UMNO macam ‘isteri nombor tiga’ – Zaid





UMNO macam ‘isteri nombor tiga’ – Zaid

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
17 November 2024, 6:51 am

MUKADIMAH

BAGAIMANA mungkin seorang lagi peguam berpandangan sama dengan Latheefa Koya, Kerajaan Perpaduan tidak membawa reformasi institusi dan perundangan yang diratib selama ini? Sebab itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri hal-ehwal perundangan, DATUK MOHD. ZAID IBRAHIM sering mengkritik kerajaan kerana banyak perkara ‘tidak kena’ di matanya.

Bukan kerajaan sahaja, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu tetap mengkritik UMNO yang disertainya semula kerana enggan berubah. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI dan jurugambar, SYAKIR RADIN baru-baru ini, peguam itu turut mengulas ‘si­stem’ dan politik dalam kerajaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk melihat prestasi Kerajaan Perpaduan?
MOHD. ZAID: Menteri-menteri Kabinet tidak banyak interaksi menerangkan perkara di bawah kementerian masing-masing. Selalunya, yang bercakap ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Rakyat mahu tahu juga perincian Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melaksana subsidi, cara potongannya bagaimana? Hutang kerajaan Persekutuan sekarang RM1.24 trilion tetapi, kita (kerajaan) ‘berjoli’ (berfoya-foya). Rakyat mahu tahu mengapa kerajaan berbelanja banyak sangat? Soal ketelusan, banyak hal berlaku tetapi rakyat tidak tahu sebabnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said saya lihat tiada reformasi pun dilakukan. Semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), ada juga reformasi walaupun tidak cakap banyak soal itu.

Sekarang tiada reformasilah? Perjuangan tuntut reformasi dahulu tidak selari?

Hasrat reformasi ini ada tetapi, pelaksanaannya tidak memuaskan. Kadang-kadang, kerajaan atau ahli politik bercakap tentang reformasi sebab mahu dapat undi rakyat, tetapi kita (ahli politik) pun tidak percaya. Hanya retorik. Mungkin juga apabila kerajaan buat reformasi, rasa ‘berbahaya’ bagi mereka.

Jika kerajaan telus sangat, banyak perkara terbongkar, jika laksana reformasi institusi ada semak imbang terlalu ketat, maka, kuasanya akan tergores dan tersekat. Jika kerajaan masih mengekalkan kuasa ‘budi bicara’ (kepada peguam negara dan pendakwa raya), maka, tiada reformasi.

Bukankah ketelusan dan semak imbang itu baik?

Baik untuk siapa? Tidak semua perkara pemimpin lakukan demi rakyat, sebaliknya, mereka lakukan untuk mereka sendiri (tertawa). Jika benar-benar mahu reformasi, laksana janji yang belum ditunaikan. Banyak janji di dalam manifesto bukan?

Apa Datuk mahu untuk Malaysia?

Mahu kerajaan bertanggungjawab, telus dan laksana janji. Ini juga hasrat rakyat, kerana pemimpin memegang amanah, bukan harta.

Takkanlah tiada perkara positif Kerajaan Perpaduan bawa?

Saya tidak cakap positif dan kerajaan tiada buat perubahan langsung. Itu persoalan anda sendiri, jika anda tanya apakah perkara baik kerajaan buat barulah ada, tetapi, ini bukan reformasi yang dijanjikan dan saya bercakap tentang reformasi. Kerajaan mahu beri bantuan tunai lebih atau subsidi dan sebagainya kepada rakyat tiada masalah. Tetapi, saya bercakap tentang apa yang kerajaan janji dahulu?

Sistem dalam kerajaan lebih telus, bertanggungjawab, ada semak dan imbang ini semua janji kerajaan, tetapi tiada reformasi institusi.

PERDANA MENTERI SELEPAS ANWAR
Siapa perdana menteri seterusnya?

Saya lihat Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mampu dan berkebolehan menjadi perdana menteri. Saya suka Johari kerana beliau baik, pandai dan ciri-ciri ini membolehkan beliau menjadi perdana menteri. Mohamed Khaled walaupun beliau banyak diam, tetapi teliti dan tiada kontroversi selain berpengalaman dalam politik.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun bagus tetapi, kontroversi. Beliau ada peranan, tetapi disebabkan kontroversi kes mahkamah walaupun sudah dilepas dan dibebaskan (DNAA), namun rakyat tidak lupa.

Jadi, jangan nafi. Walaupun kita hargai peranannya dalam UMNO dan punya kelebihan tertentu, tetapi, beliau sukar menjadi perdana menteri kerana kes terdahulu. Saya juga suka Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana baik dan pandai, tetapi, tiada dalam kepemimpinan sekarang.

Mengapa Datuk sebut Johari yang pertama?

Beliau ada pengalaman, faham selok-belok ekonomi, kewangan dan mempunyai latar belakang dalam bidang ini.

Jadi, beliau sesuai menjadi perdana menteri. Tetapi, terpulang kepada UMNO lah, jika mahu Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pun saya boleh terima sebab berpengalaman dan cantik.

Siapa menteri Kabinet Datuk fikir cemerlang?

Saya tidak tahulah, saya tidak dengar…yang saya dengar hanya Anwar, Fahmi, Azalina dan kadang-kadang Rafizi yang banyak bercakap. Banyak percakapan ini yang menangkis tohmahan pihak tertentu, macam propaganda. Mereka bukannya menerangkan hal rakyat mahu tahu.

Misalnya, dalam kes pemberi maklumat dan rasuah ketika rakyat sibuk bercakap isu ini sehingga perdana menteri dan Azalina ‘masuk campur’ seolah-olah mahu menyiasat siapa dahulu? Ini bukan kerja menteri, tetapi badan penyiasatan. Apabila menteri cuba mengatur semua, tidak kenalah (sesuai).

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Seberapa jauh Datuk melihat Malaysia daripada kedaulatan undang-undang (rule of law)?

Komponen paling penting dalam kedaulatan undang-undang adalah tiada kuasa budi bicara dalam konteks peguam negara dan pendakwa raya. Ini yang tidak dijelaskan, sebab kuasa budi bicara peguam negara dan pendakwa raya ini mutlak, mereka berkuasa menentukan siapa yang perlu dituduh dan tidak dituduh dan melepaskan seseorang. Ini bukan rule of law, ini rule of man.

Datuk rujuk kes apa?

Banyak. Hari-hari kita dengar ada kes tidak perlu disiasat kerana kuasa terletak kepada pendakwa raya yang juga peguam negara. Isunya adalah pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya yang Anwar sendiri minta kerana kedua-dua bidang kuasa ini terletak pada orang yang sama. Kuasa ini perlu dipisahkan dan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang perjuangkan selama bertahun-tahun.

Apa susah sangat mahu pisahkan? Susahnya sebab Azalina yang pergi melawat negara lain buat kajian dan boleh ‘cuti-cuti’. Tidak usah buat kajian pun kerana negara lain sudah lakukannya. Ini pun kalau kerajaan mahu buatlah, jika tidak mahu, maka susahlah. Jika terpaksa tunggu dua tiga tahun lagi, maknanya selepas pilihan raya umum (PRU).

SPRM
Datuk sebelum ini kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti tidak dipolitikkan. Bagaimana fungsi SPRM diterajui Tan Sri Azam Baki?

Saya tidak mahu melihat kepada Azam, kerana beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya sudah tentu memihak kepada kerajaan dipilih perdana menteri. Apabila perdana menteri memilih siapa ketua pesuruhjaya SPRM, sudah tentulah beliau cenderung kepada perdana menteri. Tempoh kontrak pun perdana menteri yang tentukan. Jadi, bukan salah Azam. Tetapi, salah sistem ini sendiri.

Saya mahu sistem pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dijalankan di Parlimen barulah ada rasionalnya. Nama calon-calonnya dibentang dan dibahas di Parlimen yang mewajarkan pelantikan mereka, kemudian serah kepada Yang di-Pertuan Agong. Bukankah ini lebih baik?

Maksud Datuk SPRM dalam kawalan Eksekutif?

Sistem ini sudah membuktikan dengan jelas melihat kepada tindakan SPRM mengambil contoh isu melibatkan wakil rakyat di Sabah dan pemberi maklumat yang SPRM seolah-olah enggan siasat. Tidak jelas lagikah? Rakyat tertanya-tanya, sebab itu saya mahu badan penyiasatan, Jabatan Peguam Negara (AGC), hakim-hakim, institusi Parlimen bebas barulah kedaulatan undang-undang itu ada. Jika dikawal oleh satu sumber kuasa, bebas apa?

Tidak semudah itu mengubah sistem. Datuk setuju?

Ya, tidak mudah sebab kerajaan tidak mahu lakukan. Apa susahnya? Cuba berdebat dengan saya, dengan rakyat dan beritahu apa masalah? Masalahnya kerajaan tidak mahu lakukan.

PEGUAM NEGARA BAHARU
Bagaimana pelantikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan?

Inilah saya maksudkan sistemnya. Kita tidak tahu pun sebab apa beliau dilantik? Tiada penjelasan dari kerajaan mengapa mereka dilantik dan apa kelebihan ada pada mereka? Kerajaan melantik dan bertindak seolah-olah jawatan peguam negara dan pendakwa raya ini seperti ketua segala jabatan yang tidak perlu dijelaskan.

Apa sebabnya?

Untuk jawapan sebenar, anda tidak boleh tanya saya. Dahulu kerajaan kata mahu orang yang bebas dilantik sebagai pendakwa raya, tetapi, di mana janjinya? Beliau mahu lantik sesiapa pun sebagai peguam negara silakan, tetapi, bercakap tentang peranan pendakwa raya ini adalah hak rakyat kerana pendakwa raya yang bertindak sebagai pembela rakyat. Masalahnya, masih banyak persoalan tidak dijawab.

Saya kecewa pembangkang tidak bangkitkan perkara ini, hanya sekali-sekala. Jika kita mahu sistem lebih baik, kena lebih bersungguh-sungguh menuntut, menerangkan kepada rakyat mengapa perubahan ini perlu? Tetapi, pembangkang pun tidak nampak memperbetulkannya.

UMNO dahulu bercakap tentang ketidakadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, buat jawatankuasa khas penyiasatan berkenaan pertuduhan terhadap itu dan ini, sekarang apa berlaku? UMNO pun sudah selesa sekarang dengan sistem di dalam Kerajaan Perpaduan.

Mana ada UMNO cakap pasal perubahan lagi. Azalina itu menteri UMNO, tetapi, saya rasa beliau lebih takut kepada Anwar berbanding UMNO. UMNO tidak boleh pecat beliau sebagai menteri tetapi Anwar boleh. Siapa yang beliau mahu dengar? Inilah masalahnya, jika tidak mahu perubahan.
UMNO

Datuk kembali kepada UMNO pada 2022 dengan hasrat melaksana reformasi parti dari dalam. Sudah berjayakah?

Saya tiada jawatan dalam parti, jadi, saya tidak boleh laksana reformasi ini. Saya hanya boleh tolong jika parti mahu laksana reformasi, tetapi, saya tiada kuasa eksekutif, jawatan tinggi jadi bagaimana saya laksanakan? Saya hanya boleh beri cadangan, tetapi tiada siapa pun dalam kalangan pemimpin UMNO terima cadangan saya. Jadi, habis di sinilah.

Apa lagi fungsi Datuk ketika suara tidak didengari?

Tidak mengapalah. Mereka tidak mahu dengar suara saya, jadi saya cakap sahajalah. Apa lagi saya boleh buat? (tertawa). Takkanlah saya mahu menangis? Saya tiada kuasa ubah itu dan ini tetapi, saya ada kuasa bersuara. Ini sahaja saya boleh buat.

Hasrat Datuk tidak kesampaian atau gagal?

Saya berharap UMNO bertindak sebagai parti dalam kerajaan untuk buat perubahan dan jika perlukan pertolongan saya, bolehlah saya bantu bersama. Tetapi, saya kecewa UMNO tidak berbuat demikian.

Apa masalah UMNO? Apa kelemahannya?

Anda kena tanya menteri UMNO lah. Saya tidak tahu. Setakat saya nampak mereka perlu bersama dengan perdana menteri dan Kerajaan Perpaduan untuk tujuan pilihan raya. Kelemahannya pula mereka tidak berubah. Mahu perjuangkan Najib bebas dari penjara pun tidak boleh, bagaimana?

DOMINASI UMNO
UMNO boleh kembali berkuasa dan menjadi parti dominan?

Selagi UMNO bergantung kepada Anwar, bagaimana UMNO bertanding sendiri dalam PRU? UMNO takut, jika bertanding sendiri kerusi pula tidak cukup. Jika bertanding dan berkuasa sendiri, tindakan mesti berlainan bermula sekarang. Kepemimpinan dan dasarnya mesti berbeza dengan kerajaan semasa atau lebih baik lagi, tetapi saya lihat UMNO tidak mahu mencetus masalah dan tidak akan bertanding sendirian.

