Reformasi: Buka semula manifesto PH pada 2022



Reformasi: Buka semula manifesto PH pada 2022
Latheefa Koya ketika diwawancara oleh MINGGUAN MALAYSIA di Petaling Jaya, baru-baru ini. - MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
3 November 2024, 6:39 am

MUKADIMAH

Kira-kira 25 tahun lalu, ‘reformasi’ menjadi laungan paling keramat dengan harapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa reformasi menyeluruh dalam sistem perundangan negara. ‘Reformasi’ bergema lagi pada 24 November 2022 selepas Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Namun, bagi peguam hak asasi, LATHEEFA BEEBI KOYA, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) gagal melaksanakan reformasi itu.

Katanya, ada banyak undang-undang yang perlu dilakukan reformasi oleh kerajaan sekarang. Untuk itu mereka perlu buka semula manifesto PH 2022.

Dalam wawancara wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, FARIS IDERIS dan jurugambar, SYAKIR RADIN, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu turut mengulas tentang fungsi badan berkenaan.

REFORMASI PERUNDANGAN
MINGGUAN Malaysia: Bagaimana anda melihat reformasi perundangan negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan?


LATHEEFA: Banyak isu yang berlaku sekarang menjadikan hak perundangan warganegara Malaysia menjadi lebih buruk. Jadi, saya boleh beri markah negatif 10. Jika selalunya gred atau skala diberi antara kosong hingga 10, namun, dalam konteks reformasi perundangan negara di bawah kerajaan sekarang, bukan sahaja kerajaan tidak melakukan sebarang reformasi, namun situasinya lebih teruk.

Menjadi buruk yang bagaimana?

Contohnya, Akta Hasutan 1948. Sekarang bukan sahaja rakyat tidak boleh mengkritik atau menyindir kerajaan, malah terus ‘diheret’ ke balai polis dan sekarang kerajaan sudah melakukan satu undang-undang jenayah yang tidak wujud pun dalam konteks perundangan iaitu kesalahan di bawah 3R (kaum, raja dan agama).

Undang-undang mana yang menyebut perkara ini? Tiada langsung, tetapi kerajaan begitu mudah mengkategorikan kritikan seseorang yang menyentuh hal berkaitan 3R.
Sekurang-kurangnya, semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau membuat pindaan undang-undang yang membenarkan orang ramai mengkritik kerajaan dan ini bukanlah satu kesalahan di bawah akta hasutan.

PINDAAN PERLEMBAGAAN BERHUBUNG KEWARGANEGARAAN
Apa lagi?

Kerajaan membuat pindaan di dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kewarganegaraan yang sebenarnya menarik balik hak yang sudah pun termaktub di dalam perlembagaan.

Apabila kerajaan berbahas di Dewan Rakyat kononnya mewajarkan pindaan ini, namun, kerajaan berbahas di atas satu alasan palsu (deceptive) kononnya warga asing akan menggunakan peruntukan sedia ada (pemberian kewarganegaraan secara automatik) untuk menjadi warganegara.

Ini tidak benar dan warga asing tidak akan ada peluang menjadi warganegara Malaysia secara automatik. Tetapi, untuk menaikkan kebencian, maka kerajaan memberi alasan palsu.

Apa kesannya selepas pindaan perlembagaan tentang kewarganegaraan baru-baru ini?
Hakikatnya, sekarang ramai orang tidak mempunyai dokumen rasmi yang memang lahir di Malaysia dan tiada kewarganegaraan negara lain. Ada yang memegang kad pengenalan berwarna merah bukan kerana mereka warga asing.

Mengikut perlembagaan, mereka yang memegang kad berwarna merah jika mempunyai anak, maka, anak boleh mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Tetapi, sekarang pindaan tersebut sudah dibuang atau dihilangkan. Maka, beribu kanak-kanak sekarang tidak mempunyai kewarganegaraan sedangkan mereka mungkin adalah orang asal di sini dan tidak memegang pasport negara lain.

Isu pindaan perlembagaan yang asal iaitu hanya memberi hak kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing pun kerajaan tidak penuhi. Sebaliknya, pindaan undang-undang ini hanya terpakai di masa hadapan sahaja.

Jadi, mereka sekali lagi ditipu. Pindaan untuk memberi hak sama rata kepada ibu ini bukannya cadangan kerajaan hari ini, malah Kabinet sebelum ini lagi. Tetapi, apabila kerajaan sekarang mengambil alih, mereka memasukkan pindaan-pindaan lain sekali gus menafikan hak kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan.



