
Pemimpin politik masih guna cara lapuk
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
24 November 2024, 8:04 am
MUKADIMAH
HARI INI, genap dua tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan Perpaduan pula kini memasuki tempoh separuh penggal pentadbirannya.
Bagi Ahli Parlimen Muar, SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN, mereka yang dahulu pernah turun ke jalanan menuntut perubahan dan kini menggenggam kuasa, nampaknya membuat pusingan U. Adam Adli Abd. Halim, antara yang memprotes kerajaan suatu ketika dahulu dan salah seorang ahli Kabinet, tidak terlepas daripada tuntutan perubahan itu. Namun, janji hanya tinggal janji.
Dalam wawancara bersama Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, FARIS IDERIS dan jurugambar, SHIDDIQIEN ZON baru-baru ini, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu memberi peringatan, laksana apa yang patut sebelum rakyat bangkit.
PECAH AMANAH
MINGGUAN MALAYSIA: Selepas disabit bersalah tuduhan pecah amanah, Yang Berhormat (YB) dianggap tidak lagi seaktif dahulu di ruangan awam. Benarkah?
SYED SADDIQ: Saya rasa sama sahaja. Di Parlimen, saya antara paling aktif, kehadiran penuh dan penglibatan berbahas juga banyak. Cuma, mungkin kekurangannya kedudukan saya bukan lagi Presiden MUDA yang mana sebelum ini, saya menggalas tanggungjawab besar mengemudi parti politik yang baharu bermula.
Kini, saya hanya ahli biasa dan rakyat Malaysia yang hormat proses perundangan negara. Saya tidak boleh hanya cinta negara apabila membawa kesenangan kepada saya. Apabila melalui kesulitan, cinta saya kepada negara lagi tinggi kerana mahu mengubah nasib, rakyat dan bangsa. Saya akan teruskan tidak kira diugut, disogok dan tidak akan berganjak ke mana-mana. Inilah prinsip saya.
Keputusan mahkamah menjadi beban kepada YB?
Apabila saya ‘diheret’ ke mahkamah dan lawan habis-habisan, tidak pernah sekali pun saya tuntut supaya kes digugurkan seperti pemimpin politik lain. Saya tidak menggunakan politik ‘cium tangan’ yang akhirnya menggugurkan kes pertuduhan. Saya tetap lawan demi keadilan dan kebenaran di mahkamah.
Tetapi, untuk negara lebih maju, saya mesti lebih putih daripada putih dan jika perkara ini saya perlu mengambil langkah ke belakang dan biarlah kepimpinan lain ambil alih. Untuk menjadikan negara kukuh, pada masa sama budaya demokrasi dan membasmi rasuah sangat kuat di hati rakyat Malaysia adalah apabila kita berjaya mendemokrasikan nilai murni yang baik dalam kalangan seluruh rakyat.
Tanpa berada dalam mana-mana gabungan blok kerajaan dan pembangkang dan bergerak bebas. YB masih anggap diri dan MUDA sebagai kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat?
Iya. Saya tidak bersama mana-mana gabungan kerana walaupun saya ahli biasa dalam MUDA, tetapi, ini adalah keputusan parti. Tetapi, yang jelas saya berada dengan pembangkang. Maka, tanggungjawabnya adalah memastikan suara rakyat terbela, memainkan peranan semak dan imbang dengan cadangan-cadangan dasar sehingga tiba pilihan raya umum (PRU) seterusnya, supaya masa hadapan negara lebih terjamin.
Apakah YB berasa ‘keseorangan’ di Dewan Rakyat?
Walaupun saya hanya seorang, tetapi, jika saya boleh tidur dengan lena pada waktu malam jauh lebih bermakna kerana saya tidak menggadaikan prinsip dan maruah apabila turun mendampingi rakyat.
MUDA
Apa perasaan tidak lagi mengemudi parti YB tubuhkan sendiri?
Dalam politik, akan ada jatuh dan bangunnya. Tetapi, sebagai salah seorang ahli politik muda yang penuh idealisme, I must walk the talk (cakap serupa bikin). Saya sudah tidak sertai mesyuarat parti sama ada di peringkat Pusat, negeri dan bahagian, malah saya hormat keputusan parti. Mereka pun perlu diberi ruang dan peluang untuk mencari diri, identiti dan haluan sendiri. Tetapi, saya perlukan ahli yang setia dalam proses ini.
Kalau setakat saya hadir bersama dalam sidang akhbar parti tiada masalah, yang penting bukan melibatkan penggubalan dasar dan keputusan. Kali terakhir saya dipanggil kepemimpinan MUDA pun untuk jelaskan berkenaan isu jerayawara pembangkang tetapi itu sudah beberapa bulan lalu.
