Tuntutan 'gopoh' kerajaan negeri lemahkan sistem federalisme
Oleh Ismail Hashim Yahaya - November 13, 2024 @ 4:12pm
Ingatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat meletakkan keyakinan kepada sistem kerajaan Persekutuan yang menurutnya terbukti sebagai alat berkesan menguruskan hubungan antara Pusat dengan negeri sejak enam dekad lalu perlu diambil serius dan yakin.
"(Sistem ini) akan terus diamalkan hingga beberapa dekad akan datang. Ini sistem kita warisi dan saya rasa dalam proses ini, kita perlu pastikan kita matang," katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT seperti dilaporkan BH, baru-baru ini.
Beliau berkata, Putrajaya sentiasa berdepan tuntutan daripada pelbagai kumpulan. Inilah cabaran konteks semasa dihadapi sistem kerajaan Persekutuan atau federalisme.
Sehubungan itu, Perdana Menteri turut menyenaraikan kumpulan mengemukakan tuntutan itu. Menurut beliau, antaranya (golongan) profesional Islam, kumpulan gereja, golongan Tamil dan Hindu. Itulah realitinya. Kemudian di Sabah dan Sarawak pula, ada tuntutan baharu.
Apa yang penting bagi Anwar ialah: "Kita perlu pastikan proses rundingan (berasaskan) kepercayaan, persefahaman dan rasa hormat ini berterusan".
Dalam temu bual ini, beliau turut ditanya bagaimana perpaduan negara boleh diperkukuh dalam menghadapi desakan semakin lantang daripada beberapa negeri agar autonomi lebih besar diberikan.
"(Malaysia ialah) sistem berpersekutuan. Kita kemudi, kita runding, tetapi kita juga tetapkan batasnya," katanya.
Apa menjadi isu sekarang batas hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri. Janganlah tuntutan daripada kerajaan negeri sampai ke tahap kacang lupakan kulit.
Kacang sedap dinikmati isinya dan boleh berubah menjadi pelbagai produk haruslah ingat akan asal usulnya. Tanpa kulit bagaimana nak dapatkan kacang sedap dan rangup.
Dalam tuntutan kerajaan negeri menonjol seperti Sarawak umpamanya, ia tidak harus dibuat terburu-buru dengan pelbagai tuntutan diminta dalam masa singkat.
Mungkin perkembangan politik seperti pilihan raya umum (PRU), kerusi di Sabah dan Sarawak sangat diperlukan bagi pembentukan kerajaan gabungan parti di Semenanjung membawa cabaran kepada sistem federalisme.
Tidak salah jika kerajaan Sarawak membuat tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak seharus mencapai tahap desakan sehingga hubungan Putrajaya dengan Kuching regang dan tegang.
Dalam isu minyak dan gas asli misalnya, Sarawak sebelum ini memutuskan bahawa Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu.
Namun, PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji gas asli cecair (LNG) di Bintulu akan terjejas.
PETRONAS menegaskan komitmen terhadap pembangunan ekonomi negara dengan kekal menjadi rakan strategik PETROS.
Sebelum ini pun keuntungan diperoleh PETRONAS dilaburkan semula ke dalam pembangunan sektor minyak dan gas. PETRONAS menyumbang RM1.4 trilion sejak penubuhan dalam bentuk dividen, pelaburan, royalti dan sumbangan ekonomi.
PETRONAS melabur secara signifikan di Sarawak, terutama pembangunan hab LNG di Bintulu dan aspirasi Sarawak menjadi hab utama hidrogen hijau.
Peranan PETRONAS memajukan Sarawak tidak harus dijadikan habis madu sepah dibuang.
Namun Persatuan Undang-Undang Sabah mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan hak negeri atas 40 peratus bahagian hasil Persekutuan dikutip daripada negeri itu seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai respons, Kerajaan Persekutuan mengumumkan penggandaan geran khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025.
Desakan cetus persoalan
Kadang-kadang seperti dinyatakan tuntutan semacam desakan itu mencetuskan persoalan bagi rakyat di Semenanjung mengapa terburu-buru?
Persoalan ini akan membawa kesimpulan menyeleweng dengan ditabur fitnah, manipulasi dan provokasi. Dalam situasi ini, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan media sosial dalam menyalurkan semua perkara ini.
Satu videlo tular di media sosial berhubung sekumpulan individu bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera negeri Sabah serta Sarawak pada paras separuh tiang.
Video berdurasi 13 saat itu dimuat naik di laman Facebook mendapat pelbagai reaksi warga maya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, 16 September lalu, kononnya sebagai simbolik penamatan 'penjajahan' Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) pula gerakan cuba mempengaruhi pemikiran ramai untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
Hakikatnya, mereka tidak berfikiran jauh kerana federalisme menjadi perisai terbaik Malaysia menghadapi sebarang ancaman ketenteraan dan politik luar, di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta tuntutan semakin meluas ke atas Laut China Selatan.
Bagi memperkukuh keselamatan di sempadan Malaysia Timur, kerajaan menambah baik barisan pertahanan maritim termasuk mengendalikan pangkalan kapal selam tentera laut di Kota Kinabalu dan pemasangan sistem radar di Pantai Timur Sabah.
Lebih jauh lagi Sabah dan Sarawak masih memerlukan sokongan dan bantuan Persekutuan dalam sektor kesihatan dan pendidikan misalnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) komited menangani masalah kekurangan pegawai perubatan di Sabah menerusi program Reformasi Sumber Manusia di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya melihat perkara itu secara realiti dan akan menangani kesemuanya di fasiliti kesihatan KKM di Sabah.
Katanya, KKM akan cuba menumpukan usaha merapatkan jurang sumber manusia di fasiliti kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak.
"Saya sedar di Sabah ketika ini nisbah doktor adalah satu doktor kepada 900 penduduk berbanding kebangsaan (1:412)," katanya.
Dalam hubungan ini, Sarawak masih kekurangan doktor bagi membantu memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat kian menua.
Menurut Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Sarawak masih ketinggalan dengan cuma 4,612 doktor sahaja berkhidmat, iaitu 3,703 orang dalam sektor perubatan kerajaan dan bekerja sendiri (659).
"Saya rasa nisbah kita seorang doktor kepada 536 rakyat. Sebanyak 50 peratus pula berasal dari Semenanjung dan berkhidmat di sini," jelasnya.
Oleh itu, usaha membangkitkan sentimen penduduk Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Tindakan ini bertentangan Perjanjian 20 Perkara dipersetujui rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia pada 1963.
Berdasarkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak sebahagian yang sah dan tidak boleh keluar dari Persekutuan.
Maka, langkah memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia bertentangan Perkara 7 Dalam Perjanjian 20 yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
Kumpulan mendakwa Semenanjung sebagai penjajah perlu mengimbas kembali senario geopolitik pasca Perang Dunia Kedua.
Mereka perlu mengimbas perkembangan politik seterusnya yang mendorong rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersetuju bersama membentuk Malaysia berteraskan konsep federalisme.
Penulis adalah Penganalisis Geopolitik dan Perhubungan Antarabangsa
Ulasan
Catat Ulasan