.

Ia boleh ditambah dengan komersialisasi yang berlaku. Salahnya dari orang Melayu, mereka yang bunuh bahasanya sendiri dan tiada usaha mengentengahkan sistem mahupun didikan baharu menerusi kuasa kerajaan.-UTUSAN

Ulasan