Pemangku Presiden MUDA sekarang dikatakan tidak mesra kepada media. Mengapa?
Saya harap kita semua beri ruang dan peluang kepada beliau (Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz). Beliau juga ahli politik muda yang akan memakan sedikit masa untuk cari jalan. Saya pun mengambil masa dan terus belajar. Walau apa pun, saya akan sampaikan hal ini kepada beliau.
PRU16
Kemenangan YB di Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH). Sekarang sudah keluar kerajaan, YB yakin kekal menang di sana pada PRU16?
Kuasa ini terletak pada Allah SWT dan rakyat Muar. Saya biarkan sahaja jejak rekod saya di kawasan ini untuk berbicara supaya rakyat boleh menilai. Di akhirnya, rakyat yang akan menentukan kalah atau menang saya.
PERUNTUKAN
Sudah terima peruntukan kerajaan untuk pembangkang? YB seorang sahaja bakal terima peruntukan itu bukan?
Tiada. Kosong ringgit Malaysia.
Politik Malaysia masih dalam cara lama?
Benar. Pemimpin atau ahli politik kita masih terperangkap dengan cara lama dan lapuk, yang akhirnya menjejaskan kebolehan rakyat dan negara untuk bergerak ke hadapan sekali gus berpecah-belah. Potensi sebenar tidak dapat diserlahkan.
Anak-anak muda hilang harapan ke atas masa hadapan negara sehingga ada yang sanggup ‘angkat kaki’ pergi ke luar negara dan bekerja sebagai pemetik buah, kerana kurang peluang pekerjaan di tempat sendiri.
Kerajaan pula dibuai dengan fantasi yang ekonomi negara maju, baik, inflasi rendah, pekerjaan bagus, saham naik. Kerajaan dibuai mimpi yang tidak benar kerana hanya orang di peringkat bawah tahu harga barang semakin meningkat, begitu juga dengan rumah mampu milik dan isu ketidakpadanan pekerjaan. Ini perkara yang serius dan saya rasa mereka dibuai fantasi hidup dalam dunia berasingan dengan apa kehidupan yang rakyat jalani seharian.
HABUAN
Semakin ramai lantikan politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan lain. Komen?
Ini juga saya bangkitkan sebelum ini. Bayangkan, rakyat di luar sana terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup, susah mendapatkan pekerjaan, tidak mengikut kelayakan tahap pendidikan, gaji rendah dan mereka tertekan. Tetapi, mereka yang berada di dalam Parlimen (kerajaan dan pembangkang), bukan setakat mendapat gaji puluhan ribu ringgit, malah, melangkah sahaja ke dalam Parlimen terus dapat pencen seumur hidup, bahkan dilantik ke dalam GLC dan GLIC.
Sebab itu saya mahu kerajaan walk the talk dan saya sendiri sudah cadang dan usulkan untuk mengharam atau memberhentikan pemberian pencen bagi ahli politik termasuk bagi diri saya sendiri. Walaupun saya sudah dapat pencen menteri, ahli parlimen, tetapi hentikan. Kita harus laksana apa yang dijanji supaya rakyat faham kita berkhidmat untuk mereka.
Jika masih berada dalam kerajaan dan nikmati semua kemudahan, apakah YB masih bersikap lantang dan melawan?
Saudara, saya sebelum ini dalam kerajaan, malah semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pun memang dalam kerajaan. Apabila parti saya dahulu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar dari gabungan dan membentuk kerajaan baharu, mereka tawarkan jawatan menteri, pengerusi GLC yang gajinya lebih tinggi daripada perdana menteri. Tetapi, saya tolak kerana ini soal prinsip, maruah, integriti.
Di dalam Kerajaan Perpaduan pula, saya salah seorang ahli Parlimen kerajaan yang mendapat peruntukan tahunan RM4 juta, tetapi saya tidak menggadaikan maruah dan keluar kerajaan. Selalunya ahli Parlimen pembangkang ‘lompat; ke kerajaan kerana mahu mendapatkan kuasa, kontrak, jawatan, kemewahan, dalam kerjaya politik saya, tiga kali berada dalam kerajaan tetapi saya tidak menggadaikan prinsip ini kerana ia jauh lebih penting daripada kedudukan dan kemewahan yang sementara.
DUA TAHUN KERAJAAN PERPADUAN
Masuk separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan, bagaimana prestasinya?
Semua orang menuntut janji-janji kerajaan, contohnya reformasi perundangan untuk memperkenal akta berkaitan pendanaan politik supaya negara dapat mengekang politik wang untuk memastikan pengurangan pemusatan kuasa, peruntukan yang adil dan saksama kepada semua kawasan Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang, memansuhkan akta zalim seperti Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, ‘akta sakit hati’ atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang diguna untuk mengekang suara rakyat dan pembangkang yang benar-benar menentang ketidakadilan dan membasmi rasuah.
Hingga hari ini janji masih belum ditunaikan, malah kerajaan mengambil langkah ke belakang. Dalam pentadbiran pemerintah lalu, saya turut kritik isu tadbir urus seperti pengisytiharan aset bagi semua yang berada di dalam Kabinet sehingga pentadbiran Kabinet, sekarang ia masih belum dilaksana pun. Walhal, jika ikut janji bukan setakat dalam buku pilihan raya, tetapi, di dalam jawapan rasmi kerajaan di Parlimen tangguh beberapa kali. Akta hasutan diguna pakai ke atas pemimpin politik yang tidak bersama kerajaan. Saya faham perdana menteri cakap jika melibatkan institusi diraja (guna akta hasutan), tetapi, dalam hal ini, bukan setakat reformasi terbantut, tetapi terkebelakang.
Ini bukan isu 3R (kaum, raja dan agama) dan saya tidak memainkan isu ini secara keterlaluan. Saya cuma menuntut janji demi rakyat kerana reformasi milik semua. Jika kita bina institusi demokrasi yang kukuh, perkasa penjawat awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pastikan pengasingan kuasa itu diperkukuh tidak kira siapa pun yang menang pilihan raya dan membentuk kerajaan akan berada di landasan yang benar. Kerisauan saya kerana pihak yang sama inilah yang melaungkan reformasi dan membantutkan usaha mereka sendiri.
Adakah Kerajaan Perpaduan perlu diberi masa lagi?
Ibarat membina rumah atau sekolah, kita tidak tuntut pembinaannya siap esok hari, walaupun ada yang berjanji “jika menang hari ini, esok semua akan turun”. Rakyat tidak akan tuntut sampai ke tahap ini dan saya pun realistik kerana sebelum ini berada dalam kerajaan. Tetapi, lazimnya, ada petunjuk prestasi utama (KPI) berteraskan garis masa. Ada garis masa dua atau tiga tahun, jadi, gariskanlah.
Masalahnya, reformasi yang dilaksanakan pun ada yang buat pusingan ‘U’, akta anti lompat parti yang kerajaan mati-matian mahu laksana dan apabila berada di takhta kuasa, mereka sendiri yang salah guna undang-undang ini untuk beri sogokan, ugutan kepada pihak lawan supaya mereka lompat dan akhirnya, dilantik ke dalam GLC dan agensi-agensi kerajaan. Walaupun akta anti lompat parti itu ada, tetapi hanya di atas kertas dan kertas ini diangkat dan dikoyak begitu sahaja walhal mereka dahulu yang menuntut.
PUSINGAN ‘U’
Dahulu, ramai yang protes kerajaan sehingga tahap ‘berguling’ di jalanan melawan kerajaan. Kini, apabila berada di puncak kuasa, mereka tidak lagi bersuara. Komen?
Dalam hal ini, saya melihat Adam Adli Abd. Halim yang kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan beberapa yang lain. Beliau bukan sahaja sahabat, bahkan sebelum saya sertai politik, beliau adalah figura saya hormati dan segani, pernah turun ke jalanan lakukan protes bersama dan saya ingat lagi semasa dalam kerajaan, mereka pun tuntut beberapa isu perubahan dan saya ikut.
Saya cuba laksana sebelum mereka desak dan akta hasutan perlu dihentikan. Kita letak moratorium. Tetapi, malangnya, hari ini ia berubah terus, buat pusingan ‘U’ beberapa kali. Saya risau kerana, apabila segelintir pemimpin muda dalam kerajaan dijadikan ikon dan tokoh, tetapi, jika mereka tidak dapat laksana janji, rakyat pun muak dan tidak lagi mahu mendukung kepemimpinan muda yang lain. Dahulu kamu (Adam Adli) kata isu PTPTN akan lawan (mansuh), hari ini tiada komen langsung.
ADAM ADLI DAN BENDERA
GAMBAR NAJIB
Mungkin juga Adam sukar bersuara atas kapasitinya dalam Kementerian Belia dan Sukan?
Saudara Adam Adli, kamu merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sebahagian daripada parti teras kerajaan. Ini tanggungjawab sangat besar dan bukan itu sahaja, sudah namanya Kementerian Belia dan Sukan. Belia amat penting demi masa hadapan negara. Bukan setakat pemimpin masa hadapan, tetapi pemimpin pada hari ini. Tetapi apabila isu anak muda, isu pekerjaan, pinjaman pendidikan begitu malap. Ini merupakan tanggungjawab kita bersama.
Kalau begitu, apabila saya berada di dalam Kementerian Belia dan Sukan pun, baik isu kerajaan, pendidikan, undi 18 tahun saya diam sahaja. Jangan suka hati beri alasan, “oh ini bukan portfolio saya.” Ini isu belia melangkaui banyak kementerian dan kita perlu pertahankan nasib anak muda yang merupakan generasi sandwich, terhimpit dari atas ke bawah dan jika kita tidak berani mempertahan dan membela masa hadapan mereka, maka, malap masa hadapan negara.
PLKN 3.0
Program Latihan Khidmat Negara 3.0 akan bermula pada Januari 2025. Tidak menyesal kerana YB yang mansuhkan PLKN dahulu?
Ini keputusan Kabinet (PH). PLKN dahulu terletak di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef), manakala saya di Kementerian Belia dan Sukan. Ketika itu Kabinet memutuskan memansuhkan PLKN dan apabila ditukar ke KBS, maka kos peruntukannya daripada RM650 juta kepada RM0.
Kena ingat, ada perbezaan yang besar antara PLKN dan program khidmat negara yang dilaksana di luar negara, yang memakan masa sekurang-kurangnya setahun. Tetapi, di Malaysia seperti bootcamp hanya tiga bulan yang memakan kos sangat tinggi dan satu kepala boleh cecah antara RM10,000 hingga RM15,000. Bayangkan, kos ini boleh diberi untuk pendidikan percuma kepada bakal penuntut di universiti.
Apabila melibatkan wang dan cukai rakyat, kita perlu urus dan belanja sebaik mungkin supaya impaknya baik untuk rakyat. Jika ikut penilaian kesan audit, ia tidak mencapai sasarannya ,bahkan jauh tersasar. Sebab itu, perlu ada penambahbaikan yang amat ketara, jika tidak, sukar untuk kita justifikasi keberkesanannya.
Orang boleh kata kerajaan ada berbilion ringgit yang boleh dibelanja tanpa implikasi kewangan. Pelaksanaan PLKN yang dahulu, kos tahunannya memakan RM650 juta dan kos ini seperti belanjawan sebuah negeri untuk tempoh setahun. Ia juga ibarat peruntukan Kementerian Belia dan Sukan secara keseluruhan. Apabila penilaian impak dijalankan, hasilnya tidak begitu baik sebab itu akhirnya keputusan memansuhkannya dilakukan.
INDOKTRINASI POLITIK
Bukankah YB yang dakwa PLKN wujud indoktrinasi politik?
Itu (indoktrinasi politik) merujuk kepada Biro Tatanegara (BTN). Ada beza dengan PLKN. Ketika itu ada PLKN dan juga BTN yang kedua-duanya berjalan sekali dan untuk PLKN saya bercakap tentang implikasi kewangan. Selalunya kedua-dua program ini disamakan dan sebab itu kedua-duanya turut dimasukkan dalam manifesto PH dan dimansuh pada 2018.
BIRO TATANEGARA JAUH TERSASAR
Fungsi asal BTN sangat baik untuk memupuk sifat kenegaraan, tetapi lihat apa yang berlaku 10, 20 tahun selepas itu. Tanyalah kepada anak muda dan mahasiswa yang dipaksa menyertai kem indoktrinasi BTN yang akhirnya menggariskan ceramah-ceramah politik. Dakwa Anwar begitu begini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan penyokong Israel Yahudi.
Saya juga berada dalam kem itu kerana salah seorang mahasiswa universiti awam. Dalam hal ini, jelas tidak baik, tiada manfaat dan akhirnya wang cukai rakyat diguna untuk aktiviti seperti ini sedangkan wang itu boleh diguna untuk tujuan pembinaan sekolah dan bantuan pendidikan.
PLKN 3.0 ini lebih baik atau sebaliknya?
Kerajaan umum PLKN yang akan dilaksana berbeza dengan sebelum ini. Saya tidak boleh hanya bangkang, sebab itu saya sedang menunggu perincian pelaksanaanya. Kita tunggu dan lihat baharu tahu implikasinya. Dalam proses ini saya terbuka, tetapi, kerajaan perlu jelaskan mengapa dalam manifesto dahulu kata mansuh PLKN, tetapi hari ini memungkiri janji tersebut? Kerajaan mesti pastikan kesilapan dahulu tidak berulang lagi.
UMUR 32, TIDAK KAHWIN-KAHWIN LAGI
Bila YB mahu berkahwin? Sampai bila membujang?
Ini adalah satu persoalan yang saya tidak akan jawab. Perkara ini adalah ketentuan dan takdir Allah SWT.
Ada teman wanita?
Ini hal peribadi. – MINGGUAN MALAYSIA
Ulasan
Catat Ulasan