Rebut peluang besar dalam industri halal


Rebut peluang besar dalam industri halal
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
16 November 2024, 7:09 am

REZEKI dalam perniagaan itu memang luas lebih-lebih lagi dalam industri halal. Terbaharu, Malaysia berhasrat menu­buhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.

Hal itu disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan di Lima, Peru, kelmarin.

Sebelum ini, Pelan Induk Industri Halal 2030 menjangkakan pasaran halal Malaysia mencecah RM523.3 bilion dan disasarkan menyumbang hampir 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030 di samping bakal mewujudkan lebih 700,000 peluang pekerjaan.

Pada masa ini, industri halal menyumbang kira-kira enam hingga tujuh peratus daripada KDNK negara, de­ngan anggaran penilaian pasaran sebanyak RM64 bilion.

Setakat Januari sehingga September ini, jumlah eksport produk halal negara bernilai RM45.04 bilion berbanding RM39.36 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

Industri halal global semakin berkembang pesat dan dianggarkan bernilai AS$2.4 trilion pada 2024, dengan prospek mencapai AS$5 trilion menjelang 2030.


Peluang ini hendaklah dimanfaatkan oleh usahawan tempatan terutama orang Islam. Statistik menunjukkan 57 peratus atau 5,449 syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah syarikat bukan Bumiputera setakat 12 November 2024.

Jumlah keseluruhan SPHM adalah 9,520 syarikat. Sa­yangnya, hanya 40 peratus atau 3,803 pemegang SPHM adalah syarikat Bumiputera manakala tiga peratus lagi atau 268 adalah membabitkan syarikat milikan asing.

Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang ini sementelah dengan kelebihan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sijil halal yang dikeluarkan Jakim bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Ia diktiraf oleh 86 badan pensijilan seluruh dunia termasuk negara Eropah seperti United Kingdom, Poland, Brazil, Australia dan New Zealand.

Mengapa sijil halal Jakim itu amat bernilai? Ini kerana kerana penilaian Jakim sebelum mengeluarkan sijil tersebut kepada mana-mana pihak adalah amat ketat. Bukan sahaja produk siap perlu menggunakan bahan halal, tetapi proses pembuatan dan logistik juga mesti patuh halal. Pendek kata, semua mesti halal dari farm to folk.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), salah satu manfaat utama melalui pensijilan halal ialah akses kepada pasaran global.

Oleh itu, PKS yang berjaya mendapatkan sijil halal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menembusi pasaran ini. Sebagai contoh, produk makanan bersijil halal dari Malaysia mendapat tempat di pasaran Timur Tengah oleh pengguna di sana yang mengutamakan produk mematuhi piawaian halal.

Pensijilan halal juga meningkatkan tahap kepercayaan pengguna, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Di pasaran global, pengguna semakin menyedari pentingnya produk yang selamat dan berkualiti tinggi.

Pendek kata, kalau halal, baru beli.

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan