Simbiosis ahli politik, penjawat awam tonggak kestabilan negara
Oleh Saiful Ezane Mazlan - November 11, 2024 @ 1:59pm
Malaysia adalah sebuah negara dirahmati, dikurniakan kedudukan geografi yang jauh daripada garisan sesar potensi gempa bumi, terlindung daripada malapetaka ribut taufan utama dunia, tanah yang subur menyumbangkan hasil ekonomi, serta rakyatnya berbilang agama dan etnik tetapi mampu hidup makmur bersama.
Segala kelebihan ini perlu dijadikan aset berharga mentadbir negara ini. Perbezaan yang wujud adalah satu rahmat membolehkan rakyat saling belajar menerima antara satu sama lain. Namun, segala nikmat ini tidak dapat dicapai tanpa wujudnya kepemimpinan berwibawa menjadi asas kepada kestabilan pentadbiran negara kita ini.
Berdasarkan kepada pengalaman sejarah negara yang mana kerajaan pernah bertukar tiga kali dalam tempoh kurang sepenggal pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kepemimpinan berwibawa tidak hanya bertunjangkan kepada ahli politik, tetapi memberi fokus setiap rakyat negara ini, terutama penjawat awamnya.
Tanpa wujudnya kestabilan politik, pasti keadaan ekonomi dan perpaduan di Malaysia akan terjejas. Simbiosis antara ahli politik dipilih rakyat dengan penjawat awam diamanahkan rakyat, perlu wujud dan berfungsi tanpa gagal.
Sewajarnya ka berfungsi dalam perimeter ditetapkan kerajaan. Ibarat kata-kata Aristotle, ahli falsafah Yunani, 'Water seeks its own level', keseimbangan pasti akan dicapai. Hubungan dan komunikasi baik secara berterusan ini menjadi pemacu kestabilan pentadbiran negara.
Kestabilan sesebuah kerajaan bermula daripada pemimpin berwibawa. Kepemimpinan zaman kini didominasi generasi muda membawa idea dan cara pemikiran baharu.
Kepandaian berfikir harus dilengkapi dengan kebijaksanaan bertindak. Einstein pernah berkata: 'Kita tidak boleh melakukan perkara sama berulang-ulang kali, tetapi mengharapkan hasil berbeza pada setiap kali'.
Perubahan sikap dan aspek pemahaman perlu diberi perhatian terutamanya penjawat awam muda. Seperti dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul baru-baru ini - 'jika kita mahu perkara berubah, kita perlu berubah sekarang'. Pembentukan generasi pemimpin akan datang berwibawa perlu bermula dari sekarang.
Mengambil kira konteks ini, menurut beliau, kerajaan bersetuju menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) mulai tahun 2025. PLKN 3.0 bertujuan melahirkan generasi masa hadapan negara menitik beratkan perpaduan, integriti dan penerapan jati diri. Hal ini dilihat tepat ketika mereka mulai terdedah dengan pengaruh negatif susulan kepesatan teknologi digital.
Selain itu, peranan Parlimen Belia Malaysia (PBM) turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti trend generasi muda untuk diasimilasikan dengan pembentukan dasar pentadbiran negara. Justeru, perancangan awal adalah satu keperluan dalam merencanakan masa depan terjamin.
Johari turut menyentuh cabaran hubungan antara badan legislatif dan eksekutif negara, yang mana Parlimen berperanan melakukan semak dan imbang terhadap keputusan badan eksekutif dan memastikan kebertanggungjawaban kerajaan menggubal serta melaksanakan dasar penting dalam membangunkan negara.
Salah satu daripadanya adalah penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat Parlimen ke-15. Pembentukan jawatankuasa ini meliputi fungsi JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan, Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian serta JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi
Ia termasuk JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, JKPK Keselamatan, JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Kesemua JKPK ini akan berperanan sebagai metod semak dan imbang serta pelengkap terhadap kementerian berkaitan. Lantas, usaha ini dilihat dapat lebih menonjolkan kewibawaan pimpinan pentadbiran negara mendukung kestabilan.
Pemimpin dalam perkhidmatan awam berada dalam kedudukan berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Aspek kepemimpinan dalam pentadbiran negara amat penting bagi menguruskan pembaharuan ingin dilaksanakan.
Kepimpinan berwibawa perkhidmatan awam menitipkan kestabilan amat penting dalam melihat penetapan dan pelaksanaan dasar akan mencorakkan masa hadapan negara.
Penulis ialah Perunding Latihan Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Ulasan
Catat Ulasan