Semak balik tambah 3 jam waktu berkerja jururawat



Semak balik tambah 3 jam waktu berkerja jururawat
November 24, 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menyemak balik cadangan untuk menambah 3 jam waktu shif berkerja jururawat yang dicadangkan akan dilaksanakan bermula Disember ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kebajikan para jururawat diwad perlu diambil kira keseimbangan kehidupan dan kerja.

“Penambahan 3 jam mungkin menjejaskan keseimbangan kehidupan dan kerja, terutamanya bagi pekerja yang mempunyai tanggungjawab keluarga atau komitmen peribadi lain.

“Waktu kerja yang lebih panjang juga boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental, yang akhirnya menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan pekerja dalam jangka panjang.

“Selain itu, pekerja mungkin perlu menanggung kos tambahan seperti penjagaan anak, pengangkutan atau makanan jika waktu kerja dilanjutkan.

“Dalam Islam, pekerjaan adalah satu bentuk ibadah, tetapi keseimbangan juga sangat penting,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan berkata, majikan perlu mempertimbangkan hak pekerja untuk berehat dan mengurus hal-hal peribadi.

“Jika perubahan ini mendatangkan kesusahan yang berlebihan, ia perlu ditangani dengan ihsan. Penambahan masa kerja boleh memberi manfaat jika dilaksanakan dengan perancangan yang teliti dan komunikasi yang jelas.

“Namun, majikan perlu memastikan bahawa keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja tidak terjejas. Perubahan seperti ini sebaiknya diiringi dengan sokongan kepada pekerja dan pampasan yang sesuai,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa menyemak semula keputusan mewajibkan tambahan tiga jam waktu bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

Ulasan