Royalti dibayar melalui MOF, bukan terus kepada negeri



Royalti dibayar melalui MOF, bukan terus kepada negeri
November 3, 2024

Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses mendapatkan dana royalti negeri masih perlu melalui prosedur tuntutan dan kelulusan rasmi daripada kerajaan pusat.

Menurut beliau, dana yang berkaitan dengan projek pembangunan seperti pengurusan sisa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada sektor yang terlibat.

“Kita dapat kalau kita tuntut di atas keperluan-keperluan yang kita nyatakan dan diluluskan tuntutan itu kita dapatlah duit bajet berkenaan cuma segala pembayaran itu tidak terus ke akaun kerajaan negeri kecuali yang berkait dengan emolumen ganti sahaja yang terus dihantar kepada akaun kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Samsuri berkata, bagi keperluan tambahan seperti bantuan untuk bencana, kerajaan negeri perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan pusat.

Katanya, proses keputusan bagi tuntutan itu dijangka mengambil masa satu hingga dua minggu setelah permohonan dikemukakan.

“Jika ada keperluan (mendesak), kita akan memohon secara rasmi, dan kerajaan pusat akan menilai sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada perkembangan baharu berhubung tuntutan wang royalti negeri.

Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022. – HARAKAHDAILY 3/11/2024

Ulasan