Tanah sawah 80 tahun tak pernah direhatkan – Shahidan
November 11, 2024
Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau), menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tanah sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang telah digunakan lebih daripada 70 tahun tanpa rehat.
Ketika membuat celahan dalam ucapan penggulungan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyatakan keperluan untuk tanah tersebut diberikan masa rehat.
“Apakah Yang Berhormat sedar bahawa tanah di MADA ni dia telah tua? Dan tua mungkin dah tujuh puluh tahun lebih. Mungkin lapan puluh tahun dia sebelum merdeka telah digunakan. Sampai sekarang tak pernah berehat,” katanya.
Shahidan menekankan pentingnya memberi kerehatan kepada tanah untuk memulihkan kesuburannya.
“Kalau tanah tebu selepas sepuluh tahun dia tukar. Tapi kita ada lapan puluh tahun tidak pernah direhatkan dan tanah ni makin teruk makin teruk kerana digunakan racun digunakan sebagainya,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, ujarnya lagi, keadaan tanah sawah yang berlarutan ini menyumbang kepada hasil padi yang rendah.
“Kalau kita masuk kawasan MADA, kaki akan masuk atas lutut. Tengah kaki tenggelam.
“Jadi kita hanya bertahan, sekarang ni cuma semua peringkat hanya mampu untuk dapat 1.5 tan serelung,” ujarnya.
Shahidan turut mengusulkan agar tanah MADA direhatkan selama dua tahun dan subsidi sedia ada digunakan bagi membantu petani menanam tanaman selain daripada padi sebagai satu langkah pemulihan tanah.
“Ya, orang pun kalau dah umur tujuh puluh tahun dia tak boleh melahirkan anak lagi dah. Lebih kurang macam itu,” katanya.
Beliau mengingatkan, walaupun baja dan racun digunakan, keadaan tanah yang terlalu lama tanpa rehat menjadikannya sukar untuk kekal produktif. – HARAKAHDAILY 11/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan