Peguam Negara: PH perlukan bakul sampah lebih besar




Peguam Negara: PH perlukan bakul sampah lebih besar

Untuk buang Manifesto Pakatan Harapan
November 12, 2024


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis menyifatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan bakul sampah bersaiz besar bagi digunakan untuk membuang Manifesto PH yang pasti dicetak dengan jumlah banyak.

Kritikan pedas itu dibuat beliau susulan pelantikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang baru berkuatkuasa hari ini.

Katanya, antara kes popular dikendalikan Mohd Dasuki ketika menjadi Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara ialah kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Yang kemudiannya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Mohd Dusuki telah memberikan 11 alasan kenapa Timbalan Perdana Menteri itu perlu diberikan DNAA. Hari ini beliau dilantik sebagai Peguam Negara, tahniah,” ujarnya menerangkan ironi itu.

Turut merakamkan beliau kepada PH, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan kembali komponen itu kepada manifesto pernah dikeluarkan komponen politik dianggotai PKR, DAP dan PAN itu satu ketika dahulu.

“Peguam Negara akan dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai Penasihat Undang-undang bagi kerajaan.

“Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian. Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara.

“Yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang,” kemuka beliau dari petikan tersebut.

Perkara tersebut tertera dalam Janji 15: Memisahkan Pejabat Pendakwaraya Negara daripada Pejabat Peguam Negara di dalam manifesto yang dikenali sebagai Buku Harapan: ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’.

Dokumen setebal 138 muka surat itu mengandungi 5 Teras Utama, 10 Janji 100 Hari, 60 Janji 5 Tahun dan 5 Iltizam Khusus di mana dalam Janji 15 itu mengakui wujud konflik kepentingan apabila Peguam Negara juga berfungsi sebagai Pendakwa Raya.

Kerana Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kepada kerajaan di mana kerajaan adalah seperti ‘anak guam’ kepada Peguam Negara yang tentunya dalah amat janggal apabila seorang peguam juga memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada anak guamnya akan didakwa atau tidak.

“Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa adalah lebih baik sekiranya jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan agar konflik kepentingan boleh dihapuskan. Ini juga sesuai dengan amalan di negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster seperti Malaysia.

“Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk memisahkan tanggungjawab Peguam Negara daripada Pendakwa Raya,” ujar kandungan tersebut yang terdahulu pada pendahuluannya turut mengecam hebat pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.

Antaranya menegaskan bahawa kedaulatan negara digadai oleh para pemimpin korup yang mementingkan kekayaan sendiri di mana mereka melakukan apa sahaja untuk kekal dalam jawatan, kerana mereka takut akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya mereka hilang kuasa.

Buku Harapan membidas pemimpin korup berkenaan sebagai tidak peduli apabila pihak berkuasa pelbagai negara menyiasat salah laku mereka dan ahli keluarga mereka serta memandang remeh apabila Malaysia menjadi bahan lawak jenaka oleh media dan penganalisis antarabangsa.

“Dunia pernah mengagumi Malaysia semasa era para pemimpin terdahulu. Tetapi kekaguman itu telah ranap akibat sikap para pemimpin sekarang. Kini, nama Malaysia sering timbul hanya apabila media dunia melaporkan tentang salahguna kuasa dan kleptokrasi, terutamanya dalam kes global seperti 1MDB,” ujar PH. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

Ulasan