Beginilah, jika UMNO mahu memerintah seperti dahulu, kena berubah. Tetapi kalau tidak mahu mengguris hati perdana menteri, maka, mereka kena ikutlah namun, tidak akan dapat kerusi banyak untuk menjadi kerajaan yang dominan. Setakat tiga empat kerusi bolehlah dan jika ini yang diidamkan UMNO, cukup.

UMNO ISTERI NOMBOR TIGA, DAP NOMBOR SATU

Saya lebih suka UMNO ini parti nombor satu, bukan ‘isteri ketiga’, kembali menjadi ‘bos’ di Malaysia, pembela Melayu sekali lagi. Caranya? Parti harus moden, progresif dan telus dengan rakyat. Terangkan perubahan dan dasar ekonomi yang besar. Tetapi, jika UMNO mahu bersama dengan kerajaan campuran menjadi ‘isteri nombor tiga’, tidak mengapalah. Isteri nombor satu DAP, kedua Amanah dan ketiga UMNO. Kekallah begini, lagi pun, UMNO ada 26 kerusi mahu cakap banyak pun tidak boleh.

KERJASAMA UMNO, PH
Kerjasama UMNO dengan PH khususnya DAP perlu diteruskan?

Jika UMNO mahu menjadi ‘bos’, boleh pertimbangkan semula kerjasama ini. Sesiapa pun yang mahu masuk dalam rangkaian (kerjasama politik), mesti selari dengan kehendak dan kepentingan kita. Kita tidak berpolitik bermula dengan: “Oh, saya tidak mahu parti A, B, C, D.” Ini kerana politik adalah dinamik.

Anda tidak boleh tentukan sebelum apa-apa lagi. Paling penting kita bertanding. Jika UMNO tidak sanggup bertanding 70 kerusi Parlimen, macam mana menjadi kerajaan? Persoalannya, siapa mahu beri? UMNO mesti ambil risiko bertanding 70 kerusi barulah boleh menjadi perdana menteri.

KRITIK
Datuk tidak lagi dalam Kabinet dan banyak bersuara/mengkritik kerajaan atau pembangkang dalam isu-isu negara. Apa perasaan?

Oh, I feel good…(saya rasa bagus). Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, jika rakyat tidak bersuara ini yang kita dapat. Setiap daripada kita tidak kira pangkat, gaji dan jawatan mesti berani bersuara barulah negara lebih baik dan saya pula dengan cara saya meneruskan kritikan ini. Ini bukan untuk kepentingan peribadi kerana saya tiada apa pun, sudah tua, bukan dalam kepimpinan parti dan tidak boleh jadi perdana menteri.

Saya bukan berhasrat bertanding, tetapi, meluahkan pandangan dengan harapan membuka mata dan hati rakyat untuk pilih pemimpin terbaik. Niat saya mahu rakyat Malaysia pilih UMNO dan BN kembali.

Saya sudah kelilingi (sertai) semua parti kecuali Pas dan saya faham ideologinya. Saya kembali kepada UMNO dan BN kerana ini formula negara, orang Melayu daripada UMNO yang boleh perintah negara walaupun dengan segala kelemahannya. Namun masalahnya, parti sendiri tidak mahu berubah.

Walaupun ahli UMNO, Datuk tetap kritik parti sendiri dan melawan arus?

Saya kritik pun untuk kebaikan memperkukuh UMNO dan politik negara. Kita kritik dengan niat apa? Jika menjatuhkan orang tertentu atau ada niat tidak baik, ini lain. Pembangkang pun saya kritik juga. Mereka macam lemah dan takut.

DASAR DAP
Datuk pernah sertai DAP, apa dasar parti Datuk tidak boleh terima?

90 peratus penekanan DAP untuk kepentingan orang Cina. Walaupun kata mereka parti berbilang kaum, namun, isu Melayu jarang keluar dan dipertahan. Sebab itu saya keluar parti dan kita mesti berjuang untuk Melayu. DAP perlukan ramai pemimpin Melayu, tetapi rasanya tiada pun.

Apa Datuk lakukan ketika ini? Masih beramal sebagai peguam?

Walaupun saya tidak lagi beramal sebagai peguam, tetapi saya sibuk buat podcast tiga empat kali seminggu, bercakap, menulis dan makan. Kadang-kadang saya beri nasihat perundangan namun tidak banyak. Saya sudah tulis enam buku, mungkin tahun depan ada satu lagi terpulang dengan keadaan. – MINGGUAN MALAYSIA

Ulasan