Resolusi Terengganu International Summit 2024



Resolusi Terengganu International Summit 2024
November 23, 2024


KUALA TERENGGANU: Terengganu International Summit (TIS) 2024 yang berlangsung hari ini, mengisytiharkan resolusi persidangan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob.

Resolusi Terengganu International Summit (TIS) 2024 ialah seperti berikut:

Di bawah penganjuran kerajaan negeri Terengganu, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan di bawah naungan Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang,

I. Kami, pemimpin masyarakat dan masyarakat sivil dari Malaysia, Rusia, Oman, Turki, Filipina, Indonesia, dan Palestin yang berkumpul di TIS 2024, mengecam pembunuhan beramai-ramai yang terjadi di Gaza serta kekejaman yang berterusan terhadap rakyat Palestin yang berada di sana.

Il. Kami mengalu-alukan semua Sidang Kemuncak dan Forum Islam serta Antarabangsa yang telah menyuarakan kebimbangan dan melaksanakan inisiatif strategik untuk menentang genosid di Gaza, konflik dunia dan Islamofobia.

Ill. Kami mengiktiraf usaha multilateral, terutamanya Sidang Kemuncak PBB, CoP dan ESG.

IV. Kami mengiktiraf kepentingan platform serantau dan multilateral yang sedang berkembang seperti ASEAN dan BRICS.

V. Kami mengiktiraf dunia multipolar yang pesat dengan inovasi teknologi dan usaha kerjasama.
Berdasarkan TIS 2023 yang pertama, kami menyokong rangka kerja kesatuan dan solidariti yang dicadangkan untuk mencerminkan pendekatan multidimensi terhadap keamanan global, kemakmuran, nilai budaya, dan martabat manusia. Kami juga mencadangkan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi membangunkan inisiatif strategik.

Oleh itu, ini merupakan lima teras dan 12 pelan tindakan dalam Rangka Kerja Kesatuan dan Solidariti.

(1) Memperkukuh Kepimpinan Strategik GlobalMenubuhkan Majlis Kepimpinan Kesatuan dan Solidariti Ummah yang bertujuan untuk memupuk kerjasama, ersefahaman, dan visi bersama dalam kalangan pemimpin dari pelbagai sektor.
Menekankan pentingnya pembangunan kapasiti untuk pemimpin, di mana negara anggota akan melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik dan rundingan, dengan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan.

(2) Memberdaya Pengetahuan dan Pendidikan Menuju KesatuanMenyokong penguasaan ilmu kontemporari dan memanfaatkan teknologi sebagai alat strategik untuk advokasi dan penyebaran maklumat agar mesej kesatuan dan solidariti sampai kepada lebih banyak pihak, terutamanya generasi muda.
Mempersada keunggulan pemikiran Islam dengan memanfaatkan sumber ilmu yang pelbagai demi kepentingan Islam dan ummah sejagat .

(3) Menguruskan Konflik Dalaman Secara BerkesanMenekankan pentingnya toleransi dan kerjasama di kalangan mazahib dan kelompok Muslim dalam menangani cabaran bersama dan menentang naratif yang memecahbelahkan umat Islam.
Memperbanyak kerjasama dan dialog konstruktif di kalangan pemimpin- pemimpin Mazhab dan pemimpin-pemimpin Muslim, termasuk pemimpin Sunni dan Shia, supaya umat Islam dapat bersatu dalam menentang ketidak adilan.

(4) Mentransformasi Kerjasama Ekonomi untuk PembangunanMenggalakkan negara Islam yang kuat dari segi ekonomi untuk melakukan pelaburan di negara yang kurang membangun sebagai langkah penting ke arah kesatuan ummah.
Menyeru negara, organisasi, dan individu untuk mengutamakan pelaburan dalam pembangunan yang lestari dan pelaburan yang selari dengan prinsip keadilan, hak asasi manusia, dan ketahanan ekonomi jangka panjang.
Mempromosikan pertumbuhan dan kelestarian produk dan perniagaan tempatan, memperkukuh kemandirian ekonomi dan meningkatkan kerjasama ekonomi serantau untuk kemakmuran bersama.

(5) Meningkatkan Diplomasi dan Solidariti UmmahMengecam dengan sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan serangan terhadap orang awam dan kanak-kanak di Lubnan dan Iran. Kami menyeru kepada gencatan senjata dengan segera dan menghentikan campur tangan tentera dan mengutamakan rundingan diplomatik.
Menggabungkan dan menyelaraskan bantuan kepada Palestin di peringkat serantau bagi memastikan impak yang lebih besar dan keberkesanan dalam memenuhi keperluan asasi, dan memulihkan negara Palestin pasca perang.
Menggalakkan strategi pelaburan beretika, termasuk memboikot BlackRock dan entiti lain yang berkaitan dengan syarikat yang terlibat dalam pembantaian Palestin dan pelanggaran hak asasi manusia, serta menyokong aktiviti Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) global.

Dengan ini, TIS akan terus berfungsi sebagai platform untuk membangunkan solusi bagi menghadapi cabaran ummah, yang seterusnya dapat diketengahkan sebagai satu agenda strategik nasional. TIS juga berperanan untuk memupuk kerjasama dalam kalangan pemimpin berpengaruh dan pembuat dasar agar agenda ini dapat dibawa dalam pelan pembangunan negara. – HARAKAHDAILY 23/11/2024

Ulasan