Di akhirnya, Malaysia mendapat satu generasi baharu yang tidak bernegara yang bakal wujud dan ini amat tidak baik. Jika anda perhati semasa perbahasan di Dewan Rakyat, kesemuanya tiada asas untuk meminda perkara asas pun, cuma, masalahnya tiada orang yang akan bercakap kerana takut diheret dan dipanggil polis.

Sebelum ini Majlis Peguam hanya mahu pindaan pada perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu bapa’ tetapi kerajaan memasukkan beberapa pindaan lain. Komen?

Ya, ia menjadikan situasinya menjadi lebih teruk. Jadi, pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan ini masih tidak memihak kepada sesiapa?

Ya. Saya tidak faham mengapa ada ahli Parlimen yang begitu bangga dengan kelulusan pindaan ini, padahal ia hanya menjadi lebih zalim.

AKTA KOMUNIKASI

Contoh lain Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sekarang sesiapa sahaja berisiko diheret tidak kira waktu selagi seseorang mengkritik kerajaan yang menimbulkan persepsi penguat kuasa akan ‘memburu’ mereka yang mengkritik kerajaan.

REFORMASI: YANG CAKAP LAIN, YANG BUAT LAIN
Laungan reformasi 20 tahun lalu adakah ia selari dengan keadaan hari ini?

Tidak selari langsung. Semasa pentadbiran Najib pun, beliau tidak melaungkan reformasi, tetapi kita melihat dari segi apa yang beliau lakukan untuk negara seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Saya tidak dapat bayangkan jika ISA masih ada hingga hari ini.

Kenyataan anda tidak bermaksud memihak kepada Najib atau anda pro-Najib?

Saya tiada keperluan memihak kepada sesiapa dan bukan juga pembangkang. Saya cuma menjadi objektif sebagai rakyat Malaysia. Kena adillah.

Kita bercakap soal reformasi tetapi yang melakukan reformasi pula orang lain. Kita tolak ke tepi soal kes korupsi Najib, kerana ini perkara berbeza.

MANIFESTO
Undang-undang apa wajar dilaksanakan baharulah dianggap reformasi?

Terlalu banyak dan perlu buka semula manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dijanjikan pada 2022. Apa undang-undang yang mudah dilakukan?

Jangan kata disebabkan sekarang Kerajaan Perpaduan, mungkin ada parti politik yang tidak menyokong. Cuba dahulu dan biarlah parti politik beritahu sendiri jika mereka tidak sokong. Ini, belum apa-apa lagi sudah beri alasan tidak dapat laksana manifesto kerana bukan kerajaan tunggal. Ini alasan remeh dan tiada iltizam politik membawa perubahan yang mereka sendiri janji.

Bukankah menjadi amalan kepada sesiapa sahaja kerajaan menggunakan undang-undang yang dianggap zalim dan kejam?

Adakah mereka (kerajaan terdahulu) melaungkan reformasi? Isunya sekarang, siapa yang berjanji dan siapa yang laungkannya? Mereka ini yang meminta sokongan dan undi rakyat dan akhirnya, beri alasan tidak boleh buat (reformasi undang-undang) sebab kerajaan gabungan dengan mereka yang anti reformasi. Cuba lihat ahli politik yang memegang Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi, mereka dari PKR.



Apa lagi alasan tidak membawa cadangan rang undang-undang? Kabinet sebelum ini pun tidak menggunakan undang-undang ini dan ada moratorium. Kerajaan sekarang bukan sahaja tiada moratorium, malah secara aktif menggunakannya dan menuduh individu yang mengkritik kerajaan.

Apa pandangan anda tentang pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dengan Peguam Negara (AGC)?

Sudah tentulah ini salah satu isu patut dilaksana dan ini juga salah satu reformasinya. Tetapi, adakah? Kerajaan boleh buat cadangan tetapi tidak nampaklah ke arah itu. Cakap memang banyak tetapi tiada langsung pun.

NAJIB MINTA MAAF
Boleh komen tentang permohonan maaf Najib baru-baru ini?

Ini terpulang kepada Najib meminta maaf kerana ini hak beliau. Tetapi, paling penting siapa menerima maaf itu? Sebenarnya kenyataan beliau bukanlah minta maaf dan di dalamnya kenyataan tersebut adalah maaf yang bersyarat. Beliau meminta maaf tetapi bukan bermaksud beliau bersalah.

ANWAR TERIMA BAIK
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘menerima baik’ permohonan maaf itu bukan?

