Segerakan reformasi industri padi dan beras
BEKALAN baja dan benih padi yang sering berlaku kelewatan masih menghantui pesawah hingga menjejaskan jadual penanaman. - GAMBAR HIASAN
Oleh MOHD RAFIE AZIMI
13 November 2024, 6:30 am
ALOR SETAR: Sudah tiba masanya reformasi dalam industri padi dan beras negara dilaksanakan selepas laporan berkaitan kartel dalam industri itu sejak sekian lama diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, sebelum ini banyak pihak yang berkaitan dalam industri itu seolah-olah memejamkan mata terhadap kepincangan yang berlaku hingga kartel bermaharajalela.
Katanya, ketika golongan pesawah terbeban dengan peningkatan kos yang membawa kesan besar terhadap pendapatan dan motivasi mereka, ini merupakan masa yang tepat untuk membela kembali nasib petani dengan menghapuskan gejala kartel.
Katanya, pesawah tidak sabar menunggu laporan berkaitan kartel padi dan beras yang akan diumumkan Perdana Menteri.
“Langkah kerajaan melakukan reformasi ini termasuk berusaha membersihkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) wajar dipuji. Tindakan ini sepatutnya sudah diambil lama dulu tetapi tiada pihak yang benar-benar serius mengusahakannya.
“Kita bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi perkara ini wajar dilakukan oleh sesiapa pun yang berkuasa dan menjadi kerajaan. Ini langkah yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dan jika bukan sekarang, sampai bila agaknya kita mahu melihat golongan petani terus ditindas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, laporan kajian berkenaan kartel padi dan beras akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Menurut Fuziah, beliau sudah meneliti laporan disiapkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), namun tidak boleh mendedahkan intipatinya kerana enggan mendahului Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, golongan yang terlibat dalam industri pertanian negara sedar bahawa peperangan melawan kartel bukan sesuatu yang mudah kerana ia sudah berleluasa sejak sekian lama.
“Maka kita berharap agar usaha memerangi mereka ini tidak terhenti separuh jalan. Lakukan secara bersungguh-sungguh dan sentiasa lipat gandakan usaha untuk membanteras mereka bagi membela nasib petani.
“Diakui memang banyak cabaran untuk menentang kartel kerana mereka bukan hanya menguasai industri, malah turut menguasai kerajaan. Disebabkan itu, kami berharap usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak agar industri padi dan beras negara dapat terus maju serta mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada petani,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan