Pelarasan pencen tentera: Kerajaan akur tuntutan MP PN




Pelarasan pencen tentera: Kerajaan akur tuntutan MP PN
November 7, 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akhirnya akur dengan tuntutan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) agar kerajaan melaksanakan pelarasan pencen terhadap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 2013.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, walaupun tuntutan tentang perkara itu telah membuahkan hasil, namun perjuangan bagi membela nasib veteran ATM masih belum selesai.

“Walaupun kami menerima keputusan lapan peratus (kenaikan) ini kecil tetapi ia juga tergantung pada nanti keputusan mahkamah. Kalau keputusan mahkamah tu memberi suatu kebaikan kepada veteran Angkatan Tentera, kita akan terus berjuang,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu sidang media di lobi Parlimen petang tadi sebagai mengulas pengumuman Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin berkaitan perkara itu. Turut serta ialah Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor yang juga merupakan mantan Mejar Jeneral ATM. (Foto atas)

“Jadi bagi kita, sementara tunggu keputusan mahkamah, kerajaan bagi (kenaikan) lapan (peratus) ambil dululah. Tetapi bukan bererti perjuangan kita selesai. Banyak lagi.

“Kalau veteran-veteran tentera mengikuti perbahasan kami, bukan bererti menerima lapan peratus ini selesai,” kata beliau.

Selain Bakri dan Khlir, beberapa orang lagi Ahli Parlimen PN berkali-kali membangkitkan perkara itu sepanjang sidang Parlimen ialah Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Sebelum itu, dalam sesi penggulungan bagi Perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar, Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melakukan pelarasan pencen bagi veteran ATM yang bersara sebelum 2013.

Khaled dalam pengumumannya berkata, bagi veteran dalam kumpulan di atas, pelarasan pencen fasa pertama akan dilakukan pada Disember 2024 berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012.

Kata beliau lagi, setelah gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2024 diperolehi, pelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan-peraturan Angkatan Tentera Tetap 1982.

Pelarasan kedua, kata Khaled, melibatkan kenaikan sebanyak tujuh peratus pula akan dibuat dan dilaksanakan pada awal tahun 2026 menjadikan jumlah pelarasan pencen yang diterima kumpulan itu ialah sebanyak 15 peratus.

Pada November 2022 NGO veteran ATM, Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) telah memfailkan saman pemula terhadap kerajaan berkaitan perkara itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 5 Februari lepas keputusan mahkamah itu telah memihak kepada veteran ATM, bagaimana pun Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membuat keputusan memfailkan rayuan terhadap kes itu ke Mahkamah Rayuan dan akan didengar sekali lagi pada 21 Januari 2025. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

Ulasan