Di sinilah puncanya. Beliau mesti berhati-hati dengan apa yang beliau katakan kerana perdana menteri bukan orang biasa. Sepatutnya tidak perlu komen.
Beliau tiada hak menerimanya (permohonan maaf), malah tiada dalam undang-undang pun beliau perlu menerima maaf daripada sesiapa.

Adakah ini akan menjejaskan imej kerajaan ketika ini?

Saya tidak tahu. Tetapi, ia akan memberi persepsi kerajaan ini bercakap tidak serupa bikin. Setiap hari perdana menteri kita bercakap kononnya membanteras rasuah, tetapi, dalam keadaan kita masih dalam proses mendapatkan wang negara semula disebabkan seseorang yang sudah disabit bersalah atas kes rasuah terbesar dan individu itu sudah minta maaf tetapi, anda (Anwar) cepat-cepat pula terima baik. Beliau tidak pun tunggu dan teliti pun.

Apabila beliau bercakap seperti ini, apa yang dirasakan kesemua kakitangan kerajaan atau penguat kuasa seperti SPRM yang sudah berkorban seperti mengambil tindakan dan siasatan, bertungkus-lumus membuat kes dan beliau dengan mudah menerima baik permohonan maaf Najib?

PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG
Apakah benar undang-undang negara ini memihak rakyat?

Undang-undang tetap undang-undang. Tetapi, yang menjadi persoalan adalah pelaksanaannya.

Lihat sahaja pemandu e-hailing pekak yang ditumbuk, berapa lama masa diambil untuk tindakan lanjut?
Apa lagi yang diperlukan sedangkan bukti dan siasatan sudah diberi? Seorang lagi lelaki yang diserang pihak tertentu sehingga kini tiada tindakan lanjut.

Anda masih berpolitik selepas keluar dari PKR?
PKR? Ini sejarah saya sudah lama. Sekarang tiada lagi, malah sebelum saya masuk SPRM pun saya sudah meninggalkan dunia politik.

SPRM
Anda pernah mengetuai SPRM dahulu. Bagaimana anda melihat fungsi SPRM sekarang?

Saya melihat kepada apa persepsi orang awam terhadap SPRM. Persepsinya adalah SPRM hanya diguna untuk menyiasat orang yang dikatakan tidak selari dengan kerajaan. Mengikut persepsi, SPRM dilihat tidak bebas dan ditekan.

Jika dilihat kenyataan kerajaan tentang persepsi terhadap SPRM pun tidak membantu kerana setiap kali ada tindakan kerajaan pun ikut cakap dan beri kenyataan seolah-olah ada arahan secara tersirat.

SPRM BUKAN ALAT DENDAM POLITIK
Apa yang anda lakukan semasa mengetuai SPRM dahulu?

Saya memastikan SPRM tidak dipolitikkan, menjadi alat dendam untuk ahli politik atau kerajaan mengambil tindakan. Sebab itu semasa saya berada di dalam SPRM, saya tidak membenarkan sesiapa yang dituduh atau direman dibawa mahkamah memakai baju lokap berwarna oren.

Saya tidak peduli sama ada individu itu orang kenamaan atau tidak, jangan sehingga tahap memalukan mereka sebelum disiasat, dituduh atau disabit bersalah kerana mereka mempunyai maruah serta ahli keluarga yang mesti dijaga.

Baju oren hanya boleh dipakai di dalam lokap, tetapi, sekarang, baju ini juga dipakai ketika membawa tahanan ke mahkamah dan dimalukan. Padahal, baharu reman dan belum dituduh tetapi gambar wajahnya sudah tersebar di media massa. Bukankah ini tidak adil?

Selain itu?

Saya beri arahan sesiapa yang dibawa untuk disoal siasat, seseorang dibenarkan untuk bersama peguam tetapi sekarang peguam dilarang bersama anak guamnya dalam siasatan sedangkan peguam tidak mengganggu siasatan SPRM.

Maksud anda sekarang SPRM menjadi alat politikkah?
Saya tidak akan cakap begitu. Lihat kepada persepsi orang ramai sebagai tidak bebas dan ditekan.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM okay kah?

Lebih baik saya tidak jawab soalan ini.

Anda pernah berdepan tekanan dan cabaran semasa berada dalam SPRM?

Tekanan mana-mana pihak tiada, tetapi cabaran itu banyak seperti daripada segi memastikan SPRM sentiasa bebas. – MINGGUAN MALAYSIA

Ulasan