Berita
ULASAN | Anwar hadapi cabaran lebih rumit untuk laksana reformasi
Diterbitkan: Nov 23, 2024 10:53 AMULASAN | Bekas Ahli Parlimen Sepang merangkap bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin dalam satu komentarnya mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai masa yang panjang, iaitu selama 24 tahun sejak 1998, untuk membuat persediaan dalam melaksanakan reformasi.
Malangnya, Hanipa mengabaikan fakta bahawa kerajaan pimpinan Anwar adalah kerajaan gabungan yang terdiri daripada gabungan politik dengan ideologi yang berbeza, seperti PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pelantikan Anwar sebagai perdana menteri berlaku dalam konteks yang jauh lebih kompleks berbanding situasi “persediaan peperiksaan.” Dalam sebuah kerajaan perpaduan yang melibatkan gabungan pelbagai parti dengan ideologi berbeza, Anwar bukan sahaja perlu memastikan keberkesanan dasar tetapi juga perlu mengekalkan kestabilan politik.
Tidak seperti kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang dianggotai parti-parti komponen PH dengan agenda reformasi yang lebih selari, Anwar memimpin gabungan politik yang memerlukan kompromi dibuat.
Komposisi ini memerlukannya untuk mengimbangi kepentingan pelbagai pihak. Keperluan ini menjadikan pendekatan reformasi dibuat lebih beransur-ansur tetapi inklusif, berbanding langkah drastik yang berisiko memecah-belahkan kerajaan.
Keperluan untuk menguruskan kepelbagaian ideologi, mengekalkan kestabilan dan pada masa sama memenuhi keperluan reformasi memerlukan pendekatan yang lebih dinamik dan fleksibel daripada sekadar “persediaan selama 24 tahun”.
Fokus keutamaan kedua-dua kerajaan juga berbeza. Kerajaan Anwar perlu memberi perhatian kepada isu kestabilan ekonomi, hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri, serta pengukuhan perpaduan nasional sebelum melaksanakan reformasi secara menyeluruh.
Hanipa menonjolkan kejayaan Mahathir membawa bekas perdana menteri Najib Razak ke mahkamah sebagai pencapaian reformasi, tetapi hujah ini terlalu sempit. Reformasi bukan sekadar mendakwa pemimpin terlibat rasuah di mahkamah tetapi perlu melibatkan pembaharuan struktur dalam institusi negara untuk mengelakkan salah guna kuasa.
Sebagai contoh, di bawah pentadbiran Mahathir, walaupun Najib dibawa ke mahkamah, tidak banyak langkah sistematik yang diambil untuk memperkukuh institusi seperti SPRM dan Jabatan Audit Negara (JAN).
Jika mengheret pemimpin terlibat rasuah ke mahkamah dijadikan ukuran, Anwar lebih berjaya kerana di bawahnya lebih ramai pemimpin telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Malah, Anwar berusaha memulihkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman selain memperkasakan SPRM dan JAN.
Hanipa tidak habis-habis mengkritik pelantikan Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan tuduhan mahkamah sebagai timbalan perdana menteri.
Dia seolah-olah lupa yang pelantikan tersebut hasil daripada realiti politik semasa, di mana kerjasama dengan BN diperlukan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Tanpa sokongan Zahid, kerajaan perpaduan tidak akan wujud.
Anwar telah berkali-kali menegaskan dia menghormati proses perundangan dan sebarang kes mahkamah akan diteruskan berdasarkan prinsip keadilan. Malah, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar tidak mengganggu atau menghentikan prosiding mahkamah terhadap sesiapa sahaja, melainkan jika ada asas yang kuat ke atasnya, sekali gus menunjukkan komitmennya kepada kedaulatan undang-undang.
Apa reformasi besar Mahathir?
Hanipa memuji kerajaan Mahathir atas sebab reformasi tetapi tidak menjelaskan reformasi besar yang dilaksanakan olehnya.
Kepada Hanipa, kita ingin bertanya: Apakah reformasi pilihan raya, institusi dan hak kebebasan sivil yang telah dilaksanakan oleh Mahathir?
Tiada reformasi pilihan raya dilaksanakan oleh Mahathir selain daripada penurunan umur pengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun (Undi18). Isu seperti manipulas sempadan pilihan raya (gerrymandering), pembahagian undi tidak sekata (malapportionment) kawasan pilihan raya dan pembiayaan politik tidak ditangani secara tuntas pun.
Dari sudut reformasi institusi, walaupun Mahathir menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), tetapi cadangannya termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya tidak dilaksanakan. Malah dapatannya juga tidak didedahkan kepada umum.
Dalam aspek hak kebebasan sivil pula, tiada langkah signifikan dibuat untuk memansuhkan undang-undang represif seperti Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia. Malah, kebebasan bersuara dan hak berhimpun tetap dikawal ketat semasa pentadbiran Mahathir.
Sebaliknya, Anwar telah memulakan langkah-langkah reformasi yang lebih konkrit walaupun berhadapan dengan cabaran politik dalam kerajaan perpaduan.
Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa reformasi sedang dilaksanakan, tetapi memerlukan masa kerana reformasi berskala besar memerlukan kajian, perundingan dan pelaksanaan berfasa untuk memastikan keberkesanan jangka panjang.
Konteks waktu dan cabaran semasa
Kritikan Hanipa terhadap Anwar tidak berasas kerana gagal mengambil kira cabaran unik yang dihadapi oleh kerajaan perpaduan. Reformasi bukanlah proses segera tetapi memerlukan pendekatan berstruktur, kesabaran dan kestabilan politik.
Hanipa Maidin
Semasa pentadbiran Mahathir, PH mempunyai majoriti yang stabil dan tidak perlu bergelut dengan cabaran besar untuk menguruskan gabungan pelbagai parti yang memiliki agenda berbeza. Sebaliknya, Anwar memimpin kerajaan campuran yang perlu memastikan tiada pihak menarik sokongan yang boleh menyebabkan kejatuhan kerajaan.
Anwar juga mewarisi masalah ekonomi seperti hutang negara yang tinggi dan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah. Dia telah memberi penekanan kepada langkah pemulihan ekonomi yang menjadi prasyarat kepada reformasi lebih besar.
Hanipa turut mempersoalkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan Anwar untuk melaksanakan reformasi. Namun, kepercayaan tidak boleh diukur hanya dalam tempoh dua tahun.
Reformasi adalah satu perjalanan panjang, bukan destinasi segera. Anwar dan kerajaan Madani sedang membina asas yang kukuh untuk memastikan reformasi yang berkesan dan lestari.
Pencapaian Anwar dalam dua tahun pertama, walaupun tidak sempurna, mencerminkan usaha konsisten ke arah reformasi yang lebih inklusif dan lestari. Langkah-langkah reformasi yang telah dimulakan adalah bukti komitmen Anwar untuk membawa perubahan, walaupun ia memerlukan masa.
PROF MADYA DR MASHITAH MOHD UDIN ialah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ulasan
Catat Ulasan