Rela bunuh diri dari dirogol tentera Sudan
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
14 November 2024, 9:00 am
NEW YORK : Golongan wanita dan gadis yang melarikan diri dari konflik peperangan di Sudan sanggup membunuh diri sendiri menggunakan pisau daripada dirogol oleh tentera Sudan.
Insiden yang semakin meningkat itu menyebabkan sekurang-kurangnya 124 orang awam terkorban di negeri Al-Jazira, Sudan Tengah, sejak 20 Oktober lalu, manakala 135,000 lagi terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran.
Angka itu direkodkan oleh Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memfokuskan kepada kesihatan wanita dan kanak-kanak dengan mencatatkan sebanyak 3,200 wanita hamil melarikan diri.
Perang saudara berlaku antara Angkatan Tentera Sudan yang diketuai oleh Abdel Fattah Al Burhan dan Pasukan Rapid Force oleh Mohamed Hamdan Dagalo.
Konflik itu mengorbankan puluhan ribu orang sejak tercetus pada April, tahun lalu, dan menyebabkan lebih 11 juta orang terpaksa dipindahkan, menurut Organisasi Migrasi Antarabangsa.
Menurut Agensi Populasi PBB, Kementerian Kesihatan Al-Jazira melaporkan sebanyak 27 wanita, berusia antara enam hingga 60 tahun, telah dirogol atau diserang di negeri tersebut.
“Kes-kes ini hanyalah sebahagian kecil daripada kekerasan seksual yang berleluasa,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Laporan itu memetik mengenai kenyataan seorang gadis yang kini berada di kem pelarian yang mendedahkan dirinya diberi pilihan menakutkan.
“Saudara lelaki saya, termasuk abang, bapa saudara dan bapa memberi kami pisau dan menyuruh kami membunuh diri jika diancam untuk dirogol oleh pejuang bersenjata,” katanya.
Wanita itu mendedahkan dia melihat rakannya terjun ke dalam sungai untuk mengelakkan diri daripada dirogol oleh lelaki bersenjata.
“Mangsa kekerasan seksual yang terselamat ini melarikan diri dan bersembunyi kerana keluarga mereka mengancam untuk mengakhiri hidup mereka untuk membersihkan kehormatan,” kata Agensi PBB itu lagi. -AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan