Tiada perjuangan tanpa pengorbanan



Tiada perjuangan tanpa pengorbanan
AHMAD Faizal Azumu ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid dan Aslinda Nasir di pejabatnya, baru-baru ini.
Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR
2 November 2024, 6:30 am

HANYA kerana berperwatakan ceria, beliau tidak dipandang serius, namun itu tidak mencerminkan kredibiliti sebenar calon Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU untuk melepaskan jawatan nombor dua dalam parti.

Atas semangat perjuangan, beliau pernah menjadi aktivis kemanusiaan dan pejuang kebangkitan rakyat Palestin sehingga ditahan Israel pada 2010. Beliau juga merupakan bekas Menteri Besar Perak serta Menteri Belia dan Sukan. Berjiwa besar, sanggup mengorbankan kedudukannya sebagai timbalan presiden, demi kelangsungan parti.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, serta dibantu jurufoto FARIZ RUSADIO, Ahmad Faizal atau lebih mesra disapa Peja tidak meluahkan sedikit pun rasa kecewa atau mengiyakan wujud propaganda untuk menjatuhkannya sebaliknya mengakui terlibat dalam perbincangan bagi menyerahkan jawatan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

BERADA DI KEDUDUKAN LAIN

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang pemimpin berjiwa besar yang meletakkan kepentingan parti jauh melebihi daripada keinginan beliau sendiri. Perjuangan parti lebih penting dan beliau sentiasa memastikan agar setiap langkah diatur rapi, demi mencapai matlamat perjuangan. Kami sentiasa berbincang dengan hati terbuka. Beliau juga seorang yang amat teliti sebelum membuat sesuatu keputusan atau dalam mengambil apa-apa tindakan. Muhyiddin juga sentiasa menitikberatkan semangat musyawarah. Dan alhamdulillah bila diumumkan, saya rela melepaskan jawatan timbalan presiden itu, sebenarnya bukan buat berseorangan tetapi setelah perbincangan yang berkali-kali dan sekian lama, selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15). Kita sudah tahu keputusan ini lebih lama cuma tidak umumkan lebih awal.

Saya sebenarnya merasa lebih kecewa apabila Muhyiddin mengumumkan untuk tidak menawarkan diri sebagai presiden bagi penggal akan datang. Ini dibuat sewaktu ucapan dasar beliau ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang lalu. Saya masih ingat, saya tidak boleh pandang wajah beliau. Saya berasa amat marah kerana merasakan tidak adil bagi kami ditinggalkan sebegitu rupa. Nasib baik beliau menerima desakan kami. Atas sebab itu, kami sentiasa menghargai pengorbanan beliau dan seluruh keluarganya dalam membuat keputusan untuk terus memimpin.


Sebaliknya, saya sendiri langsung tidak merasa kecewa, malah terus bersetuju dengan cadangan meletakkan Hamzah sebagai orang nombor dua dalam parti bagi membantu Muhyiddin. Beliau lebih berpengalaman dan akan mampu memberi kelebihan kepada kami. Tambahan lagi, beliau telah kami angkat sebagai ketua pembangkang di Parlimen dan sesuailah jawatan timbalan presiden dipegang oleh tokoh ini.

MASIH BERPERANAN DALAM PARTI

Sebagai sebuah parti baharu, kami adalah antara parti paling berjaya. Walaupun usia kami baru menjangkau lapan tahun, kami pernah dipimpin oleh tokoh yang berpengalaman terlibat dalam menentang penjajah. Kami mempunyai tokoh yang besar seperti Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik. Begitu juga Tan Sri Noh Omar yang mempunyai kekuatan tersendiri dan memberi nilai tambah kepada Bersatu. Pengalaman-pengalaman mereka sahaja mampu mendewasakan Bersatu dalam jangka masa yang amat pendek. Mereka setakat ini adalah ahli biasa tetapi tetap mempunyai peranan besar dalam parti.

Jadi, dalam Bersatu tidak semestinya jadi pemimpin tertinggi, baru boleh main peranan besar untuk kekuatan parti. Setiap ahli boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera parti. Setiap dari kami mempunyai kekuatan tersendiri yang apabila didedahkan akan mampu memastikan matlamat perjuangan parti tercapai.

Tiada bezanya dengan saya. Kedudukan tidak penting jika parti melukut di tepi gantang. Biarlah saya menjadi sekadar ahli biasa kepada parti yang mampu menubuhkan kerajaan dan mampu memberi khidmat kepada rakyat sejajar dengan perjuangannya, nikmat itu lebih bermakna.

Kedudukan itu lebih bermanfaat. Maka, kami berjuang ke arah itu. Kami berusaha meletakkan kepentingan Bersatu lebih utama daripada kepentingan diri atau kumpulan. Kami yakin, hanya itulah cara untuk Bersatu berjaya.

Apa yang saya lakukan adalah untuk memperkemaskan jentera. Saya tawarkan diri sebagai naib presiden, wallahualam berjaya atau tidak. Namun apa juga peranan atau atas apa pun kapasiti, kita mesti berperanan dengan sebaiknya untuk menguntungkan parti.

Jadi, apa yang kita belajar di sini, seseorang pemimpin itu tidak memerlukan jawatan bagi memastikan perjuangan mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan bersama.

SUARA MASIH DIDENGAR

Saya percaya pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan tadi mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam parti dan apabila mereka bersuara, mengeluarkan pandangan ia akan diambil perhatian oleh ahli-ahli.

Saya akan terus bawa imej Bersatu, begitu juga dengan pemimpin-pemimpin lain. Tiada masalah, saya boleh main peranan sebagai naib presiden pula, jika terpilih. Saya tidak fikir ia satu peranan yang kecil sebaliknya cukup besar, tanggungjawabnya cukup berat tetapi saya yakin apa juga pasukan yang kita boleh tubuhkan nanti dapat bekerjasama dengan baik untuk memastikan segala agenda yang mahu dilaksanakan dapat dibuat dengan baik. Saya juga percaya, untuk menjadi pemimpin yang baik, kita juga harus menjadi penyokong yang baik.

SAINGAN KUAT NAIB PRESIDEN

Saya fikir semua pemimpin yang menawarkan diri adalah mereka yang layak dari perlembagaan parti dan mempunyai ketokohan, kebolehan untuk duduk berperanan sebagai naib presiden. Saya amat menghormati setiap seorang dari mereka dan kesemua mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Malah, saya berasa kerdil apabila berada dalam kalangan mereka.

Saya juga melihat, sebenarnya masih ramai dari kalangan pemimpin kami yang mempunyai ketokohan, kebolehan dan kekuatan politik untuk menawarkan diri di kedudukan naib presiden ini. Bersatu tidak kurang bakat-bakat yang boleh kami tonjolkan sebagai pemimpin negara. Alhamdulillah, ramai juga yang berminat untuk menawarkan diri, membuktikan Bersatu adalah merupakan suatu wadah perjuangan yang diterima ramai.



Namun kita serahkan perkara pemilihan ini kepada ahli di peringkat perwakilan bahagian. Apa juga keputusannya, kita harus terima dengan semangat demokrasi tinggi seperti yang diamalkan dalam Bersatu. Apa juga keputusannya, setiap kami harus terima dengan perasaan syukur dan juga harus berjanji untuk terus berperanan dalam membantu parti.

HUBUNGAN DENGAN PRESIDEN

Kepincangan pentadbiran 1MDB (1Malaysia Development Berhad) serta pemecatan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah pencetus kebangkitan kuasa baharu dari kalangan orang Melayu. Tun Dr. Mahathir Mohamad, bersama banyak lagi pemimpin lain termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Muhyiddin memulakan satu gerakan kebangkitan melalui deklarasi rakyat. Kemudian timbul idea mewujudkan kuasa ketiga yang mampu memberi alternatif kepada rakyat bagi menggantikan kerajaan kleptokrat ketika itu.

Sejak dari itu, Muhyiddin memainkan peranan cukup penting bagi memastikan negara ataupun kerajaan kembali pada landasan pentadbiran yang betul. Beliau mengilhamkan penubuhan Bersatu dan parti itu lahir di kediaman beliau sendiri. Di situlah segalanya bermula sehingga berjaya menyatukan parti-parti lain seperti PKR dan DAP melalui Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya.

Semangat abah kekal sehingga hari ini. Beliau menunjukkan prestasi yang amat baik semasa menjadi perdana menteri. Semasa menangani krisis Covid-19, kerajaan Muhyiddin sentiasa memikirkan kebajikan rakyat, makan, minum dan susah senang mereka. Dalam masa sama terpaksa mengharungi krisis politik yang berpanjangan, namun berjiwa besar dengan memberi peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang ketika itu. Sepanjang pentadbiran beliau, krisis ekonomi juga begitu membebankan rakyat. Banyak perniagaan hampir lumpuh, pekerjaan terjejas teruk. Maka, diperkenalkan pelbagai insentif bagi membolehkan perniagaan diteruskan, pekerjaan dapat dikekalkan. Malah, tindakan-tindakan pantas kerajaan ketika itu berjaya menyelamatkan nyawa manusia sehingga diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam menangani krisis Covid-19. Mahu atau tidak, kita mesti memberi kredit kepada beliau. Kita berjaya mengharungi tempoh itu kerana dasar-dasar yang dibuat Muhyiddin.

Saya melihat Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang merupakan kekuatan utama bagi Bersatu. Saya bayangkan tanpa beliau, adakah pemimpin-pemimpin lain seperti saya mahupun Hamzah, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan seluruh kepemimpinan boleh meletakkan Bersatu pada kedudukannya hari ini? Saya rasa mungkin jauh lebih sukar.

Jadi, kekuatan kami, tonggaknya adalah Muhyiddin, kerana itu saya sentiasa memberi sokongan penuh, tidak berbelah bahagi kepada beliau. Begitu juga saya bersyukur apabila melihat rakan-rakan kepimpinan di semua peringkat, malah dari kalangan kepimpinan parti-parti komponen benar-benar memberi sokongan yang cukup padu buat Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

BERKORBAN WALAUPUN SUSAH

Kalau mahu cakap mengenai kesusahan, saya fikir tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Lebih tinggi jawatan kita, pengorbanannya jauh lebih besar.

Kami melihat presiden parti antara yang menerima ujian yang amat berat. Kalau ikut bahasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesti disebut sebagai ‘maha berat’. Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri, Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN, beliau adalah, kalau tidak mahu sebut ancaman, kita katakan pesaing paling kuat kepada kerajaan yang ada hari ini. Maka, kita lihat corak yang begitu buruk diconteng bagi melemahkan sang pesaing. Menunjukkan tahap ‘maha lemah’ seorang pemimpin yang mengepalai kerajaan.



Begitulah ujian yang presiden kami lalui. Bukan sahaja beliau, seluruh keluarganya turut terpaksa berkorban. Dalam menghadapi ujian-ujian ‘maha berat’ itu, beliau juga terpaksa memikul beban untuk menjaga parti. Perkara ini harus terus digagahi.

Saya bersyukur kerana mempunyai saf Majlis Pimpinan Tertinggi yang baik. Ketua-ketua Badan Pimpinan Negeri yang begitu membantu, tambahan lagi mempunyai seorang presiden yang banyak memberi tunjuk ajar dan bijak dalam mengendalikan parti. Semangat gotong-royong hidup subur sebagai satu budaya dalam Bersatu. Perkara ini mesti dipertahankan dan diperkembangkan lagi.

Dikala ini, memang terlalu sukar bagi semua pemimpin Bersatu di semua peringkat. Usaha untuk menjaga parti ini memerlukan semangat yang paling kental. Kami terpaksa melalui cabaran yang menyakitkan. Sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri umpamanya, kami perlu mencari jalan bagaimana mahu mencari dana untuk urusan parti, mahu sewa pejabat, mahu bayar utiliti dan gaji pegawai.

Oleh kerana akaun parti disita, kami terpaksa mencari pendanaan sendiri. Alhamdulillah, orang ramai masih bersimpati dan banyak membantu. Mungkin para peniaga besar semakin jauh, takut dengan ‘sang berkuasa’, namun, rakyat terbanyak masih bersama.

Saya selalu nasihat kepada anak-anak buah kalau kita berjuang biarlah berjuang sepenuh hati, sanggup berkorban. Kita reda kerana apa yang kita buat ini adalah untuk memastikan ramai lagi rakyat Malaysia yang lebih susah kerana dasar polisi kerajaan yang tidak menitik berat kesejahteraan rakyat. Kami terpaksa berkorban untuk pastikan nasib anak bangsa akan lebih terbela dalam masa terdekat ini, kami akan usahakan.

KELUARGA JUGA TERKESAN

Sudah pasti. Saya bukan orang senang. Kesusahan ini sampai keluarga terheret sama. Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana keluarga banyak memberi sokongan. Mereka terpaksa berkorban sama. Saya yakin mereka tentunya faham apa yang saya lakukan ini bukan untuk karier tetapi penuh ikhlas demi rakyat, kerana Allah. Inilah cara saya latih diri untuk sentiasa ingatkan diri jangan kamu buat perkara ini untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain.

Saya amat berterima kasih kepada isteri, anak-anak, kedua ibu bapa mertua, adik beradik yang menjadi penyuluh semangat. Saya amat bersyukur kerana mereka sentiasa mendorong saya agar terus bangkit dari apa juga kesusahan dan terus berusaha untuk berbakti. Saya juga sentiasa bersyukur ke hadrat Illahi kerana walaupun kedua ibu bapa sudah tiada, namun setiap nasihat dan didikan mereka begitu berharga.

PERJUANGAN YANG JELAS

Walaupun ada orang pandang rendah kepada diri tetapi saya tetap perlu berusaha. Begitulah keadaannya apabila kita berada di bawah, tiada pangkat dan kuasa. Perkara seperti itu, saya biarkan berlalu. Yang penting, perjuangan saya mesti jelas. Setiap sesuatu yang kita dambakan, kehidupan yang lebih sejahtera, masa depan yang meyakinkan buat anak cucu kita, keadilan dalam setiap tindakan, keselamatan setiap warga dan semua perkara yang melibatkan kepercayaan agama yang mesti terus dipertahankan, semua ini mesti kita sama-sama lakukan dan akan terus saya usahakan.

Saya tidak perlu pengesahan daripada netizen atau pembenci. Yang saya perlu lakukan ialah untuk pegang teguh pada pendirian. Setiap perkara yang dilakukan untuk kekuatan parti selagi parti ini berpegang kuat kepada usaha untuk meningkatkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mengangkat kedaulatan negara.

UMNO perlukan kuasa untuk kekal relevan



TIADA SIGNAL RAKYAT TOLAK PN

Saya tidak lihat ada penolakan kerana kita berada di tahap yang sama tetapi BN berjaya di Mahkota kerana bergabung dengan PH. Buat pertama kalinya ahli-ahli atau menyokong tegar DAP sokong BN, sama seperti penyokong tradisi UMNO memberi sokongan kepada DAP di Kuala Kubu Baru.

Nampaknya usaha yang dibuat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Anwar selaku Ketua Umum PH setakat ini nampak berjaya.

Kalau inilah yang dimahukan orang Melayu UMNO, begitulah keputusan dalam PRU akan datang. Kita akan nampak kerusi di Tambun mendapat sokongan 20,000 undi daripada UMNO dan 40,000 undi PH menjadikannya 60,000 undi sementara saya kekal dengan 37,000 undi. Jumlah undi itu membolehkan mereka kekal menjadi perdana menteri dan UMNO akan terus menjadi penumpang kelas tiga dalam kapal itu. Kalau itu yang orang UMNO mahu, itulah akan berlaku.

Tetapi penolakan kepada PN tidak berlaku kerana kami kekal dengan sokongan yang ada pada hari ini dan saya fikir kalau BN dan PH mampu selesaikan masalah pembahagian kerusi dan setuju untuk kekal dengan jumlah kerusi yang ada sekarang, maknanya mereka memang mahu Anthony loke, Nga Kor Ming kekal jadi menteri. Mungkin itulah yang dimahukan oleh para pemimpin Melayu dalam UMNO.

GABUNGAN BN, PH AKAN KEKAL

Orang Melayu dalam UMNO bukan tidak bijak. Hari ini mereka perlukan kuasa politik itu. Contohnya, saya boleh tawarkan kepada Pengerusi Badan UMNO Negeri Perak untuk mereka kekal memimpin kerajaan negeri tetapi mereka memilih untuk bekerjasama dengan DAP atas arahan presiden. Mereka merasa selesa sedangkan pemimpin-pemimpi akar umbi di peringkat bahagian tidak lagi memegang jawatan seperti ahli majlis di Majlis Bandaraya Ipoh, di majlis-majlis perbandaran, ketua-ketua UMNO cawangan tidak lagi menjadi ketua kampung kerana perlu berkongsi dengan kawan-kawan dari PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Itulah yang sedang mereka hadapi tetapi mereka mahukan seorang menteri besar dari kalangan mereka, supaya kekal relevan. Saya percaya apabila tiba waktu pembahagian kerusi, memilih calon akan berlaku sesuatu yang besar.



Sebagai contoh, adakah Ahmad Zahid mahu kekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sembrong? Saya percaya kalau pemimpin-pemimpin ini dikekalkan, bermasalah bagi presiden UMNO tetapi kalau dibuang, pastinya mereka juga mempunyai penyokong-penyokong di peringkat bahagian yang akan bertindak balas.

UMNO JERUT LEHER KERJASAMA DENGAN PH

Buat masa ini, UMNO berpandangan mereka sedang menjerut leher DAP dan PH. Kalangan pemimpin mereka berbisik kepada akar umbi UMNO, kerjasama dengan DAP dan PH ini menguntungkan orang Melayu. Sedangkan mereka sebenarnya telah diperalatkan untuk menyelamatkan Presiden UMNO. Malangnya, ini dilakukan dalam sedar, bukan dijampi.

Dalam masa sama, presiden mereka juga faham bahawa pimpinan UMNO akar umbi di peringkat bahagian memerlukan sedikit nyawa dengan menguasai negeri-negeri seperti Perak, Pahang atau memegang beberapa kementerian. Bolehlah dapat sedikit habuan buat pimpinan peringkat akar umbi atau sekurang-kurangnya harapan buat mereka, tetapi apabila tiba masanya, mereka akan sedar. Pada ketika itu mereka akan bertindak balas.-UTUSAN

Ulasan