Syor guna aset dron berteknologi AI tangani penyeludupan sempadan



Syor guna aset dron berteknologi AI tangani penyeludupan sempadan
Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
13 November 2024, 7:11 am


PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penggunaan dron de­ngan berteknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memantau kawasan sempadan daripada sebarang aktiviti jenayah dan pencerobohan.

Keperluan itu selaras dengan trend jenayah penyeludupan yang semakin meningkat selain dilihat dapat membantu pihak berkuasa memantau keselamatan sempadan secara berterusan.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, bentuk muka bumi Malaysia berbukit menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa bagi pemantauan sempadan negara terutama dengan kekuatan sumber manusia yang terhad.

Selain itu, katanya, jumlah aset-aset yang dibekalkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah terhad dan tidak dapat menampung pemantauan serta pengawasan secara menyeluruh dan berterusan di kawasan sempadan.

Justeru, katanya, pelaksa­naan sistem atau aset berteknologi AI bagi kawalan sempadan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi.

“PGA mencadangkan supaya penggunaan teknologi AI dan dron dalam sistem kawalan sempadan hendaklah dibuat secara menyeluruh dan komprehensif yang mana ia boleh diguna pakai oleh semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan seterusnya dapat menjimatkan kos bagi memba­ngunkan sistem ini secara guna sama antara agensi.


“AI dilihat dapat mengintegrasikan pelbagai sistem pemantauan dan kawalan, selain dapat menjadikan operasi lebih efisien. Ketika ini, penggunaan dron dan aset berteknologi AI masih berada di tahap yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Suzrin berkata, bagi memperkukuh keselamatan di kawasan sempadan, PDRM menerusi Pasukan Gerakan Udara (PGU) KDNKA telah melaksanakan beberapa pendekatan melibatkan penggunaan teknologi dron masa kini termasuk AI dalam memantau secara berterusan keselamatan di sempadan.

Katanya, buat masa ini, PDRM mengoperasikan pemantauan udara menggunakan dron secara manual di kawasan sempadan negara dan sebagai langkah proaktif dalam pengukuhan keselamatan sempadan melalui pembangunan teknologi secara holistik.

Jelas beliau, pelaksanaan teknologi AI dan dron yang digabungkan dalam sistem kawalan sempadan telah membuka pelbagai peluang dan memberikan kelebihan yang signifikan dalam menjaga keselamatan sempadan.

Melalui penggunaan dron yang dilengkapi teknologi AI, kata beliau, ia mampu mengesan dan mengenal pasti ancaman atau individu yang mencurigakan daripada data sensor yang diterima.

“Penggunaan AI dapat membantu menganalisis data yang diterima oleh dron dengan lebih cepat dan tepat, mengesan aktiviti mencurigakan dan memberikan maklumat secara real-time kepada pihak berwajib.

“Dron dilengkapi dengan kemampuan untuk mencapai kawasan yang sukar dijangkau oleh manusia tanpa keperluan berehat sehingga mampu me­ningkatkan keberkesanan dalam pengawasan bagi mengesan dan mencegah aktiviti yang tidak sah di sempadan.

“Dron dan teknologi AI boleh mengurangkan risiko ancaman kepada petugas kawalan sempadan dengan mengurangkan keperluan untuk operasi fizikal di kawasan yang berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, walaupun penggunaan teknologi AI dan dron berpotensi positif, namun ia mempunyai cabaran seperti privasi individu, keputusan etika dan isu keselamatan siber yang perlu diselesaikan.

“Oleh itu, perlu membawa ke dalam pertimbangan segala aspek ini dalam mengekalkan keseimbangan antara kelebihan teknologi dan penerimaan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Suzrin berkata, ketika ini, PGA menggunakan aset sedia ada antaranya kamera litar tertutup (CCTV) dan dron bagi pemantauan di sempadan serta Sistem Pengawasan Sempadan (BSS) di Padang Besar, Perlis yang merupakan sistem pengawasan sempadan di sebahagian kawasan pagar dan tembok sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, sistem BSS ini merangkumi komponen satu bilik kawalan, 40 kamera litar tertutup (closed-circuit television) dan lampu limpah (spot light) di sebahagian jajaran pagar dan tembok keselamatan sempadan sejauh 5.3 kilometer yang mana pengoperasian penugasan di bilik kawalan CCTV tersebut dikawal oleh pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Penugasan kawalan lapangan di kawasan pagar dan tembok sempadan pula dilaksanakan oleh anggota PGA dibantu elemen lain di dalam Jabatan KDNKA.

“Penugasan antara elemen KDNKA membolehkan kawalan keselamatan dijalankan dengan lebih efisien dan memberi pandangan yang positif kepada masyarakat tentang keselamatan sempadan selain telah dibuktikan dengan kejayaan tangkapan dan rampasan serta berjaya menggagalkan banyak jenayah penyeludupan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan