
Pantau ketat, reformasi tadbir urus GLC, GLIC
SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) perlu ditadbir urus oleh peraturan yang jelas dan terperinci serta tertakluk kepada pemantauan yang bebas, di samping perlindungan sewajarnya untuk pemberi maklumat.
Oleh Meja Rencana
20 November 2024, 9:00 am
INSTITUT untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyeru pengukuhan pelan reformasi untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di seluruh negara bagi memastikan pengoperasian yang telus selain sejajar dengan objektif ekonomi mahupun kebajikan masyarakat di Malaysia. Berikutan kebimbangan terhadap amalan pelaburan GLC dan GLIC kebelakangan ini, Ideas mencadangkan reformasi tadbir urus yang menyeluruh agar entiti ini lebih bertanggungjawab, telus dan berfokus dalam kepentingan awam.
Ini bagi memastikan GLC bukan sahaja pemegang amanah dana awam tetapi juga tunjang kemajuan ekonomi dan sosial negara. Entiti ini perlu ditadbir urus oleh peraturan yang jelas dan terperinci serta tertakluk kepada pemantauan yang bebas, di samping perlindungan sewajarnya untuk pemberi maklumat.
Ideas menyarankan lima langkah rangka kerja reformasi:Mewujudkan rasional pemilikan dan tujuan strategik: Menyatakan secara jelas tujuan setiap GLC, termasuklah penswastaan untuk entiti bukan keperluan utama.
Melaksanakan pemantauan ketat dan berpusat: Mewujudkan carta prestasi yang dilengkapi objektif yang boleh diukur untuk impak sosial dan ekonomi, yang tertakluk kepada laporan awam tahunan sebagaimana piawaian syarikat tersenarai.
Menguatkuasakan dasar pelantikan bebas berkelayakan dan dasar konflik kepentingan: Memerlukan pelantikan yang telus dan bebas daripada pengaruh politik, terutamanya daripada ahli politik yang masih aktif.
Mempertingkatkan perlindungan untuk pemberi maklumat: Menyokong pelaksanaan ombudsman bebas dan menawarkan saluran yang selamat untuk pendedahan maklumat tentang salah laku.
Peranan Parlimen dalam kebertanggungjawaban: Parlimen perlu memainkan peranan sebagai badan pemantauan utama, manakala ahli Parlimen memainkan peranan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) berbanding menerima jawatan lembaga pengarah di GLIC. Tindakan ini dapat memperkukuh pemisahan tadbir urus dan pemantauan, lalu memperkasakan ahli Parlimen untuk mempertanggungjawabkan GLIC kepada orang awam.
Melalui inisiatif Pantau Kuasa, kami dapat melihat pemantauan yang kukuh dan pelantikan bebas adalah amat penting demi tadbir urus yang bertanggungjawab. Satu carta prestasi yang tersusun beserta objektif yang jelas, pelaporan yang telus, dan tadbir urus yang bebas mampu memberikan keyakinan terhadap GLC dalam kebertanggungjawaban awam. Bukannya menambat kumpulan GLC dalam kebertanggungjawaban masyarakat awam berbanding agenda politik.
Ideas tidak menyokong tindakan Kabinet atau Parlimen yang secara langsung meluluskan pelaburan atau keputusan pemberian imbuhan oleh GLC, kerana akan memburukkan lagi campur tangan politik. Sebaliknya, kerajaan harus bertindak sebagai pemilik aktif, menetapkan dasar panduan untuk pemberian imbuhan lembaga pengarah dan carta prestasi yang terperinci.
Parlimen mempunyai peranan penting untuk meneliti pematuhan GLC terhadap dasar, menyemak dasar tadbir urus dan mengukuhkan pemantauan. Memasukkan piawaian ini dalam undang-undang akan memastikan ketelusan GLC, melindungi dana awam dan memastikan GLC berkhidmat untuk kepentingan rakyat secara mampan.-UTUSAN
RYAN PANICKER
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program IDEAS
Ulasan
Catat Ulasan