Sukar pecat Israel sebagai anggota PBB


Sukar pecat Israel sebagai anggota PBB
PERHIMPUNAN Agung yang dianggotai semua anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mempunyai kuasa untuk memecat Israel daripada pertubuhan itu walaupun mendapat sokongan dua pertiga, hatta 100 peratus anggotanya. – AFP
Oleh Mohd. Noor Yazid
14 November 2024, 8:00 am


PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibentuk berasaskan matlamat utama dan prinsip asas yang digariskan dalam Artikel 1 dan Artikel 2 Piagam PBB. Matlamat utamanya bagi mencapai keselamatan dan keamanan antarabangsa sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam Artikel 1.

Matlamat dan prinsip asas PBB sangat murni. Ia mampu melindungi dan menjamin keamanan serta keselamatan sejagat semua negara anggota mahupun bukan negara anggotanya. Kesepaduan kuasa besar utama (iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia, Great Britain, Perancis, China) serta prinsip keselamatan kolektif adalah asas dan andaian utama yang dibayangkan semasa proses pembentukannya dalam tahun-tahun sebelum berakhirnya Perang Dunia Kedua berubah selepas akhir 1940-an dan awal 1950-an (setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua).

Perubahan ini banyak mempengaruhi perjalanan dan keberkesanan matlamat serta prinsip asas yang digariskan pada tahun-tahun awal penubuhan. Keberkesanan ‘organ’ utama iaitu Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung telah dipersoalkan dan menjadi tanda tanya kebanyakkan negara anggota, ke mana perginya matlamat utama penubuhan dan prinsip-prinsip asas PBB? Ia telah lari jauh, menyimpang dan tersasar jauh daripada matlamat asal penubuhan.

Perjalanannya tidak lagi berasaskan prinsip asas yang digariskan dalam Artikel 2 Perlembagaan. Apa yang dinyatakan dalam Artikel 2(4) Piagam PBB dilanggar secara nyata dan terbuka. Proses penyelesaian secara aman yang digalurkan dalam Artikel 6 dan penyelesaian penggunaan tentera yang digambarkan dalam Artikel 7 Piagam PBB jauh terpesong. Siapa yang patut dipersalahkan?

Adakah organisasi antarabangsa terbesar ini benar-benar wujud bagi menjamin keselamatan sejagat antarabangsa atau sekadar alat menjaga kepentingan kuasa besar utama semata-mata?

Ia akan terjawab apabila kita benar-benar memahami ‘organ-organ’ utama PBB, khususnya Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung serta artikel-artikel utama piagamnya.


Pemikiran logik biasa atau rasional manusia bermoral tidak mampu menjawab persoalan ini sebaliknya perlu dikaitkan dengan ilmu serta struktur kuasa politik antarabangsa yang terbentuk kini selain evolusi dan proses perubahan yang berlaku sebelum ini.

Struktur kuasa (iaitu bilangan kuasa besar utama sistem politik antarabangsa dalam sesuatu tempoh masa) mempunyai hubungan rapat dengan keputusan dan apa yang berlaku. Logik manusia normal dan kepentingan kuasa besar utama tidak selalu selari atau sering berlaku percanggahan besar.

Berbalik kepada persoalan utama perbincangan rencana ini, wajarkah Israel dipecat daripada menjadi anggota PBB? Persoalan ini tidak akan terjawab dengan mudah tanpa melihat di mana kedudukan Israel dalam struktur kuasa antarabangsa semasa kini. Apa hubungan Israel dengan kuasa besar utama, khususnya dengan negara yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan? Ini penting untuk difahami kerana kebanyakan keputusan utama ditentukan kuasa utama yang menjadi anggota tetap majlis keselamatan.

Harus disedari hanya keputusan majlis keselamatan yang bersifat ‘terikat’ dan tiada apa yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung. Perhimpunan Agung yang dianggotai semua anggota PBB tidak mempunyai kuasa, (tidak terikat) walaupun mendapat sokongan dua pertiga, hatta sokongan 100 peratus anggota PBB.

Majlis keselamatan yang hanya dianggotai 15 buah negara (lima anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap) menentukan kebanyakan keputusan berkaitan keselamatan dan keamanan dunia sejagat. Pastinya ini bukan keadilan sebenar dan tidak dapat diterima kebanyakan negara.

KEBAL TINDAKAN
Apa yang dilakukan Israel jelas bercanggah dengan matlamat penubuhan dan prinsip asas PBB, tetapi tiada tindakan tegas diambil terhadap negara itu. Proses bagaimana Israel menjadi negara anggota PBB pada 1948 sebenarnya sudah menjadi tanda tanya.

Kenapa dan bagaimana sebuah negara yang begitu asas pembentukannya dengan begitu mudah boleh diterima sebagai sebuah negara anggota PBB, sedangkan dalam masa sama keanggotaan Palestin mengalami jalan sukar dan tidak diterima (sehingga kini).

Perkara 4 Piagam PBB dapat menjelaskan hal ini, khususnya Perkara 4(2). Ayat terakhir dalam Perkara 4(2) itu sangat besar maknanya “…atas syor majlis keselamatan.”

Israel berjaya menjadi negara anggota PBB kerana disokong negara kuasa besar anggota tetap tetapi Palestin ditolak dan ditentang khususnya AS. Sehingga kini Palestin tidak diterima sebagai anggota PBB (hanya sebagai negara pemerhati). Dalam banyak resolusi AS sentiasa menentang kemasukan Palestin sebagai sebuah negara anggota. Jadi berjaya atau tidak keanggotaan sesebuah negara menjadi negara anggota bukan atas logik biasa yang berasaskan matlamat murni dan prinsip keadilan PBB, tetapi isu politik antarabangsa dan selaras dengan kehendak kuasa besar utama.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel melakukan bermacam-macam tindakan terhadap penduduk awam Gaza. Sejak akhir September lalu, tindakan ganas itu berkembang meluas ke Lubnan dan Syria. Semuanya bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Kematian di Gaza melebihi 43,000 orang. Angka yang sama meningkat di Lubnan dan juga Syria. Tindakan dan keputusan Parlimen Israel pada 28 Oktober lalu yang menamatkan badan antarabangsa Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada meneruskan khidmat adalah tindakan yang sangat bertentangan dengan prinsip asas PBB.

UNRWA adalah badan yang diiktiraf PBB dan mula beroperasi sejak 1950. Badan ini memberi sumbangan besar dalam aspek pendidikan, perawatan kesihatan serta bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria. Tindakan ini jelas bertentangan dan mendapat bantahan daripada sebahagian besar negara serta masyarakat antarabangsa.

Adakah wajar Israel dipecat sebagai anggota PBB? Dalam menjawab persoalan ini Artikel 6 Piagam PBB perlu dirujuk. Artikel itu menyatakan, “Ahli PBB yang secara berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dipecat daripada pertubuhan oleh perhimpunan agung atas cadangan majlis keselamatan.”

Berdasarkan artikel itu jelas Israel wajar dipecat daripada menjadi anggota PBB, tetapi prosesnya adalah sukar kerana mesti mendapat persetujuan majlis keselamatan. Mungkinkah negara anggota majlis keselamatan akan bersetuju memecat Israel? Jawapan mudahnya, tidak mungkin, khususnya AS.

Jadi dengan struktur yang ada sekarang, kedudukan Israel dalam PBB akan kekal. Apa pun resolusi yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB tidak membawa apa-apa makna, apatah lagi untuk memecat Isreal daripada anggota PBB. Perhimpunan agung adalah proses awal (bukan keputusan ‘terikat’) dan keputusan akhir adalah keputusan majlis keselamatan.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ulasan